Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU JATUH CINTA
AKU JATUH CINTA
anna nabila
7/7/2014 23:38:05
128,769
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 18

Bab 18


     Hari ini Aina bertekad untuk melupakan perbalahan mereka semasa kelas lalu. Tentang dia merajuk dan juga acara pujuk-memujuk selepas itu. Danial pun tidak berkata apa-apa sejak peristiwa itu, dan hati Aina pun sebenarnya sudah memaafkan. Hati Aina lain sikit, cepat panas, cepat juga sejuk. Masalah suhu kurang stabil.

Ketika Aina masuk ke kelas 6 Delta, waktu rehat baru sahaja tamat. Masih ada pelajar yang sedang mengunyah makanan dan apabila ternampak sahaja kelibat Aina, masing-masing kelam-kabut menyembunyikan makanan di dalam laci meja masing-masing. Ada juga yang berpura-pura membuka buku di atas meja, nampak macam pelajar contoh, tetapi sebenarnya meneruskan makan dengan berselindungkan buku tersebut. Tengoklah Cam tu, nampak benar berlakon, manakan tidak, buku itu sudah dibuka separuh, sedangkan Aina masih mengajar bab-bab awal. Hendak kelentong pun agak-agaklah.

“Cam, tak payah nak berlakon sangat. I know what you did there.” Tersedak Cam dibuatnya oleh sergahan Aina.

Kantoi!Nasib baik sempat telan, kalau tidak, mahu tersembur makanan dalam mulutnya itu. Sudahlah Cam sedang berusaha menyumbat nasi lemak penuh ke dalam mulut supaya cepat habis. Syukur dia tak mati tercekik. Cam menyerah kalah, taktiknya sudah diketahui. Akhirnya dia menyimpan baki makanannya di dalam laci meja dan menutup semula bukunya.

“Saya tak kisah kalau kamu semua nak makan gula-gula atau yang sewaktu dengannya sebab saya tak nak kamu mengantuk dalam kelas. Tapi, berpada-padalah kalau nak makan pun, jangan sampai melantak nasi goreng atau ayam tandoori masa saya mengajar. Itu dah lebih, buat kelas saya macam kedai mamak pulak.Seperkara lagi, peraturan ini hanya sah semasa kelas saya aje, kelas guru lain kena ikut peraturan mereka sendiri, okey?”

Seisi kelas berbisik-bisik sesama sendiri, lega dengan kelonggaran yang diberikan Aina.Mereka mula mengagumi sikap dan pembawaan Aina yang amat berlainan sekali.Jika guru lain, pasti merasakan mereka tidak dihormati jika pelajar makan ketika mereka sedang mengajar. Biarpun sekadar minum air pasti akan mendapat hadiah jelingan tajam atau jegilan maut. Kalau anak orang mati tercekik macam mana agaknya, minum air pun tak boleh.Mungkin kerana Aina guru muda, maka dia lebih memahami sikap pelajar.

Shantini mengangkat tangannya mahu mengemukakan soalan kepada Aina.

“Ya, Shan?”Aina mencondongkan badannya ke hadapan untuk memfokuskan perhatiannya kepada Shantini.

“Cik Aina, boleh tak kalau makan snek ringan macam ‘Cloud 9’? Kadang-kadang laparlah dalam kelas, ilmu susah nak masuk otak bila lapar.”

“Banyaklah alasan kamu, saya pun tak makan lagi dari pagi, boleh aje bertahan.Fine, saya bolehkan,hanya jika kamu benar-benar perlukannya. Jangan buat macam berpiknik.”

Belum sempat Aina menghabiskan ayatnya, pelajar-pelajarnya itu berebut-rebut mengemukakan permintaan masing-masing.

Chewing gum, Cik Aina?” soal Cam.

“Cik Aina, minum air boleh tak? Hauslah...” Lee Anne pula bertanya.

Sharon segera menyampuk, “Kalau macam tu, air kotak atau air tin pun bolehlah kan, Cik Aina?”

Aina menggeleng sambil mengangkat tangannya ke atas untuk menghentikan permintaan mereka yang semakin menjadi-jadi. Diibaratkan sudah diberi betis hendakkan paha pula.

“Sudah, sudah. Amboi, kamu ingat saya ketua kampung? Macam-macam masalah kamu nak lapor, dahlah begitu, lagi bertambah permintaan kamu ya? Baik, minum air tak apa, nanti haus, tak dapat pulak nak bersembang banyak-banyak dalam kelas, kan? Chewing gum kalau tak silap saya dah diharamkan, bukan begitu?”

“Ala, Cik Aina, apa pulak haram, kita beli yang ada cop SIRIM, sah halal,” ujar Cam, segera mempertahankan cadangannya. Namun sebelum Aina sempat menjawabnya, Aidil sudah menukas kata-kata Cam.

“Hoi, apa pulak SIRIM? Cop halalkan dari JAKIM! Sapi yang punya susu, entah siapa-siapa yang dapat nama. Kesian kat sapi.”

Ketawa mereka sekelas pecah. Tengoklah budak-budak bawah umur ni, tak matang langsung, asyik melencong jauh saja, susah betul nak ajar berjalan lurus.Dah jadi satu kerja untuk menjelaskan. Aina tidak rela dituduh mengeluarkan fatwa palsu pula nanti.

“Ops,maksud saya bukan haram di sisi agama, tapi haram di sisi peraturan sekolah.Kamu tahu tak kenapa chewing gum tidak dibenarkan di sekolah? Tak apa, tak payah jawab. Biar saya yang jawab dari dengar jawapan merapu kamu. Sebabnya, tak ada faedah. Kamu kunyah macam lembu kunyah rumput bukannya dapat kenyang pun, lepas tu buang jugak, kan? Masa buang pulak kamu campak aje merata-rata.”

Nanti adalah lekat kat kasut tak pun kat seluar guru, tambah-tambah lagi kalau ada yang sengaja nak sabotaj, kan? Lagi teruk kalau kamu buang dari tingkat atas, macam mana kalau terus mendarat dengan selamat atas rambut Cikgu Saloma? Rambut dia tu fesyen 60-an, bukan senang nak bentukkan sampai kembang semangkuk macam tu, mau tiga jam dia berdandan. Nampak tak masalah yang bakal kamu timbulkan?”

Pelajar-pelajar itu ketawa berdekah-dekah, senang dengan gurauan Aina yang turut sama terikut-ikut mengusik Cikgu Saloma. Rasa macam Aina sudah menjadi sebahagian daripada mereka.

“Hmm, antara dua darjat nampak? Kami tak dibenarkan makan chewing gum hanya sebab takut guru-guru terkena?” Danial yang sedari tadi hanya diam memerhati kini membuka mulutnya, bukan dengan suara marah seperti kelmarin, malah dia kelihatan dingin macam ais. Nada suaranya seperti biasa, sarkastik.

Lelaki ini memang tak ada hati perut, semuanya dah beku jadi ais! Aina terdiam seketika, menyusun ayatnya berhati-hati sebelum menjawab, dia tidak mahu peristiwa kelmarin berulang, takut nanti bukan hanya satu hati yang akan terluka.

“Bukan macam tu Danny. Saya tak maksudkan guru-guru aje yang akan terkena, saya hanya cuba bergurau dengan kamu. Moral yang ingin saya sampaikan, orang yang tak makan chewing gumpun akan disabotaj secara tak langsung disebabkan sikap si pelaku yang tidak bertanggungjawab. Tapi sekiranya kamu rasa kamu boleh bertanggungjawab, buang di dalam tong sampah selepas kamu bungkus semula dengan kertas pembalutnya, suka hati kamulah kalau nak makan jugak. Saya secara peribadi tak halang, tapi sekiranya ada spotcheck dijalankan, saya rasa kamu akan dikenakan tindakan oleh pihak sekolah jika kamu ada menyimpan chewing gum bersama kamu. Benda itu di dalam kawasan sekolah kira macam dadah dekat luar.”

Danial terkedu, suaranya tersekat di kerongkong. Matanya membuntang, jantungnya berdegup kuat sehingga dia merasakan Mazlan yang duduk di sebelahnya turut mendengar ritma luar biasa pada degupan jantungnya. Macam ada rentak lagu Kuch Kuch Hota Hai.

Aina memanggil dia Danny, sama macam Mummy memanggilnya dulu! Tapi sudah begitu lama Mummy tidak memanggilnya dengan panggilan manja begitu, akhir-akhir ini pula Mummyasyik berkurung di bilik. Ah, Mummy...hari ke hari Danny rasa semakin jauh dan terasing dari Mummy. Fikiran Danial menerawang jauh.

Sikap Danial yang diam tidak berkata apa-apa disangkakan Aina sebagai penerimaan terhadap nasihat yang diberikannya tadi. Pelajar yang lain pula sekadar mengangguk, mungkin faham dan menyetujui. Mungkin juga blur tak ada idea nak kata apa.

Memandangkan sudah hampir 20 minit terbuang hanya untuk sesi itu, Aina segera memulakan pengajarannya dengan bab yang pertama bagi Mikroekonomi. Hampir kesemuanya hanya menatap buku di hadapan mereka tanpa ada minat untuk menyelak buku itu. Macamlah kepala mereka itu hard disk, semua yang dibaca secara automatik akan disimpan di dalam memori. Itupun kalau membaca. Yang lain pula berlagak macam scanner, tengok saja dah import ke dalam memori. Hanya beberapa orang sahaja yang menanda dan menulis sesuatu pada helaian buku mereka.

Kes Danial lagi teruk. Sekurang-kurangnya yang lain masih pandang buku, tak kiralah masuk otak atau tidak. Danial, sejak tadi hanya merenung Aina dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Pandangan matanya kelihatan lebih lembut dari biasa, ada sedikit sendu di hujung matanya. Tapi pandangannya kosong, tengok Aina tapi sehingga tembus ke dinding di belakang Aina. Superman pun tak sehebat itu kuasa matanya. Agak mengerikan.

Ah lantaklah, dia tak buat onar pun dah cukup bagus. Aina menepis rasa hairan dan gelisahnya lalu meneruskan sesi P&P tersebut dengan lancar tanpa sebarang gangguan.


Bersambung...


*Novel AKU JATUH CINTA terbitan ALAF 21 akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:

FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90

Terima kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.