Home Novel Komedi/Romantik Komedi Mr Singa Miss Selamba (UPDATE)
BAB 33

BUNYI jam loceng yang nyaring sekali gus membuat Iqram terus bangun lalu duduk bersila di atas katil. Sambil menguap panjang, dia menoleh ke arah jam. “Hisy, bisinglah jam loceng ni!” bentaknya. Seraya itu, jam loceng itu diambil lalu dimatikan bunyi deringan itu. Kemudian, dia meletakkan jam loceng itu semula ke meja.

Dia menoleh ke arah bilik air. Sebelah keningnya terjungkit ke atas. Dia tersenyum. “Aik, dia belum keluar dari bilik air lagi?” Tergeleng-geleng dia demi mengenangkan gelagat Maira. “Maira… Maira…”

Dia bangun lalu berjalan ke arah almari. Daun pintu almari dibuka, lalu dia mencapai sehelai tuala berwarna putih jernih. Sesudah itu, dia berjalan keluar dari bilik itu. Kebetulan ada satu bilik air di luar, jadi dapatlah dia membersihkan diri di situ.

Sesudah mandi dan bersiap ala kadar, Iqram masuk semula ke bilik. Demi melihat ruang bilik yang masih lagi kosong, dia menggeleng. “Ya ALLAH… dia masih lagi berkubang dalam bilik air?” Sekali lagi dia menggumam sendirian.

Lantas, dia berjalan ke muka pintu bilik air. Tombol pintu bilik air dipulas, namun gagal kerana pintu itu berkunci dari dalam. Dia berdesis halus. “Awak ni betul-betul dah gila, Maira! Ayam dah berkokok pun, awak masih lagi bertelaku dalam bilik air? Entah-entah awak tengan seronok main air? Siap jadi badak berendam lagi,” kutuknya.

Daun pintu bilik air itu diketuk kuat. “Maira! Maira! Maira!” Dia melaung kuat memanggil nama isterinya itu.

Diam! Langsung tiada tanda-tanda untuk isterinya itu menyahut panggilannya.

Iqram mengeluh kecil. “Aduh, dia ni betul-betul dah parah ni!” bentaknya, mula hilang sabar dengan telatah Maira.

Dia terdiam sejenak, sambil berjalan bermundar-mandir di hadapan bilik air. Dagunya diketuk perlahan. Memerah otak bagi mencari idea untuk membawa Maira keluar dari sana. “Hmm… nak buat macam mana ni ya?” desisnya sendirian.

“Hisy, tak boleh jadi ni!” Serentak itu, dia mengetuk kuat daun pintu bilik air itu. “Maira! Maira! Baik awak keluar sekarang!” jerkahnya dengan suara nyaring.

Maira yang baru sahaja terjaga dari lena, terus terkejut besar demi mendengar laungan Iqram. Hampir gugur jantungnya gara-gara terkejut. Dadanya diurut perlahan. Pergh, kuss semangat!

“Maira, keluar sekarang!” Sekali lagi Iqram melaung memanggil nama Maira dari luar pintu bilik air.

Maira berdecit geram. Serta-merta dia keluar dari tab mandi lalu meluru ke muka pintu. Dia berdiri sambil bercekak pinggang di situ. “Saya tak nak keluar! Saya nak duduk dalam ni sampai bila-bila!” jeritnya dengan suara nyaring.

Iqram mendengus geram. “Awak jangan cabar saya, Maira! Lebih baik awak keluar sekarang! Saya tendang pintu bilik air ni nanti!” ugutnya.

Maira pamer senyum sinis. “Tendanglah! Ada saya kisah?” Sengaja dia hendak mencabar suaminya itu.

Iqram mula hilang sabar dengan telatah Maira. “Awak betul-betul sengaja cabar saya kan? Fine, saya tak akan mengalah. Saya akan buat awak keluar dari bilik air! Siaplah!” tekadnya.

Iqram terdiam sejenak. Memikirkan cara yang paling berkesan untuk membuat Maira keluar dari bilik air. “Hmm… nak buat macam mana ni ya?”

Bayangan satu wajah tiba-tiba menerpa ke ruang matanya. Membuat dia tersenyum lebar. Keningnya terjungkit sebelah. “Siap kau, sayang!” gerutunya sambil tergelak jahat.

Maira mendekatkan telinganya ke muka pintu. Berkerut dahinya apabila suara Iqram sudah tidak kedengaran lagi. Dia menekup mulutnya, lalu tertawa lucu. “Aik, dah mengalah ke? Padan muka!”

SEGARIS senyuman jahat terukir di bibir Iqram. Berulang kali dia menjungkit keningnya ke atas. “He he he… siap kau, Maira Qaisarah! Ni dia, tanduk syaitan dah tumbuh atas kepala.” Dia ketawa jahat.

Dia menarik nafas panjang, lalu menghembus keluar perlahan-lahan. Tangannya diangkat mencecah ke muka pintu bilik air. Senyuman di bibirnya semakin melebar. Dengan selamba badaknya, dia mengetuk daun pintu bilik air itu dengan sekuat hati. “Maira sayang, mak uda panggil awak ni! Dia ada kat luar sekarang ni! Lebih baik awak keluar sekarang sebelum mak uda ambil hammer dan pecahkan pintu bilik air ni!” laungnya dengan suara kuat.

Demi mendengar sebaris nama itu, Maira terus jadi kelam-kabut. Sambil menggigit ibu jari kanannya, dia jalan mundar-mandir di muka pintu. “Alamak, mak uda dah datang! Mesti Mr. singa tu mengadu kat mak uda! Matilah aku! Bersiap sedia untuk dikubur hidup-hidup lepas ni, Maira!” Dia menggigil ketakutan.

Iqram tergelak jahat. “Dalam kiraan 123, pintu bilik air ni mesti akan terbuka.” Dia berkata dengan penuh yakin. Dia berdehem. “Satu… dua… tiga…” Seperti yang dijangka, daun pintu bilik air terbuka luas. Muncul figura Maira di muka pintu.

Tergesa-gesa Maira berjalan keluar dari bilik air sambil matanya meliar-liar ke sana-sini untuk mencari kelibat figura Mak Uda Harlina. Terpampar riak ketakutan di wajah comel itu. “Mana mak uda? Mana dia? Mana?” Dia semakin kelam-kabut.

Iqram berpeluk tubuh. Dia mengetap bibir, cuba menahan diri dari ketawa. Sebetulnya, dia rasa geli hati demi melihat gelagat Maira. Namun memikirkan impak dari perbuatannya, serta-merta dia cuba berlagak selamba. Seolah-olah dirinya itu tidak melakukan sebarang kesalahan.

Dengan terpinga-pinga, Maira memandang Iqram. “Iqram, mana mak uda? Bukan ke dia ada kat sini tadi?” Berkerut-kerut dahinya.

“Mak uda?” Bola mata Iqram meliar-liar ke kiri dan kanan. Berlakon seolah-olah sedang mengesan keberadaan figura Mak Uda Harlina di bilik. “Entah,” Dengan selamba badak, dia menjungkit bahu. “Dia dah keluar kot. Tak pun, dia dah kena kidnap dengan pari-pari Tinkerbell.” Dia tayang muka selamba.

Maira tercengang. “Haa?” Lama-kelamaan, dia seakan-akan tersedar sesuatu. Spontan, dia merenung tajam figura Iqram. Raut mukanya mula cemberut. “Awak tipu saya kan? Sebenarnya, mak uda tak pernah masuk bilik ni kan?” tebaknya dengan suara geram. Argh, sakit hatinya kerana ditipu bulat-bulat. Cis, hantu betul!

Iqram tayang muka sepuluh sen. “Ha’ah sayang, saya tipu awak! Mak uda memang tak pernah masuk bilik kita.” Dia membalas dengan muka selamba.

Buntang biji mata Maira demi mendengar jawapan itu. Hampir terjojol keluar biji matanya. “Apa?” Dia genggam buku lima. “Awak ni jahat tau! Bencilah!” protesnya dengan muka tidak puas hati.

Iqram pamer senyum sinis. Dia berjalan ke hadapan Maira. Berdiri begitu hampir dengan figura isterinya itu. Dia mendekatkan wajahnya ke wajah gadis itu. “Ada saya kisah?” balasnya dengan muka selamba.

Maira menjeling tajam. Cis, tak guna! Bermacam-macam ayah maki-hamun terhambur keluar di hatinya. “Malas saya nak layan awak!” bentaknya, sekali gus mengatur langkah untuk ke bilik air. Namun belum sempat dia memulakan langkah, tiba-tiba Iqram menarik tubuhnya ke dalam pelukan.

Maira terkedu. Terkesima dengan tindakan Iqram.”Aa… apa ni, Iqram?” Dia mula jadi gugup. Berdebar-debar hatinya tatkala berada dalam dakapan Iqram.

Iqram mengukir senyum menggoda. Merenung nakal segenap wajah comel isterinya itu. “Awak nak pergi mana, sayang?” bisik Iqram romantis.

Gulp, Maira meneguk liur! Semakin tidak betah dengan tindakan Iqram. Isyh, kenapa ni? Wahai cik hati dan cik jantung, tolong bersikap normal, boleh tak? Jangan gelabah tak tentu hala! “Saya nak pergi bilik air,” jawabnya gugup.

Kening Iqram terjungkit sebelah. “Awak nak buat apa kat dalam tu? Nak sembunyikan diri dari saya lagi?” balasnya, masih lagi dengan suara romantis dan lirikan mata nakalnya.

Maira menggigit bawah bibirnya. “Saya nak mandi, bersiap apa yang patut. Takkan saya nak terperap aje kat dalam bilik ni? Nanti apa pula kata mak, abah dan mak uda?” Sengal punya manusia. Soalan apalah yang kau tanya ni hah? Tak masuk akal sungguh!

“Ya ke ni, hmm?” Wajahnya semakin dekat dengan wajah Maira. “Atau, awak nak larikan diri dari saya lagi?” Iqram menduga.

Maira berpaling ke tepi. Semakin gerun dengan tindak-tanduk Iqram. “Mmm… mana ada! Hisy, merepek ajelah!” Dia membidas dengan hati berdebar-debar. Aduh, tenanglah wahai cik hati!

Iqram menolak pipi Maira ke mukanya, mata bertentang mata. “Kenapa awak nak takut ni, sayang? Relax la… Lagipun, kitakan dah halal, bukannya haram lagi,” bisiknya halus.

Maira makin resah. “To… tolong jangan buat kerja gila, Iqram! Saya tak sukalah! Lepaskan saya!” Dia merayu bersungguh-sungguh.

“Kerja gila?” Iqram tersenyum penuh makna. “Awak takut ke kalau saya cium awak?” tebaknya dengan muka romantis.

“Iqram!” Dek terkejut dengan kata-kata itu, Maira menjerit. Merah padam terus mukanya. “Jangan nak mengada-ngada ya! Kalau awak cium saya, saya jerit! Biar semua orang dengar! Patah dua tulang awak nanti sebab kena belasah!” ugutnya dengan suara keras.

Iqram tergelak. “Awak dah lupa ke? Kita kan dah sah bergelar pasangan suami isteri. Jadi, kenapa dia orang nak belasah saya?” perlinya.

Maira tergamam. Dia terus terdiam. Erk, tak pasal-pasal kena batang hidungnya sendiri! Argh!

“Jadi…” Senyum penuh makna semakin lebar di bibir Iqram. “Saya nak cium kat sini ke,” Dia menyentuh hidung mancung Maira. “Kat sini ke,” Jari telunjuknya beralih ke kedua-dua belah pipi isterinya. “Ataupun kat sini,” Dia mengalihkan jarinya ke dagu. “Hatta kat sini sekali pun,” Akhir sekali, jarinya menyentuh permukaan bibir gadis itu. “Semua dah ada cop halal tau,” Iqram merenung nakal wajah isterinya. “Saya nak ‘ngap’ awak sekarang ni pun dah boleh tau!” tambahnya lagi.

Membuntang terus biji mata Maira demi mendengar ayat Iqram. “Hisy, gatal!” bentaknya.

“Gatal? Tang mana yang gatalnya? Meh sini saya tolong garukan.” Makin galak Iqram mengusik. Sekali gus, tangannya segera menggaru permukaan kulit lengan Maira.

“Hisy!” Cepat-cepat Maira menepis kasar tangan Iqram. “Miang tau!” Setelah berhempas pula cuba melepaskan diri dari pelukan Iqram, akhirnya dia berjaya. Cepat-cepat dia berlari masuk ke bilik air. Sebelum masuk, dia sempat menjelir lidah pada Iqram.

Iqram tergelak. Geli hatinya demi melihat gelagat Maira. “Haa… baru kau tahu betapa romantisnya Mr. singa kesayangan kau ni, sayang.”

“AWAK dah siap ke, sayang?” tegur Iqram di sebalik helaian surat khabar Harian Metro.

Demi mendengar teguran itu, Maira terus tersentak kecil. Dia yang baru sahaja keluar dari bilik air terus melatah. “Oii, nenek kau tergolek!”

Terburai tawa Iqram demi mendengar latah Maira. Siap menepuk peha lagi. “Kesian isteri saya ni. Tak habis-habis melatah,” kutuknya dengan muka selamba. Surat khabar Harian Metor yang ada di pegangannya itu bingkas ditutup lalu dilipat dua.

Membuntang terus biji mata Maira demi mendengar kutukan itu. Wajahnya segera mencuka. Mulutnya pula sudah terjuih ke depan. “Hisy, tak habis-habis nak kutuk saya!” bebelnya dengan muka geram.

Iqram menyengih. “Ala, saya bergurau ajelah. Tak maulah marah-marah, sayang.” Sekali lagi dia mengusik.

Maira mencebik. Dia menjulingkan matanya ke atas. “Whatever!”

“Okey,” Iqram segera bangun. “Jom kita turun bawah. Mak, abah dan mak uda dah tunggu kita tu. Mereka nak bersarapan sama-sama dengan kita.”

“Okey.” Dengan selamba badaknya, Maira menghayum kaki pergi meninggalkan Iqram. Namun belum sempat dia hendak membolos keluar dari bilik, cepat-cepat suaminya itu menyambar lengannya. Langkahnya terus terbantut. Dia menoleh ke arah suaminya. “Hisy, apa ni?” protesnya sambil merenung tajam figura suaminya.

Iqram tersenyum. “Tunggulah saya, kita turun bawah sama-sama. Lagipun, kita kan pengantin baru? Kenalah jalan sama-sama, barulah orang nampak kita ni pasangan suami isteri paling romantis.” Beria-ia dia membalas.

Mata dijulingkan ke atas, diiringi dengan cebikan di bibir. “Ha ha ha… kelakarnya!” ejeknya. “Kita ni pasangan suami isteri paling romantis?” Dia pamer senyum sinis. “Dalam mimpi pun, saya tak pernah harap perkara macam tu berlaku tau! Sorry!” kutuknya dengan muka selamba. Sengaja hendak menyakitkan hati suaminya.

“Oh…” Iqram merenung nakal wajah Maira. “Dalam mimpi pun, awak tak pernah harap perkara macam tu berlaku ya?”

“Ya!” potong Maira sebelum sempat Iqram menghabiskan bicara.

Iqram tersenyum penuh makna. “Sekarang, awak memang tak naklah! Tapi esok lusa, awak pula yang tergila-gilakan saya tau.”

Maira ketawa sinis. “Ha ha ha… no way, Mr. singa!” bidasnya keras.

Iqram hanya tersenyum.

“Dahlah, jom kita turun bawah! Malas saya nak dengar hujah tak masuk akal awak tu lagi!” bentak Maira.

“Okey!” Seraya itu, Iqram melepaskan tangan Maira. “Jom!” Dengan selamba badaknya, dia berjalan keluar meninggalkan Maira sendirian di dalam bilik.

Maira tercenganga. Ternganga terus mulutnya demi melihat gelagat Iqram. Matanya pula sudah membuntang luas. “Cis, dia tinggalkan aku macam tu aje? Hantu betul!” Dengan berbakul-bakul sumpah seranah yang terbit di hatinya, dia terus berjalan membuntuti langkah suaminya itu dari arah belakang.

Previous: BAB 32
Next: BAB 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.