Home Novel Komedi/Romantik Komedi Mr Singa Miss Selamba (UPDATE)
BAB 14

LANGKAH Iqram dan Maira terhenti di depan pintu bilik hotel yang tertulis nombor 328.

Iqram memusingkan tubuhnya menghadap figura Maira. “Okey, ni bilik awak. Bilik saya kat sebelah. So, kalau ada apa-apa, awak ketuk aje bilik saya tu ya.” Dia menyua kunci bilik ke arah Maira.

Maira tersenyum lebar. “Terima kasih, bos!”

Baru sahaja dia hendak mencapai kunci bilik di tangan Iqram, tiba-tiba lelaki itu membaling kunci itu ke udara. Sebaik sahaja kunci itu jatuh semula ke tangannya, cepat-cepat dia menggenggam kunci itu.

Maira tercengang. “Eh, apa ni, bos? Kenapa bos buat macam tu?” Dengan terpinga-pinga, dia menyoal.

Garis senyum sinis menghiasi bibir Iqram. Dia mendekatkan wajahnya ke wajah Maira. “Berterus-terang dengan saya, Maira! Jawab soalan saya ni dengan jujur!” Suaranya kedengaran begitu tegas sekali.

Maira berdecit geram. “Hisy, bos ni dah kenapa hah? Soalan apa pulak ni? Boleh tak kalau tak payah nak berteka-teki depan bilik hotel ni? Badan saya ni dah melekik tau! Saya nak mandi, nak tukar baju!” herdiknya dengan suara geram.

Iqram pamer senyum sinis. “Saya boleh bagi kunci bilik ni pada awak, tapi ada syaratnya.”

Maira menarik muka cemberut. “Hisy, apa syaratnya? Cepat bagitahu!” bentaknya geram.

“Syaratnya senang aje.” Iqram membalas. “Awak cuma…”

“Cuma apa?” potong Maira sebelum sempat Iqram menghabiskan bicara.

Iqram berdecit geram. “Cuba dengar cakap saya dulu. Tak payahlah nak potong cakap saya!” bebelnya.

Maira menyengih. “Okey… okey… cakap!”

Rona wajah Iqram berubah serius. “Jawab dengan jujur, Maira! Apa sebenarnya yang tok cakap masa kita kat sana tadi? Kenapa tiba-tiba aje dia tanya soalan macam tu kat awak?” Dia cuba mengorek rahsia.

Sengihan Maira terus mati. Dia mengetap bibir. Aduh, sekali lagi dia tanya soalan cepumas tu. Nak jawab apa ni ya? “Err…”

“Maira Qaisarah!” seru Iqram apabila tiada tanda-tanda untuk gadis itu bersuara.

“Err…” Maira menggaru kepalanya yang tidak gatal. “Mmm… mana ada apa-apa, bos! Betul, tok tak ada cakap apa-apa pun kat saya!” Dia berusaha menafi dengan nada suara keras. Tidak mahu lelaki itu mengetahui perkara sebenar. Biarlah rahsia itu terus terkubur tanpa ada batu nisannya. Tak apa, dia rela asalkan lelaki itu tidak tahu!

Iqram mendengus. Kunci bilik itu ditayang ke muka Maira. “Awak nak kunci bilik ni tak?” provoknya.

“Naklah!” balas Maira sambil merenung tepat ke arah kunci yang ada di tangan Iqram. Sedaya upaya dia cuba merampas kunci itu, namun gagal. Lelaki itu lebih pantas bertindak.

Iqram senyum sinis. “Kalau awak nak kunci bilik ni, lebih baik awak berterus-terang dengan saya. Apa yang tok cuba sampaikan?” Dia berterus-terusan mendesak. Memaksa agar Maira berterus-terang.

Maira bengang. “Hisy, tak ada apa-apalah!” bentaknya. Dia nilah, memang nak kena belasah cukup-cukup ni! Aku balun kau dengan selipar Jepun aku ni, baru padan dengan muka kau! Sengaja cari pasal dengan aku tau! Anginnya mula mencanak naik ke atas kepala. Sungguh, dia geram dengan telatah Iqram.

“Betul?” desak Iqram lagi.

“Hisy! Betullah, tak ada apa-apa!” bentak Maira dengan suara kasar.

Iqram bengang. “Fine! Kalau macam tu, awak tidur ajelah kat luar malam ni ya. Selagi awak belum berterus-terang dengan saya, selagi tulah saya tak akan serahkan kunci bilik ni kat awak.”

Maira ternganga. Alamak! Takkanlah aku nak tidur kat luar malam ni? Hisy, aku tak tidur kat kaki lima ni! Banyak nyamuk! Tak nak aku derma darah kat si penghisap darah tu! “Hisy, janganlah buat saya macam ni, bos!” rayunya beria-ia.

“Kalau awak tak nak saya buat macam tu, lebih baik awak berterus-terang!” ugut Iqram lagi.

Maira terdiam sejenak. Erk, nak buat apa ni ya? Pokoknya, dia tak boleh tahu! Otaknya dikerah keras untuk mencari idea bagi mengelak daripada menjawab soalan cepumas itu. Terlintas satu idea nakal di benaknya. Spontan, bibirnya terukir senyum penuh makna. He he he…tu dia, tanduk jahat dah keluar! Siap kau, Iqram Fattah!

“Bos betul-betul nak tahu ke ni?” tanya Maira dengan suara lunak.

Iqram mengangguk laju. “Yes Maira, tell me the truth. Now!” desaknya lagi.

Maira pamer senyum manja. Siap berkedip-kedip mata lagi. “Kalau bos nak saya berterus-terang, bos kena janji dengan saya dulu!” Begitu lembut sekali suaranya di telinga Iqram.

“Janji apa?” balas Iqram ingin tahu.

“Bos janji akan bagi kunci bilik tu kat saya, boleh?” balas Maira beria-ia.

Cepat-cepat Iqram mengangguk sebagai jawapan. “Saya janji!”

“Tapi…” Sengaja Maira hendak bermain tarik tali dengan Iqram.

Dahi Iqram berkerut. “Tapi apa?”

Maira merenung manja wajah Iqram. “Saya nak tengok kunci bilik tu dulu. Lepas tu, barulah saya berterus-terang pada bos,” balasnya beria-ia.

“Okey,” Kunci di tangannya itu, segera ditayangkan ke muka Maira. “Ni dia.”

Maira menjungkit sebelah keningnya. Bola matanya terarah tepat ke arah kunci yang ada di tangan Iqram. Dia senyum penuh makna. “Sebenarnya…” He he he… Maira, masa untuk bertindak! Dengan selamba badaknya, dia terus merampas kunci itu dari tangan Iqram. “Sebenarnya tak ada apa-apa, bos. Ha ha ha… bos dah kena tipu dengan saya! Padan muka, satu sama!” Cepat-cepat dia membuka pintu, lalu terus membolos masuk ke dalam. Daun pintu bilik segera ditutup rapat, lalu dikunci dari dalam.

Iqram terkujat. Erk? Sungguh, dia tidak menduga Maira boleh mengambil tindakan sebegitu rupa. Ah, gadis itu lebih bijak darinya! Cis, tak guna! Aku dah terkena!

“Maira! Maira!” Bagai hendak pecah daun pintu bilik itu dikerjakan Iqram, namun tiada tanda-tanda untuk gadis itu membuka pintu biliknya itu.

Dia berdecit geram. “Argh! Tak guna kau, Maira! Kau kenakan aku ya? Tak apa… tak apa… Hari ni kau terlepas, tapi esok lusa belum tentu lagi tau! Ada lori, ada bas. Ada hari aku balas! Siap kau, Maira Qaisarah!”

FIGURA Iqram diintai melalui lubang tengah daun pintu. Lelaki itu sudah tiada lagi di depan pintu biliknya. Dia menarik nafas lega. “Dia dah balik bilik dia kot,” fikirnya.

Serentak itu, dia berjalan ke sofa lalu melabuhkan duduk di situ. Dia menghela keluhan panjang. “Penatnya!” desisnya sendirian. Dia merebahkan tubuhnya ke atas sofa. Sebelah tangannya dibengkokkan, lalu diletakkan di bawah kepala.

Fikirannya menerawang mengingati Iqram. Tatkala sebaris nama itu meniti di benaknya, sekali gus mengundang sebuah keluhan di bibir. Perbuatan lelaki itu masih lagi segar di layar ingatannya. “Dia betul-betul dah gila!” gumamnya sendirian.

Maira kenal siapa Iqram Fattah! Selagi lelaki itu belum mengetahui perkara sebenar, selagi itulah dia akan cuba menggeledah. Kalau lelaki itu terus bersikap sebegitu rupa, tidak mustahil dia akan meneruskannya di masa akan datang.

Ah, kalut! Dia berdecit. Dia bangun lalu terus berdiri. Lalu, dia berjalan mundar-mandir. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Segenap inci bilik hotel itu habis diterokainya.

Dia berdecit. “Kalaulah dia buat kerja gila tu lagi, macam mana? Hisy, aku nak buat apa ni? Kalau dia berterus-terusan mendesak untuk tahu perkara sebenar, mati aku nak menjawabnya! Iqram Fattah tu bukannya boleh diduga sikapnya,” desisnya sambil mengusap kepalanya yang semakin kusut itu.

Tiba-tiba, bayangan wajah Hajah Sakinah menerobos masuk ke layar ingatannya. Sekali gus, peristiwa sewaktu berada di rumah wanita tua itu kembali tertayang di ingatannya.

“TOK nak melamar hang jadi isteri Iqram, Maira,” kata Hajah Sakinah bersama segaris senyum penuh makna di bibir.

Maira tergamam. Matanya sudah membuntang luas. “Tok cakap apa ni? Maira tak faham.” Sungguh, dia benar-benar terkejut demi mendengar sebaris ayat yang meniti di bibir wanita tua itu. Biar betik?

Garis senyum penuh makna masih meniti di bibir Hajah Sakinah. Dia merenung lembut figura Maira, sambil meramas tangan gadis itu. “Hang ni perempuan baik, Maira. Berbeza sangat dengan bekas tunang Iqram, Ain Suraya. Perempuan tu,” Dia berdecit. “Hisy, tak sesuai nak jadi bini Am tau. Lainlah hang, comel, baik hati, penyayang.” Tambah wanita tua itu lagi.

Maira terkedu. Erk, kenapa tiba-tiba aje dia keluarkan kenyataan macam ni? Demi mengenangkan gelagat Hajah Sakinah, serta-merta bulu romanya terpacak berdiri. Dia menarik nafas panjang. “Apa yang tok cuba sampaikan ni?” desaknya, tidak sabar ingin tahu apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh wanita tua itu.

“Tok tak main-main, Maira. Tok serius! Tok nak melamar hang jadi isteri Iqram,” balas Hajah Sakinah sekali lagi. Kali ini dengan nada suara tegas.

Maira terus terkedu. “Apa?” Dia menjerit kecil. Erk, dia bermimpikah? Dia menampar kedua-dua belah pipinya. Ouch, sakit! Itu bererti… dia ternganga. Oh My ALLAH!

BUNYI beep dari telefon bimbit sekali gus mematikan lamunan Maira. Demi menyedari ketelanjuran diri, dia segera beristighfar panjang lalu meraup wajahnya. “Ya ALLAH… jauhnya aku termenung,” desisnya sendirian.

Serentak itu, dia mencapai telefon bimbit berjenama Samsung Galaxy 5s lalu menekan punat open untuk melihat mesej yang dikirim oleh si pengirimnya. Matanya sedikit bulat demi melihat mesej Iqram di layar skrin.

Kita keluar dinner malam ni. Saya tunggu depan bilik awak tau. Awak mesti keluar dari bilik tepat pukul 8.00 malam! Ingat, saya nak awak punctual!

“Hisy, suka-suki kau aje nak mengarah orang kan? Kau ingat kau tu siapa hah? Adolf Hitler zaman moden? Tak cukup kat pejabat, kat luar pun nak mengarah lagi? Huhh, perangai kau tu hodoh sungguh tau!” bebel Maira bersama cebikan geram di bibir. Sakit hatinya demi membaca sebaris mesej itu. Argh!

Tiba-tiba, telefon bimbitnya berdering lagu Mamacita nyanyian kumpulan Superjunior. Spontan, dia merenung ke skrin. Dia mendengus geram demi melihat sebaris nama yang muncul di skrin. “Hisy, dia nak apa lagi?” bentaknya dengan suara tidak puas hati.

Walaupun mulutnya membebel tanpa henti, namun jarinya cepat memainkan peranan. Punat berwarna hijau ditekan, lalu telefon bimbit sederhana besar itu diletakkan ke telinga kanannya. “Hmm… bos nak apa?” Suaranya dingin.

“Awak dah dapat mesej saya?” balas Iqram tanpa menjawab soalan Maira terlebih dahulu.

“Dah!” jawab Maira geram.

“Good! So, jangan lupa dinner kita malam ni tau. Haa… tepat pukul 8.00 malam ya, Cik Maira Qaisarah!” Tutt! Iqram segera mematikan talian.

Maira ternganga luas. Telefon bimbitnya itu ditenung sejenak. “Amboi, selamba badak aje kau matikan talian kan? Huhh!” herdiknya.

Mengenangkan arahan umpama petir berdentum itu, cepat-cepat Maira bangun. Dia mahu mandi, mahu membersihkan diri dan bersiap-siap untuk keluar makan malam bersama Iqram a.k.a Mr. singa!

Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.