Home Novel Komedi/Romantik Komedi Suamiku, Encik Sotong
Suamiku, Encik Sotong
Syikin Zainal
27/5/2013 15:35:23
493,186
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 7, BAB 8, BAB 9

BAB 7.

Erica termenung mengadap ke luar melalui tingkap kamarnya. Suasana pagi walaupun terang tetapi dirasakan gerhana sahaja. Hari ini genap dua minggu dia bergelar isteri kepada Muhd. Farish Haikal. Kadang-kadang rasa meloya sahaja bila nama itu terlintas di fikirannya. Dia mengeluh kasar. Walaupun kuliah sudah seminggu berjalan, namun dia masih lagi belum memunculkan diri di hadapan kawan-kawannya. Pasti mereka semua tertanya-tanya tentang dirinya. Mujurlah senang untuk mendapatkan sijil cuti sakit di bandar Kuala Lumpur ini. Yang sebetulnya, Erica sedang pening memikirkan tentang status dirinya sekarang.

Pintu biliknya diketuk, mengejutkan Erica dari lamunannya.

“Em, Papa,” tegur Erica bersahaja.

“Kenapa tak siap lagi ni?” Zahid bertanya kepada anak gadisnya yang kini telah menjadi isteri orang.

“Malas,” jawab Erica. Dia merebahkan badannya kembali ke atas katil empuknya.

“Sampai bila nak cuti ni?” Zahid bersuara.

“Sampai mati,” jawab Erica.

Zahid menggaru-garu kepalanya. Sudah seminggu Erica hanya mengurungkan diri ke dalam bilik. Selepas kembali dari Melaka.

“Apa masalahnya sekarang ni?” tanya Zahid.

“Pening lah Papa tahu tak?”

“Nak pening apanya. Bukan dia orang tahu pun yang Rica ni isteri Farish. Apa yang nak di susahkan,” kata Zahid.

“Sekarang ni tak tahu. Lama-lama esok?”

“Nak tahu macam mana? Farish kat Melaka, Rica kat sini. Jangan lah Rica fikir negatif sangat. Dah lah pergi bersiap. Papa nak pergi kerja ni. Rica jangan nak buat perangai. Dah jadi bini orang ni jangan nak buat perangai macam anak dara.”

“Papa. Papa ni kenapa? Menyampah tau. Ini semua gara-gara arwah Nenda. Masa hidup menyusahkan orang, dah mati pun nak menyusahkan orang lagi. Papa pun sama. Suka sangat nak bermenantukan sotong tu,” marah Erica.

“Jangan nak salahkan orang lain. Rica sendiri yang cakapkan. Tiga tahun je, lepas tu semua jadi milik Rica. Nak sangat harta tu kan? So bising apa lagi? Terima sahaja syarat-syarat Nenda tu. Dan jangan nak salahkan orang lain. Bukan itu yang Rica nak kan?” bidas Zahid kepada anaknya. Sejak dari dulu lagi dia sudah mengingatkan Erica. Erica sekadar mendiamkan diri. Malas dia membalas kata-kata Papanya. Sebenarnya dia mati kutu.

“Rica, Rica,” panggil Sarah. Dua lagi temannya sedang mengikut langkah Sarah.

“Sarah,” balas Erica.

“Kau dah sihat ke? Emm. Tak sabar lah nak tunjuk gambar masa kita orang ke Universal Studio di Singapore. Best giler. Rugi tau kau tak pergi. Happening sangat,” kata Sarah.

“Emm,” jawab Erica ringkas. Malas dia nak melayan Sarah hari ini.

“Kau ni kenapa? Tak sihat lagi ek?” kali ini Lissa pula yang bersuara, bila melihat sikap acuh tak acuh Erica.

“Sakit kepala lah. Sorry lah. Banyak ke notesyang aku miss?” tanya Erica. Rasa bersalah pula bila tidak mengendahkan teman-temannya. Bukan salah mereka pun. Salah Tengku Khaleeda. Walaupun sudah tiada di dunia ini masih lagi hendak menyusahkan hidupnya.

“Kalau sakit, ambil lah m.c lagi. Kasihan kat kau kan Rica. Tak pa. Pasal notes tu kau jangan susah hati. Nanti kita fotostat je. Lagipun tak banyak mana pun, kan kelas baru bukak. Jangan susah hati lah. Sekarang ni, kita pergi tengok ada mamat hensem gila. Macho sangat-sangat. Rugi kalau kau tak tengok dia. Sekali pandang macam Brad Pitt. Dua kali pandang macam Iqram pun ada,” kata Sarah.

Sarah, Lissa dan Fatin hanya mengikut langkah Erica yang menuju ke kafeteria. Erica hanya mengambil sebungkus nasi lemak sebagai makanannya. Fikirannya sedang ligat memikirkan tentang perihal dirinya. Bagaimana jika teman-temannya tahu tentang status dirinya. Tidak. Dia tidak mahu sesiapa pun tahu. Biarlah ianya menjadi rahsia. Tak lama pun. Tiga tahun sahaja dia perlu kekal dengan status isteri orang lepas itu, semuanya akan kembali seperti biasa. Dia akan menjadi Pengerusi di Khaleeda Holdings. Dia akan membawa syarikat itu ke tahap yang lebih tinggi. Dia sedar, semua orang di kelilingnya menidakkan kemampuannya terutamanya Tengku Atylia. Dia perlu membuktikan kepada mereka dia layak memegang jawatan itu. Sebelum itu dia perlu bersikap seperti biasa agar teman-temannya tidak tahu tentang dirinya.

“Rica, kau ni kenapa? Termenung sahaja?” tegur Fatin.

“Entahnya. Dari tadi asyik mengelamun sahaja. Kau ni ada masalah dengan mak tiri kau lagi ke?” sampuk Lissa. Semua tahu Erica memang tidak sebulu dengan ibu tirinya.

“Rica, itulah dia mamat yang aku katakan tu,” Fatin menunjukkan ke arah seorang jejaka tampan. Jejaka itu memang kelihatan tampan dengan jeans yang berwarna biru lusuh dan T-shirt hitam. Rambutnya panjang separas bahu.

“Mak ai.. Hensem giler,” kata Erica.

“Kan aku dah kata. Namanya Daniel Qushairie. Budak Senibina,” kata Sarah lagi.

“Amboi, semua kau dah tahu ye Sarah. Budak Dip ke degree?” Fatin pula bertanya. Bab menyiasat ni memang Sarah ‘the best’. Sesuai dengan kursus kewartawanan yang diambilnya.

“Em.. Budak degree lah. Kalau Dip tu kira adik-adik kita le. Apa barang nak mengorat budak kecik,” Sarah berkata sambil tangannya mengoyakkan sandiwich yang dibelinya. Yang lain hanya tersenyum mendengar kata-kata Sarah.

“Bestnya kalau dapat boyfriend macam tu kan. Macho, hensem. Rebutan perempuan-perempuan macam kau orang. Agak-agak kau lah kan, kalau geng butik bergerak tengok salah seorang dari kita dapat mamat tu macam mana ek? Mesti dia orang hangin kan. Sukanya,” kata Erica lagi.

“Wah,,, Erica dah kembali,’ Sarah berkata sambil menepuk tangan. Kemudian gelak mereka terganggu bila melihat mamat macho yang dikatakan tadi sedang berbual dengan salah seorang geng butik bergerak.

“Panjang umur dia orang. Kau tengok tu bukan main mesra lagi. Dia orang kenal ke?”

“Entahlah. Ala kau bukan tak tahu. Tak kenal pun mesti dia orang buat-buat kenal punya.” Sampuk Fatin. Lissa dan Sarah menganggukkan kepalanya tanda bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Fatin.

“Tak boleh jadi ni. Dah lah, sems lepas pasal dia orang aku clash dengan Danish,” Erica bercakap dengan geram. Masih terbayang lagi di kepalanya bagaimana Danish berpimpinan tangan dengan Marlia, ketua kumpulan butik bergerak. Gelaran yang mereka berikan kepada tiga orang pelajar yang menjadi saingan mereka berempat.

So, tunggu apa lagi, cepatlah plan. Aku dah ketagih nak buat kerja-kerja macam ni,” balas Fatin.

“Kau ni kan, tak baik tau. Ada ke ketagih nak buat kerja-kerja macam ni,” marah Sarah.

“Okey apa. Kalau aku ketagih syabu ke ice ke,, kau orang jugak yang susah,” jawab Fatin lagi.

Erica tidak mempedulikan apa yang dikatakan oleh teman-temannya. Hati dan otaknya ligat memikirkan bagaimana hendak mengatur rancangan untuk berkenalan dengan jejaka tampan di hadapannya itu.

“Macam mana Rica, dah ada plan ke?” Erica hanya mengelengkan kepalanya.

BAB 8

Farish sedang menyusun baju-baju yang ada di BUTIK KHALEEDA. Sebentar tadi dia baru sahaja menyiapkan segala urusan stok dan pengiraan baju-baju yang baru sampai petang semalam. Amylia turut ada di dalam butik itu membantunya menyusun baju di rak yang berada di sudut hujung di dalam butik itu. Butik yang berwarna merah jambu itu memang manis dipandang.

“Farish, kenapa buat keputusan macam tu?” tegur Amylia.

“Keputusan apa pulak ni Mama Lia?” tanya Farish sambil tangannya ligat menyusun baju-baju itu. Satu-satu disangkutnya di rak pameran.

“Mama Lia tahu, Farish sengaja tak nak daftarkan diri ke kolej tu kan? Kenapa?” tanya Amylia sambil menghampiri Farish yang dianggapnya sebagai anak. Farish membesar di hadapan matanya.

“Farish tak minat nak belajar,” jawab Farish ringkas.

“Farish, pelajaran ni penting. Lagipun ini kan bidang yang Farish minat. Apa lagi yang Farish susahkan. Pasal duit ke?” tanya Amylia lagi.

“Bukan pasal tu,” jawab Farish.

“Habis tu?”

“Kalau Farish pergi sana, Mama Lia macam mana? Lagipun, Mak Engku dah tak ada. Farish...” suara Farish mati di situ. Dia rindukan insan yang banyak berjasa kepadanya.

“Farish rindukan dia?” Amylia bertanya.

Farish menganggukkan kepalanya. Ada air yang di tahan di kelopak matanya.

“Mama Lia juga rindukan dia. Rindu pada gelak dia, pada leteran dia. Tapi Farish kena ingat, dia yang beria-ia nak Farish sambung belajarkan. Malah borang pun dia yang susah payah belikan, jadi kenapa nak hampakan hajat dia?” pujuk Amylia.

“Tapi?”

“Lagipun Erica kan ada di Kuala Lumpur. Bolehlah duduk dengan bapak mertua,” usik Amylia.

“Mama Lia ni, ke situ pula. Perempuan gila tu boleh biol kalau nak di layan. Nasib baik dia balik ikut papa dia, kalau tidak buat sakit hati je tau,” rungut Farish. Jika tadi hatinya mendung mengenangkan Mak Engku, kini serta merta hilang bila nama Erica yang muncul.

“Tak baik lah Farish. Dia kan isteri Farish yang sah. Lagipun tempat suami di sisi isterinya.”

“Tak suka tau, Mama Lia ni. Lagi sekali Mama Lia ungkitkan hal ni, Farish nak lari dari sini, Kalau tidak kerana wasiat tu, jangan haraplah Farish nak buat dia bini. Harap muka je lawa, tapi perangai macam hantu. Dia ingat dia tu diva ke?’

“Tak baik mengutuk bini sendiri tau Farish,” Amylia mengingatkan Farish.

“Tak kuasa tau,” jawab Farish sambil melenggok meninggalkan Amylia.

“Farish, nak ke mana tu? Mama Lia tak habis lagi nak cakap ni,” panggil Amylia.

“Keluar, nak tenangkan fikiran,” ujar Farish sambil terus meninggalkan Amylia sendirian di situ.

Makan malam di rumah agam itu tidak meriah seperti selalu. Farish asyik mendiamkan diri, tanpa sebarang bicara. Amylia pun begitu juga. Dia tahu Farish mungkin sedang marahkan dia.

“Diam je ni, kenapa? Tak kan datang bulan kot,” usik Amylia kepada Farish.

“Ewah-ewah, sesedap rasa nampak Mama Lia ni. Apa ingat kita ni sama spesis ke?” jawab Farish selamba.

“Tak lah. Tapi Mama Lia boringlah tengok Farish diam macam ni. Marahkan Mama Lia ke?” tanya Amylia lagi.

“Bukan lah, kenapa pulak Farish nak marahkan Mama Lia. Cuma Farish tengah fikirkan tentang apa yang kita bincangkan di butik siang tadi,” Farish menjawab.

“Pasal Erica?” soal Amylia dengan sengaja walaupun dia tahu bukan itu yang dimaksudkan oleh Farish.

“Huh, tak kuasa nak bincang pasal perempuan gila tu. Mama Lia ni, bukan pasal tu lah,” marah Farish.

“Habis tu pasal apa?”

“Pasal nak sambung belajar tu. Farish susah hati nak tinggalkan Mama Lia sendirian kat sini,” jawab Farish sambil merenung ke arah Amylia. Memang itu yang disusahkannya. Lainlah kalau ada orang lain di dalam rumah yang besar ini. Dia risaukan tentang keselamatan Amylia bila tinggal sendirian.

“La, Mama Lia bukan budak kecil lagilah. Jangan nak susah pasal Mama Lia pula. Tahulah Mama Lia nak jaga diri. Lagi pun, bukan Mama Lia sorang-sorang kat rumah ni, Mak Limah dengan Pak Su Mat kan ada. Lagipun time cuti Farish baliklah sini, jangan nak berkepit dengan bini je,” sempat lagi Amylia mengusik Farish.

“Uwek, nak termuntahlah mendengarnya. Sorry lah Farish tak kan beritahu dia yang Farish nak ke Kuala Lumpur. E.. Gelilah dengan nama perempuan gila tu,” ujar Farish sambil mengayakan aksi geli.

“Mula-mula menyampah, esok dah lama-lama dah kenal baru Farish tahu erti cinta,” kata Amylia.

“Macam Mama Lia dengan Uncle Zahid kan?” serkap Farish.

“Apa kena mengena pulak dengan Uncle Zahid? Tak ada kena mengenalah.”

“Ala, sekilas lalu depan Melaka Parade tu Farish dah tahu ada sale ke tak?”

“Ni apa punya peribahasa ni?” soal Amylia.

“Em, maknanya macam sekilas ikan air, dah tahulah jantan betina nya. Ini peribahasa sendiri buatlah.” Farish menjawab.

“Rosak bahasa. Jangan nak pandai-pandai bawa cerita. Nanti Mama Lia cilikan mulut tu,” marah Amylia.

“Jangan dipendamkan sangat perasaan Mama Lia tu. Jelas ketara di wajah. Memang orang lain tak perasan tapi Farish tahu dan yakin apa yang tersirat di dalam hati Mama Lia.”

“Dah jadi ahli nujum lah ni? Dah lah, Mama Lia nak masuk. Macam mana? Bila nak daftar? Ada tempoh seminggu lagikan untuk mendaftar. So bila nak pergi?” Amylia bertanya dengan harapan Farish akan melupakan tentang apa yang diutarakan tadi.

“Lusa kot, tapi Mama Lia hantarkan ye, lepas tu Farish nak jumpa dengan Kak Sarah, nak tanya pasal kondo yang ada kat K.L tu?”

“La, kenapa pula? Stay je lah dengan Uncle Zahid dan Erica,” Amylia memberikan cadangan.

“Simpang malaikat empat puluh empat. Sorrylah kalau nak stay dengan dia, lebih baik Farish duduk kat sini. Tak belajar pun tak apa,” Farish berkata sambil bangun membawa pinggannya ke singki. Walaupun Mak Limah selalu menegahnya namun dia tetap membasuh sendiri pinggan atau cawan yang digunakannya. Dia tahu dia hanya menumpang di rumah agam itu.

Amylia hanya melihat, kenapa marah benar Farish kepada Erica yang kini menjadi isterinya. Dia sendiri pun tidak pasti kenapa bondanya mewasiatkan sedemikan. Amylia mengelengkan kepala. Dia serba salah sama ada hendak memaklumkan kepada Zahid atau tidak. Zahid, nama yang sudah lama tersemat di hatinya. Amylia mengeluh kerana Zahid dia menolak untuk dicintai dan menyintai lelaki lain. Namun tiada siapa yang tahu apa yang tersemat dihatinya. Macam mana Farish pula yang boleh perasan dengan apa yang ada di hatinya? Adakah jelas perasaan itu terpamer di wajahnya? Amylia mengarukan kepalanya yang tidak gatal. Selepas ini dia perlu mengawal agar perasaan itu tidak terpamer, kalau tidak matilah dia kena ganyang dengan Shirin.

BAB 9

Izhan masih lagi teragak-agak untuk menelefon Erica atau tidak. Sudah hampir seminggu nombor telefon itu ditangannya, namun dia masih tidak menghubungi Erica. Izhan mengaku memang sepupunya itu cantik tetapi rasanya Erica tidak sesuai dengan jiwanya, Erica agak kebudak-budakkan dan manja. Dia lebih tertarik kepada wanita yang matang dan elegen. Bukan seperti budak-budak macam Erica. Lihat dari segi pakaiannya siapapun boleh mengagak Erica itu macam mana. Izhan mengeluh lagi. Jika tidak kerana mamanya yang beria-ia, pasti nombor telefon Erica hanya tersimpan sepi di atas meja tulisnya.

“Hai buat apa tu?” Izhan memulakan bicara.

“Siapa tu?” Erica menyoal. Dia langsung tidak tahu siapa yang menghubunginya malam-malam hari.

“Teka?”

“Sorrylah saya tak ada masa nak teka-teka. Kalau awak nak suruh saya teka jugak, telefonje esok pagi. Sekarang ni dah pukul 11 malam. Masa untuk saya tidur,” kata Erica.

“Amboi garangnya. Nak tidur sorang ke tidur berdua,” usik Izhan lagi.

“Hello, tidur sorang lah. Awak ni siapa?”

“Bukan tidur dengar Farish?”

“Err,, awak ni siapa?” soal Erica kehairanan. Dalam pada itu dia juga kebimbangan. Bimbang jika rahsianya diketahui.

“Teka,” arah Izhan lagi.

“Malaslah saya nak layan awak ni,” marah Erica.

“Rica, ni abang lah. Amboi garangnya,”

“Abang? Abang Iz ke?” tanya Erica.

“Em. Marah ke?” soal Izhan.

“La, kenapa tak beritahu awal-awal. Ingatkan siapa tadi,” Erica berkata. Dalam hatinya berbunga riang, bila mendengar suara di hujung sana adalah milik Izhan.

“Abang ganggu Rica ke?” tanya Izhan.

Erica merebahkan badannya ke tilam yang empuk, hatinya benar-benar berbunga.

“Tak. Tapi kenapa abang telefon Rica tengah malam-malam ni. Lagipun mana abang dapat nombor telefon Rica?”

“Em, itu rahsia abang. Saja ja telefon Rica. Rindu. Tapi abang tahu Rica tak rindukan abang kan. Mesti tengah rindukan Farish,” Izhan sengaja menduga.

“Abang, abang kan tahu kenapa Rica terpaksa kahwin dengan sotong rebus tu,” kata Erica.

“Sotong rebus?”

“A’ah. Sotong rebus tu lah. Kalau tak kerana wasiat nenda yang merepek tu, tak kuasa Rica kahwin dengan dia. Nasib baik lah dia stay kat Melaka sekarang. Tapi tunggulah lagi tiga tahun. Lepas tu semua selesai antara kami. Yang penting sekarang Rica bakal menjadi Pengerusi Khaleeda Holdings,” Erica menjelaskan segalanya kepada Izhan. Izhan menarik nafas yang lega bila mendengarnya.

“Tapi tak baiklah panggil dia sotong rebus, dia kan suami Rica.”

“Tak ada maknanya. Yang abang ni tak pernah telefon, kenapa telefon Rica?”

“Kan abang dah cakap, abang rindu.”

“Tipu. Rica tak percayalah. Mana perginya awek abang yang lain?”

“Entahlah. Hilang tanpa dikesan. Okeylah Rica. Sweet dream,” kata terakhir Izhan sebelum mematikan talian dengan sengaja.

“Abang. Hello, hello,” panggil Erica. Namun langsung tidak kedengaran suara Izhan di hujung sana. Erica menarik nafas yang panjang. Dahinya dikerutkan. Antara percaya dengan tidak, panggilan itu datangnya dari Izhan sepupunya yang tampan.

“Berseri muka hari ni,” tegur Shirin kepada anak tirinya.

“Emm. Biasalah. Kalau hati tu ikhlas, aura seri keluar sendiri. Tak perlu nak pakai make-up berkati-kati kat muka tu. Semua tu plastik,” bidas Erica. Mujurlah papanya tiada disitu. Bolehlah dia naik tocang sikit.

“Rica, kau ni kenapa? Aku cakap dengan kau elok-elok. Tak habis-habis kau nak sakitkan hati aku.”

“Eh, terasa? Jadi betullah makcik ni plastik. Patutlah, berkilo bedak kat muka tu. Macam opera cina je. Sekarang orang tak pakailah make-up macam ni. Sekarang ni natural beauty. Okey,” sengaja Erica menyakitkan hati Shirin.

Shirin merengus, dia melemparkan napkin ke atas meja. Geramnya pada anak tirinya semakin bertambah. Erica ketawa. Bangga kerana dapat menyakitkan hati Shirin.

“La, kenapa anak papa ketawa sorang-sorang ni. Mama Shirin mana?” tanya Zahid kepada Erica.

“Bila masa pula jadi Mama Shirin ni? Papa ni demam ek?”

“Salah ke, Rica panggil dia macam tu? Mana dia?”

“Dia kan bini papa? Carilah sendiri,” jawab Erica. Dia kemudiannya bangun dan hanya mencapai sekeping roti kosong. Zahid hanya mengelengkan kepalanya, entah sampai bila hubungan Erica dan Shirin akan terus berlanjutan begini.

Teman sekuliahnya sedang menunggu ditempat biasa.

“Kau ni selalu lambatlah Rica,” marah Fatin.

“Jalan jammed. Kau tak apa lah ada driver, aku ni kena guna papa aku sebagai driversendiri.” Erica menjawab.

“Kalau dah tahu jalan jammed, habis tu tak reti-reti nak keluar awal?” sampuk Sarah pula.

“Bukan tak nak keluar awal, tapi kau kan tahu, sebelum keluar aku kena mintak restu mak tiri aku tu,” ujar Erica sambil ketawa.

“Nak kiamat lah tu. Muka kau nak minta restu dia?” kata Sarah lagi. Mereka bertiga maklum sangat tentang hubungan antara Erica dan ibu tirinya.

“So, kau dah dapat ilham ke, bagaimana nak dapatkan si Daniel tu?” Lissa pula yang bertanya.

“Em, malaslah nak fikir. Lagipun...” bicara Erica terhenti di situ. Namun hatinya yang berbunga malam tadi masih lagi berbekas.

“Sekejap, Erica Soffea, kau demam ek?” soal Sarah kehairanan.

“Tak ada lah, aku okey, jom kita masuk ke kelas. Lambat dah ni,” Erica bangun dan meninggalkan kawannya. Terkocoh-kocoh ketiga-tiganya mengikut langkah Erica. Mereka pasti ada sesuatu yang tidak kena pada Erica.

Erica serba tidak kena, ketiga-tiga kawannya sedang memerhatikannya.

“Kau orang ni kenapa? Tengok aku semacam je, seram lah,” kata Erica.

“Aku peliklah,” kata Sarah. Dua lagi temannya menganggukkan kepala masing-masing.

“Apa yang peliknya? Mata aku dua, hidung aku satu, mulut aku satu. Jadi tak ada yang peliknya,” ujar Erica lagi.

“Otak kau tu yang dah tak betul,” kata Sarah.

Erica tersentak. Dia memuncungkan mulutnya. Kemudian telefonnya berdering. Dia menjawab dengan berdebar bila dilihatnya nama Izhan terpampang di skrin.

“Hello,” Erica menjawab dengan perlahan, namun entah kenapa mukanya merah menahan malu, seolah-olah Izhan ada disebelahnya.

“Rica buat apa?” tanya Izhan.

“Tengah makan dengan kawan,” jawab Erica.

“Abang ada kat depan kolej ni, kat dataran apa entah ni.”

“La, abang buat apa kat sini?” kali ini suara Erica agak kuat.

“Nak jumpa Rica. Tapi kalau Rica sibuk tak apa lah.”

“Tak lah, lagipun dah habis kelas dah. Abang Iz tunggu kat situ, nanti Rica sampai,” kata Erica. Dia bangun dengan segera.

“Rica kau nak ke mana?” tanya Lissa. Namun Erica tidak mempedulikannya, sebaliknya kakinya terus melangkah dengan laju meninggalkan kafeteria itu.

“Kenapa dengan Rica tu?” tanya Sarah kepada Fatin dan Lissa.

“Kalau nak tahu, jom lah ikut dia,” kata Fatin.Yang lain hanya mengikut langkah Fatin yang tergesa-gesa mengikut lengok Erica.

“Hai,” tegur Izhan sambil menghulurkan sejambak bunga ros pelbagai warna kepada Erica. Erica menyambut dengan senyuman yang manis. Debaran di dadanya semakin kencang bila melihat senyuman Izhan yang manis.

“Terima kasih,” jawab Erica dengan manja.

“Em, tak nak kenalkan pada kami ke?” Fatin bersuara, menyedarkan Erica yang kawan-kawannya sedang berada dibelakangnya.

“Eh, bila masa pula yang kau orang ada kat belakang aku ni?” Erica bertanya dengan agak terkejut.

“Kau tengok tu sampai tak perasan kita ikut belakang dia, memang sah lah,” sampuk Lissa.

“Sah apa kebendanya? Kenalkan ni sepupu aku, Izhan,” Erica memperkenalkan Izhan kepada kawan-kawannya. Hatinya merengkam bila kawan-kawannya turut ada situ.

“Sepupu? Betul ke ni? Takkan sepupu main hantar-hantar bunga besar macam ni?” serkap Fatin.

“I memang sepupu dia pun. Tak kan sepupu tak boleh bagi bunga. Apa, ingat bunga ni untuk yang bercinta je ke?” Izhan berkata.

“Okey. I Fatin. Yang ini Lissa dan yang ini pula Sarah.” Fatin memperkenalkan dirinya sendiri dan tanpa disuruh dia turut memperkenalkan kawan-kawannya juga. Izhan menyambut salam yang dihulurkan oleh teman-teman Erica.

Cantik-cantik juga teman Erica,” getus Izhan di dalam hatinya sendiri.

“Patutlah, tak berminat nak teruskan rancangan kita, rupanya dah berpaut pada yang lain. Pandai kau simpan ye Rica,” cubit Sarah di lengan Erica. Erica menjerit perlahan. Mujurlah Izhan sedang berada di hadapan mereka, jika tidak tahulah dia macam mana nak mengajar teman-temannya itu.

“Em, sebenarnya abang nak ajak Rica keluar, tapi kalau Rica dah ada program dengan kawan-kawan, tak apalah. Kita keluar lain kali lah ye,” Izhan memaklumkan tujuan. Naik menyampah pula melihat kegedikkan teman-teman Erica.

“Ish, tak ada rancangan apa-apa pun. Rica pun memang dah nak balik dah ni,” jawab Erica.

“Kalau macam tu, jomlah. Yang lain nak ikut juga ke?” Izhan pelawa-pelawa ayam sahaja sebenarnya.

“Er, Tak kot. Dia orang ada hal lain lepas ni,” dengan pantas Erica bersuara. Kawan-kawannya hanya menjengilkan mata. Izhan menarik nafas dengan lega.

Erica meninggalkan teman-temannya, langkahnya beriringan dengan Izhan. Sesekali mereka sama-sama menjeling. Erica seringkali mengalihkan pandangannya. Malu untuk bertatapan mata dengan sepupunya. Namun terselit juga bangga di dalam dirinya kerana berjalan berdua dengan Izhan yang tampan, tambahan pula dengan sejambak bunga di tangannya.

“Rica pernah datang tak kat kafe ni?” Izhan bertanya tatkala mereka melabuhkan punggungnya ke kerusi yang diikat kemas dengan riben yang berwarna merah hati itu. Erica mengelengkan kepalanya sambil matanya liar memerhatikan dekorasi “CHINTA CAFEE”. Romantik dan mendamaikan.

“Takkan tak pernah datang dengan buah hati kot,” Izhan menduga.

Boyfriends? Rica ni mana ada boyfriend. Lainlah dengan Abang Iz, girlfriends keliling pinggang,” jawab Erica.

Izhan hanya tergelak, menampakkan barisan putih giginya yang tersusun kemas. Lesung pipit di kedua-dua belah pipinya jelas kelihatan. Menyebabkan Erica mati di dalam ketawa Izhan. Erica merasakan yang dia benar-benar sudah terpikat dengan Izhan. Dan seketika itu juga hatinya menyumpah-nyumpah akan perkahwinan yang tidak dirancangnya bersama-sama dengan Farish.

“Kita pesan makan dulu, Abang pun dah tahap kebulur dah ni,” Izhan bersuara lagi. Erica sekadar menganggukkan kepalanya. Dia benar-benar tidak mampu bersuara bila berdampingan dengan Izhan. Jatuh cinta pandang pertama kah dia? Erica hanya mampu bertanya di dalam hati.

Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.