Home Novel Komedi/Romantik Komedi Suamiku, Encik Sotong
Suamiku, Encik Sotong
Syikin Zainal
27/5/2013 15:35:23
493,210
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 15

Farish mengambil telefonnya. Kemudiannya diletakkannya balik. Serba tidak kena. Sudah tiga hari dia tidak ke kolej, takut kalau-kalau dia terserempak dengan Erica. Pada Shua dan Dhia Adirra, dia memberitahu yang dia kurang sihat, diserang demam selsema. Memang badannya seram sejuk sejak dari detik dia terserempak dengan Erica. Demam terkejut sebenarnya.

Tidak, dia perlu menelefon Erica. Dia perlu membuat perhitungan dengan Erica. Akhirnya Farish memberanikan dirinya mendail nombor telefon Erica yang diambilnya dari Mama Lia. Farish menunggu dengan perasaan berdebar, agaknya apa lah yang hendak dimaki oleh Erica nanti.

“Hello,” kedengaran suara Erica di hujung sana.

“Hello,” balas Farish.

“Siapa ni?” tanya Erica lagi.

“Aku,” Farish menjawab dengan ringkas. Malas sebenarnya dia hendak mendengar suara milik perempuan itu.

“Aku? Aku siapa?” tanya Erica kehairanan.

“Ish, perempuan ni. Bengap betul. Ini aku lah, Farish. Laki kau.”

Tersembur air di dalam mulut Erica bila mendengar perkataan itu.

“Kau ni kenapa Rica, semenjak dua menjak ni asyik tersembur je,” kata Fatin yang kebetulan ada di samping Erica ketika itu.

“Tak ada apa, kejap ye. Aku nak ke sana. Kau tolong tengokkan beg aku ye Fatin,” kata Erica sebelum bangun meninggalkan teman-temannya. Dia kemudiannya berjalan menuju ke balik tembok. Di pastikan tiada orang disekelilingnya, bila dirasakan keadaanya agak selamat barulah dia meneruskan percakapannya dengan Farish.

“Kau pergi mana? Dah dua hari aku cari kau tau,” marah Erica. Memang benar sudah dua hari dia melilau mencari Farish di sekitar kampus. Dia ingin membuat perjanjian dengan suaminya itu.

“Apahal kau cari aku? Rindu?” sengaja Farish membangkitkan rasa marah Erica.

“Banyaklah kau punya rindu. Aku ingat kau dah arwah. Kita kena jumpa,” kata Erica.

“Aku pun memang nak jumpa dengan kau. Kita jumpa kat KLCC petang ni,” Farish memberikan cadangannya.

“Kau ni gila ke, bodoh ke apa? Kau nak cari bala ke. Kalau kawan-kawan aku nampak, kau dengan aku kat KLCC tu, gossip liar tahu tak?”

“Okey apa, cakaplah kat kawan-kawan kau yang perasan diva tu yang aku ni laki kau. Kellllaaas kau jah.”

“Wei, sotong! Kau jangan nak naikkan darah aku tau. Kalau kau tu macho macam Aaron Aziz ke, Hans Isaac ke, nak lah jugak aku mengaku. Sedarlah sikit, dasar sotong kurita.”

“Amboi secukup rasa kau bagi kat aku ye, sampai naik masak aku kat sini. Apa kau ingat aku kebulur sangat nak mengaku kau tu bini aku? Tollong sikit, kau tu bukan selera aku.”

“Memanglah bukan selera kau, selera kau tu lelaki macho macam selera aku.”

“Rica, aku tak ada masa nak bertekak dengan kau kat telefon ni, menghabiskan kredit aku je. Kalau dah tak boleh jumpa kat KLCC kita nak jumpa kat mana lagi?”

“Kita jumpa kat rumah aku. Kau tahukan rumah aku kat mana? Reti datang rumah aku?”

“Apa kau ingat aku ni bodoh sangat ke?” marah Farish.

“Bukan apa, aku takut kau sesat kat Lorong Haji Taib pulak.” Jawab Erica dengan selamba.

“Mulut kau kan bukan takat bau longkang tapi dah tahap bau bangkai.”

“Ada aku kisah? Malam nanti kau datang rumah aku. Kalau kau tak datang, siap kau,” ugut Erica. Kemudian dia memutuskan panggillannya.

“Kenapa tak jumpa dia kat tempat lain? Kan banyak tempat kat K.L ni?” soal Zahid kepada Erica.

“Tak kuasa Rica. Jumpa kat rumah ni selamat sikit. Nanti kalau kawan-kawan Rica jumpa, kena pakai jubah lah Rica,” jawab Erica bersahaja.

Shirin hanya mendiamkan diri, malas dia hendak melayan kerenah Erica. Naik meluat adalah.

“Rica, tak baik buat macam tu kat dia. Sekurang-kurangnya hormatlah dia sebagai manusia kalau dah tak boleh nak hormat dia sebagai suami,” marah Zahid, sambil itu matanya dijeling ke arah isterinya. Hubungannya dengan Shirin semakin jauh. Kini dia pergi kerja pun berasingan dengan Shirin. Shirin lebih senang ke tempat kerja dengan menaiki kereta sendiri walaupun tempat kerja mereka sehaluan.

“Papa ni nak jadi penceramah bebas ke? Atau sengaja nak mengajar orang lain?” soal Erica. Dia tahu papanya turut memperli Shirin, walaupun tidak secara terang. Shirin berpura-pura tidak mendengar.

“Ikut suka Rica lah, nanti jangan berkasar sangat dengan dia. Dia tahu ke jalan nak ke sini. Papa rasa lama dia tak datang ke sini kan?”

“Entah, tapi dia kata dia tahu. Pandai-pandailah dia.”

Farish sampai di hadapan banglo rumah Erica tepat jam 9.00 malam. Agak lambat. Jenuh lah jugak dia mencari rumah itu, walaupun sebenarnya pemandu teksi itu yang mencari alamat rumah itu. Sengaja dia menggunakan perkhidmatan teksi, senang dan cepat. Lagipun dia bukanlah tahu sangat jalan di Kuala Lumpur ini.

Setelah membayar duit tambang, Farish masuk ke perkarangan rumah itu. Loceng ditekan, kelihatan Zahid keluar dari pintu rumah.

“Assalamualaikum Uncle,” Farish menghulurkan tangannya.

“Waalaikumussalam, Farish datang dengan apa? Tak nampak kereta pun?” Zahid bertanya.

“Naik teksi Uncle,” jawab Farish. Tidak tergamak rasanya dia hendak memanggil Zahid dengan panggilan Papa, rasa janggal.

“Pasal tak drive sendiri? Rica cakap Farish bawak kereta datang sini.”

“Tak berani nak drive lah Uncle. Mama Lia kirim salam.”

“Masuklah dulu, Rica tunggu Farish kat dalam,” pelawa Zahid. Dia pun sebenarnya serba tidak kena untuk menerima Farish sebagai menantunya. Malam itu Farish hanya mengenakan kemeja yang agak ketat berwarna putih dan di taburi dengan bunga mawar berwarna merah jambu. Jeans yang dipakai agak longgar. Digalasnya sebuah beg jenis ‘tote’ yang agak besar bewarna merah samar kehijauan. Zahid menarik nafas yang agak panjang bila melihat lengok Farish ditambah pula dengan sehelai skaf panjang yang menghiasi leher menantunya.

Farish melabuhkan punggungnya ke atas sofa itu, matanya sesekali melilau mencari kelibat isterinya. Kemudiannya matanya tertumpu ke arah dinding di dalam rumah itu. Dia mengeluh melihat warna yang memang tak kena langsung untuk dijadikan warna dinding pada pandangan matanya. Kemudian di tengah ruang tamu itu diletakkan sejambak bunga yang agak besar, betul-betul di atas meja kopi. Juga langsung tidak kena di matanya.

Uncle, siapa yang pilih warna rumah ni?” tanya Farish.

“Er. Rica. Kenapa? Cantik?” Zahid bertanya.

“Patutlah. Tak kena langsung. Rumah ni macam syurga buat kita. Kena tenang dan harmoni, barulah aman. Kalau dah warna terang benderang macam ni, tak ada maknanya.”

“Iya ka? Patutlah balik kerja rasanya macam pening je,” kata Zahid dan memerhatikan persekitaran rumahnya.

“Aku punya rumah, aku punya sukalah nak cat warna apa pun. Warna hitam ke, kelabu tahi anjing ke, putih melepak ke, kau sakit hati kat mana?” tiba-tiba kedengaran suara Erica dari arah belakang. Hampir tersentak Farish mendengar suara yang umpama ngauman harimau itu.

“Bukan sakit hati, tapi sakit mata. Tapi tak apa lah bukan rumah aku pun. Ada aku kisah?” balas Farish sambil memusing-musingkan selendang yang terletak cantik di lehernya.

“Tak kisah sangat lah tu, datang-datang rumah dah komplen macam-macam.”

“Dah lah tu. Kata nak bincang elok-elok. Buat apa nak gaduh-gaduh,” sampuk Zahid yang mula geram dengan karenah Farish dan Erica. Asal berjumpa asyik nak bergaduh.

“Buat kau nak jumpa aku?” tanya Farish.

“Aku nak tanya kau, apa dah tak ada kolej lain kat Melaka sampai kat sini kau nak sambung belajar?”

“Aku punya suka lah nak belajar kat mana pun. Kau sakit hati ke?”

“Memang aku sakit hati. Wei, KL ni bersepah dengan kolej tau, pasal kolej yang sama dengan aku juga yang kau pilih. Kau sengajakan nak sakitkan hati aku. Kau ni memang kurang ajar lah,” Erica berkata dengan geram.

“Kolej tu bapak kau ada syer ke?” Farish berkata dengan selamba. Terlupa pula dia yang Zahid ada di sampingnya.

“Em... Em..” Zahid berdehem sambil menjeling ke arah Farish.

“Ops.. Maaf Uncle, terlajak,” kata Farish sambil meletakkan tangan ke bibirnya.

“Sekarang ni jangan cakap banyak, aku nak kau keluar dari kolej tu,” arah Erica.

“Ewah, ewah, ewah. Sedapnya kau mengarah ye. Kalau aku tak berhenti dari kolej tu kau nak buat apa?”

“Farish, kau jangan nak mengada-ngada. Kau blahdari K.L. Kau tahu tak kalau orang tahu tentang kita, malu aku kau tahu tak?”

“Habis aku tak malu? Kau tahu tak semua orang tahu yang kau dengan kawan-kawan kau tu berlagak diva. Macam lah lawa sangat.”

“Habis kau tu lawa ke? Cantik ke? Vogue sangat ke?”

“Cukup-cukup tu. Kau orang berdua ni, boleh tak selesaikan hal ni baik-baik. Erica, Rica tak ada kuasa nak halang Farish dari belajar kat situ. Itu hak dia. Sekarang kau orang berdua nak tak orang tahu pasal hubungan kau orang? Nak?” marah Zahid. Kedua-duanya mengelengkan kepala.

“Habis tu nak buat macam mana?” tanya Zahid pada mereka berdua.

“Buat apa lagi, buat bodoh je lah,” jawab Farish.

“Takat bodoh tu kau tak payah buat, dah sah-sah lah kau tu bodoh,” Erica bersuara. Setelah diam selama 2 minit.

“Amboi sedapnya, kalau aku bodoh, kau tu apa? Bengap?”

“Astagfirullahalazim, cukuplah tu. Pening dengan kau orang berdua. Tak tahulah kenapa Tengku Khaleeda buat wasiat macam tu. Menyusahkan betul. Sekarang ni macam ni, Rica pergi kolej macam biasa. Buat tak kenal. Jangan nak bergaduh-gaduh nanti pecah rahsia korang. Farish kat sini duduk kat mana? Sewa?”

“Tak, duduk kat kondo yang Mak Engku belikan,” Farish memberitahu.

“Kau duduk kondo tu ke? Sedap nya kau duduk kat situ. Kondo tu hadiah sebab kita kahwin tau. Aku nak kau keluar dari kondo tu. Okey. Kondo bukan hak kau. Pandai-pandai kau duduk kat situ.Suka hati je,” Erica bertambah marah.

“Kondo tu bukan hak kau juga. Aku ni kan suami, suka hati aku lah nak duduk kat mana. Kalau kau nak, kau duduk sekali dengan aku. Nak? Bilik ada lagi. Tapi Master Bedroom aku punya. Kau boleh duduk dalam bilik stor. Sesuai sangat dengan perempuan perasan diva macam kau ni.”

Erica sudah tidak dapat menahan persaannya. Tanpa di duga dia menerkam ke arah Farish, kemudian dia tolaknya Farish dan ditempelingnya muka Farish.

“Adoi, sakitlah. Kau ingat aku ni batang pisang ke?” Farish tidak memberikan peluang. Dia juga menolak Erica, kuasa lelakinya jelas telah keluar. Terpelanting Erica jatuh, mujurlah jatuhnya Erica di atas sofa. Zahid mula masuk campur. Shirin yang dari tadi hanya memerhati dari pintu bilik ketawa, agak kuat. Hingga berjaya menarik pandangan Zahid kepadanya.

“Shirin, tolonglah,” Zahid memanggil isterinya.

“Anak you, you handlelah sendiri. I nak jadi penonton sahaja,” jawab Shirin bersahaja sambil memeluk tubuh langsingnya.

“Kamu berdua ni kenapa? Perangai mengalahkan budak-budak. Cukuplah tu. Kalau dah tak suka, buat apa nak kahwin? Sebab harta? Kalau dah nak kahwin sebab harta, bertolak ansur lah. Dah dapat harta yang kau orang idamkan sangat tu, kau orang punya suka. Nak bercerai ke, nak apa ke? Tapi sekarang ni kau orang berdua dalam rumah Papa. Kalau nak gaduh-gaduh, nak maki-maki pergi gaduh kat rumah arwah Nenda, wasiat dia kan yang menyebabkan kau orang berdua ni kahwin kan? Bukan wasiat Papa,” marah Zahid. Dia sudah tidak dapat mengawal amarahnya melihat tingkah anak dan menantunya. Macam anjing dengan kucing.

Erica memuncungkan mulutnya, begitu juga dengan Farish. Masing-masing mengalihkan pandangan. Seorang ke utara seorang ke selatan. Menyampah sungguh melihat muka pasangan masing-masing.

“Jadi macam mana sekarang?” soal Zahid bila semuanya kelihatan agak tenang.

“Macam mana apanya? Carilah rumah lain. Apa hal nak duduk rumah tu gak? Bagi sewa pun dapat untung.” Erica berkata. Farish menarik nafas yang panjang, cuba mengawal marahnya.

“Boleh, aku duduk sini nak? Aku duduk bilik kau? Kita duduk sekali. Kita kan suami isteri. Kau nak macam tu? Aku tak kisah,” Farish memberikan buah fikirannya.

“Banyak lah kau nak duduk sini. Kau balik Melaka. Pergi jual baju. Tak pun pergi belajar main opera kat Melaka. Sesuai sangatlah dengan sotong macam kau ni,” Erica menyakitkan hati Farish lagi. Zahid mengelengkan kepalanya, Sudah tidak tahu bagaimana hendak meyelesaikan pertelingkahan antara Erica dan Farish.

“Aku ni nasib baik rumah bapak kau. Kalau tidak,, ish malas nak cerita lah,” Farish menjawab dengan geram.

Stop it. Sekarang ni biar Papa yang buat keputusan. Farish duduk je kat rumah tu. Rica pun kalau nak duduk situ pun boleh. Kalau rasa tak nak duduk situ, jangan nak suruh Farish keluar pulak. Tiga tahun sahaja, lepas ni gasak kau orang lah nak buat apa.”

Erica dan Farish masing-masing mendiamkan diri.

“Papa, siapa anak Papa sebenarnya ni? Rica ke sotong ni?” tanya Erica sejurus dia mendengar cadangan Papanya.

“Ini bukan masalah anak ke bukan. Masalahnya nak selesaikan masalah kamu. Kan Rica jugak cakap, malu kalau orang tahu apa yang berlaku. Sekarang ni kalau tak nak orang tahu, buat macam biasa je lah. Jangan nak gaduh-gaduh. Jangan tarik perhatian orang pada hubungan Rica dengan Farish.”

“Saya tak kisah,” jawab Farish.

“Tak kisah lah, beraya sakanlah sebab kau boleh duduk kat kondo tu. Kau boleh lah bawak jantan-jantan balik ke rumah kau, lepas kau kerjakan dia orang,” kali ini Erica sudah melampaui batas.

“Erica Soffea. Apa kau cakap ni. Aku ingatkan kau ni bijak, pandai. Rupanya kau ni bodoh. Kau ingat aku ni apa? Gay? Pondan? Aku ni lelaki. Memang aku ni lembut. Tapi lembut aku bukan bermakna aku sukakan jantan. Aku nak apa-apakan kau pun boleh sebab kau ni isteri aku. Tapi aku tak ada selera nak tengok orang macam kau ni. Harap muka sahaja cantik, tapi perangai macam.... Malas aku nak kata. Kau nak sangat kondo tu, tak apa kau boleh ambil. Aku tak heran, tapi kau jaga sikit mulut kau yang dah tahap lombong lama tu. Sesuka hati je nak menuduh. Aku ada maruah tau, aku ada pegangan agama. Sampai hati kau cakap macam tu kat aku. Apa yang kau geram sangat kat aku? Kau marah sebab Mak Engku sayangkan aku? Aku tak nak lah harta dia semua. Aku bersyukur sebab dia menjaga aku lepas aku kehilangan ayah aku. Aku tak terfikir pun dia nak buat wasiat macam ni. Apa kau ingat aku kahwin dengan kau ni sebab duit? Sebab harta? Kau fikirlah, aku tak dapat apa-apa dari perkahwinan ini. Lainlah kau dapat jadi Pengerusi. Tapi aku setuju sebab dua perkara. Pertama sebab aku sayangkan Mak Engku. Aku nak balas jasa dia, dan yang kedua sebab kau tu yang cabar aku. Kau ego sangat. Aku belajar kat sini pun sebab arwah Mak Engku yang suruh, dan aku pun tak tahu kau belajar kat situ. Kalau aku tahu aku pun tak teringin nak belajar kat situ. Tak kuasa aku nak mengadap muka kau yang dah tahap cipan beranak empat. Saya balik dulu Uncle. Erica, aku tak kenal kau dan kau tak kenal aku. Titik. Kita jumpa balik selepas tiga tahun. Assalamualaikum,” kata Farish dengan panjang lebar. Dia bangun dari sofa empuk itu. Tidak dipalingnya muka untuk mengadap muka Erica Soffea. Rasa marah yang membuak sudah menjadi benci dan terkilan.

“Farish, tunggu dulu. Dah malam ni. Bukan senang nak dapat cab kat kawasan ni. Lagipun Farish kan baru sampai. Duduk dulu, nanti Uncle hantar balik,” panggil Zahid. Dia turut terpukul dengan kata-kata Farish.

“Tak apa lah Uncle, saya kena balik. Urusan saya dengan Erica sudah selesai di sini. Lagipun, makin lama saya duduk kat rumah Uncle ni, nanti ditimpa mala petaka pula. Ialah saya ni jahat, suka buat maksiat. Bukan macam orang kat dalam rumah ni, golongan ahli syurga,” Farish berkata lagi. Kali ini ada sendu di dalam suaranya. Zahid tahu yang Farish benar-benar terkilan dengan kata-kata Erica. Zahid menjeling ke arah Erica yang sudah seperti harimau kehilangan belang. Diam seribu bahasa, mukanya hanya tertunduk memandang lantai yang licin dan berkilat. Buat pertama kali Zahid melihat ego anaknya itu mati kutu.

Zahid mengekori Farish, sebelum keluar dari rumah sempat dia mengambil kunci keretanya. Langkah Farish terhenti bila dia merasakan bahunya disentuh dari belakang.

“Farish,” panggil Zahid lembut.

Uncle,” kata Farish di dalam tangis, kemudian di peluknya dada bidang milik Zahid. Terkedu Zahid dibuatnya. Pertama kali dipeluk sedemikian rupa oleh manusia yang sama jantina dengannya.

“Okey, Uncle hantar balik,” Zahid berkata sambil merenggangkan badannya dari pelukan Farish.

Enjin kereta dihidupkan dan dengan perlahan Zahid menyusuri keluar dari kawasan rumahnya. Pintu pagar itu di tutup secara automatik. Zahid hanya menjeling ke arah Farish yang masih lagi di dalam sendunya. Kasihan pulak melihat Farish dalam keadaan yang sebegitu. Hilang macho seorang lelaki.

“Maafkan lah Erica, dia tu memang macam tu, angin satu badan,” Zahid memulakan bicara.

“Tuduhan dia tu memang melampau. Dia ingat saya ni apa? Tak ada iman ke?” jawab Farish.

“Betul lah tu, Dah lah. Farish dah makan ke? Kalau belum jom kita pergi makan dulu.”

“Tak apa lah Uncle, saya dah tak ada selera nak makan. Uncle tahu ke kondo tu kat mana?” soal Farish.

“Tahu. Sepatutnya Farish kena panggil Papa, bukan Uncle macam dulu.”

“Emm.. Tak ada maknanya. Uncle pun tak dapat terima menantu macam saya ni kan. Lelaki lembut. Lagipun saya jadi menantu Uncle hanya tiga tahun, selepas tu kita tak ada hubungan kecuali hubungan sesama islam.”

“Farish pun sama macam Erica, Uncle ingatkan Farish ni lain. Kalau Farish sayangkan arwah Mak Engku sepatutnya Farish kekalkan perkahwinan ini. Itu hajat arwah kan? Memang betul Uncle pada mulanya tidak setuju dengan perkahwinan ini. Tapi bila Uncle lihat Farish malam ni, Uncle yakin Farish dapat mengubah Erica. Erica memang seorang yang egois. Dia memang keras kepala. Farish, Uncle bukan nak kutuk atau mentafsir Farish macam mana. Tapi Farish tengok sendiri diri Farish, Farish senang ke dengan cara Farish macam ni? Dulu masa Uncle kenal Farish, tak lah selembut ni.Tak salah jadi lelaki lembut tapi berdosa kalau cuba mengubah apa yang ditentukan ALLAH,” Zahid memberi nasihat yang selembut mungkin. Tidak mahu Farish tersalah tafsir dengan maksudnya.

“AstagfirullahalAzim, apa yang Uncle cuba cakapkan ni? Uncle pun macam Erica juga?”

“Bukan Farish. Bukan itu maksud Uncle. Uncle cuba mahu meluaskan skop lelaki lembut. Lelaki lembut bukan kena jalan melenggang macam perempuan, kena make-up, kalau bersembang kena kepak-kepak tangan. Macam yang Farish amalkan sekarang.”

Uncle, Farish desingner bukan engineer. Benda ni dah sejak azali lagi tau. Ingat Farish suka-suka nak buat macam ni. Farish sukakan kecantikan, salah ke, kalau Farish teringin nak merasai kecantikan itu? Salah ke?”

“Farish, tak salah suka kan kecantikkan, malah islam sendiri itu cantik. Tapi macam mana kita aplikasikan kecantikkan itu. Ambil Bernand Chandran sebagai contoh, dia designer, tapi dia macho, dah kahwin. Anak dua. Itu yang Papa cuba maksudkan. Kenapa kena hadkan pemikiran kita, kalau aku nak jadi pereka fesyen, aku kena lembut. Kalau nak jadi make-up artis aku kena jadi macam perempuan. Itu dah salah. Kita lelaki, kita juga perlu lembut tapi kelembutan kita ada had. Kita boleh berfesyen tapi jangan sampai fesyen kita menimbulkan syak pada orang. Itu maksud Uncle. Uncle kenal Farish, tapi kalau orang yang tak kenal siapa Farish, Farish lepak pulak kat KLCC malam-malam, habis lah. Uncle harap Farish tak marah. Uncle cakap atas nasihat seorang ayah pada anaknya,” Zahid memegang tangan Farish. Farish menelan air liurnya. Suasana kembali sunyi.

Farish melemparkan pandangan jauh ke luar tingkap melihat cahaya neon yang menyimbahi jalan. Terasa begitu menusuk mendengar kata-kata dari Zahid . Air mata yang mengalir laju di sekanya. Entahlah, seingatnya dia dulu macam budak lelaki yang lain-lain. Sukakan aktiviti lasak, main perang-perang. Pendek kata memang dia lasak. Namun setelah kematian ayahnya, dia di ambil oleh majikan ayahnya, Tengku Khaleeda untuk dijaga. Sejak itu semua seakan-akan sudah berubah. Hidupnya hanya dikelilingi oleh wanita-wanita di rumah agam itu. Jika tidak pun masanya dihabiskan di butik milik Mama Lia, disitu dia didedahkan dengan dunia fesyen dan kecantikan. Dan sejak itu minat hanya pada fesyen dan alat solek.

“Dah sampai ni. Betul ke tak nak makan?” tanya Zahid sekali lagi.

“Emm, terima kasih Uncle,” Farish menjawab.

“Papa, panggil Papa. Bukan untuk tiga tahun sahaja tapi untuk selama-lamanya,” kata Zahid. Farish menganggukkan kepalanya. Tangannya dihulurkan untuk bersalam dengan bapa mertuanya.

“Terima kasih atas nasihat Papa tadi. Farish minta maaf atas sikap Farish kat rumah Papa.”

It’s okey. Lagipun itu salah Erica. Farish hanya mempertahankan maruah Farish. Papa balik dulu, assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam." Farish menjawab. Kemudian dia turun dari kereta milik Zahid, pintu kereta ditutup perlahan. Farish menunggu sehingga Zahid hilang dari pandangannya sebelum dia melangkah menuju ke kondominium milik dia dan Erica.

Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.