Home Novel Komedi/Romantik Komedi Suamiku, Encik Sotong
Suamiku, Encik Sotong
Syikin Zainal
27/5/2013 15:35:23
493,239
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 18

Sudah seminggu Izhan tidak menghubungi Erica, sengaja dibiarkan Erica lemas dalam perasaannya sendiri. Berpuluh kali Erica cuba menghubunginya namun satu pun tidak di jawab. Sebenarnya Izhan juga takut untuk bersemuka dengan Erica, ini kerana apa yang dikatakan oleh Erica itu benar belaka. Memang dia mendekati Erica semata-mata untuk mendapatkan apa yang menjadi milik Erica.

Izhan memusing-musing telefon bimbit ditangannya. Selalunya di hujung minggu sebegini, harinya akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti, Tetapi sejak dia menjinakkan diri dengan Erica, semua wanita yang pernah didampinginya terpaksa di lupakan. Dia tidak mahu terserempak dengan Erica, maklumlah Kuala Lumpur bukannya besar mana pun. Pusing-pusing mesti akan terserempak juga di mana-mana. Kebetulan pula memang di saat ini dirinya memang tidak mempunyai teman wanita, baik secara tetap atau secara separuh masa.

“Tak keluar ke?” tanya Tengku Eddrus kepada anak bujang berstatus buaya itu.

“Tak. Papa tak balik rumah lagi satu ke?” Izhan bertanya pula kepada Papanya. Tengku Eddrus mengelengkan kepalanya sahaja. Dia sudah 20 tahun mengahwini Salina, bekas setiausahanya.

“Mama mana?” Tengku Eddrus bertanya lagi. Dari tadi dia cuba mencari kelibat isterinya.

“Kat luar, sibuk dengan orkid. Izlan macam mana? Jadi ke nak sambung belajar?” soal Izhan lagi. Izlan adalah satu-satunya adik yang dia ada. Walaupun berlainan ibu namun Izhan menyayangi Izlan.

“Jadi. Bulan depan pergi sana. Mama, Papa dengan Mummy pergi Australia untuk hantar dia. Iz nak ikut?” tanya Tengku Eddrus.

“Tak pergi, banyak kerja kat ofis,” jawab Izhan. Dia kemudiannya membelek lagi telefon bimbitnya, di saat ini kalau Erica telefon bagus juga, hatinya berbisik.

“Papa dengar cerita, Iz semakin rapat dengan Rica, betul ke?”

Izhan hanya tersenyum sinis, mengiya tidak menafikannya pun tidak.

“Iz lupa ke, Rica tu sepupu Iz lagipun dia kan isteri Farish.”

“Nama je isteri Farish, tapi bukan isteri pun. Tak kan Papa tak tahu Farish tu macam mana. Pandai ke dia nak layan Rica tu?” ejek Izhan.

“Iz, Iz. Iz nampaknya dah makan jarum Mama ni. Mama yang suruh kan? Apa lagi yang tak kena ni. Kasihan kat Rica. Dia jadi mangsa.”

“Mangsa apa kebendanya Papa. Dia dah jadi Pengerusi.”

“Itupun sebab dia kena kahwin dengan lelaki macam Farish tu. Iz tahu kan status dia. So nak suruh dia buat dosa, suruh dia curang dengan laki dia?”

Come on Papa. Papa tahu kan dia orang terpaksa kahwin. Lagi pun tiga tahun sahaja. Lepas itu..” Izhan senyum lagi.

“Cukup-cukuplah dengan apa yang ada. Kalau Rica Pengerusi pun bukan kita tak dapat apa. Mama tu, penasihat lagi. Buat apa kita nak kacau hak dia,” Tengku Eddrus pening dengan sikap tamak isterinya. Kini anaknya turut terjerumus dengan dengki Tengku Atylia.

“Katakan Farish bercerai dengan Rica selepas tiga tahun, Iz nak kahwin dengn dia pulak?”

“Kahwinlah, kalau boleh sekarang pun nak kahwin. Tapi nak buat macam mana dah arwah Nenda tetapkan tiga tahun. Tunggu je lah,” jawab Izhan bersahaja.

“Ikhlas? Atau semata-mata untuk jawatan Pengerusi tu?”

Izhan mendiamkan diri.

“Sebab tu Papa cakap Rica yang jadi mangsa. Iz dah dapat jawatan tu, lepas tu, tinggalkan dia bodoh macam tu je. Jangan lupa, Iz tu ada pertalian saudara dengan dia. Dia darah daging kita juga. Sanggup Iz nak toreh daging saudara sendiri?” tanya Tengku Eddrus lagi. Izhan diam lagi. Hilang kata-kata.

“Kenapa tak jawab? Hilang kata-kata?” tempelak Tengku Eddrus.

“Sampai masa Iz jawab. Tapi sekarang, Iz tetap dengan rancangan Iz. Papa tengok nanti, jangan jeleous bila lagi tiga tahun, Pengerusi Khaleeda Holdings adalah Tengku Izhan Bin Tengku Eddrus.” Balas Izhan dengan yakin.

Tengku Eddrus mengelengkan kepalanya, nampaknya menjadi juga idea isterinya.

“Apa yang dibualkan, sampai tak perasan Mama kat sini. Iz tak keluar ke?” Tengku Atylia masuk. Kemudian dia duduk disamping suaminya.

“Tak ada apa,” kata Izhan.

“Abang tengah nasihat Iz, supaya jangan kacau Rica,” tetapi Tengku Eddrus menyatakan pula apa yang dibualkan dengan anaknya tadi, sengaja dibiarkan isterinya turut tahu.

“Kenapa pula, Rica tu kan sepupu dia, kenapa pula tak boleh nak berbaik dengan dia?” Tengku Atylia kehairanan.

“Kalau nak berbaik tak apa, tapi ini ada udang di sebalik batu, dan you mastermind dia kan?”

“Abang ni, tak payah masuk campur urusan tu, tahulah Iz nak buat apa. Malam ni macam mana?” kata Tengku Atylia. Dia tahu suaminya tidak menyokong tindakannya dengan Izhan.

“Ada plan ke?” Tengku Eddrus menyoal.

“La, lupa lah tu. Malam ni kan ada program kat rumah Tan Sri Khalil. Atau Abang nak bawah Salina?”

“Lupa pula Abang. Apa pula nak bawak Salina, kan Abang dah janji nak bawak bini tua,” usik Tengku Eddrus.

“Tahu tak pa,” balas Tengku Atylia. Dia sekarang boleh menerima baik kehadiran Salina dan Izlan dalam keluarganya. Kadang-kadang dia akan meluangkan masa mengunjungi spa yang dimiliki oleh Salina, madunya. Izhan membiarkan sahaja perbualan antara Mama dan Papanya, dia memejamkan matanya. Namun telinganya masih lagi mendengar bait-bait perbualan orang tuanya. Dan kemuadian wajah Erica memenuhi fikirannya, dia tersentak.

“Iz ni kenapa? Macam tengok hantu je,” tegur Tengku Atylia. Tengku Izhan diam.

Previous: BAB 17
Next: BAB 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.