Home Novel Komedi/Romantik Komedi Mr Singa Miss Selamba (UPDATE)
BAB 32

DEMI melihat figura isteri yang baru sahaja dinikahinya itu, Iqram tersenyum manis. “Awak dah solat Isyak ke?” Dia berjalan menuju ke arah katil, lalu melabuhkan duduk di sebelah gadis itu. Wajah isterinya itu direnung lembut, sarat dengan seribu satu rasa cinta yang semakin bercambah hari demi hari.

“Belum.” Maira menjawab dengan suara gugup. Entah mengapa hatinya seakan-akan berdebar tatkala berdua-duaan dengan Iqram. Jantungnya terasa seakan mahu meletup.

Iqram tersenyum. “Kita solat Jemaah sekali ya?” ajaknya beria-ia. Teruja benar hatinya hendak mengerjakan solat berjemaah bersama isterinya buat kali pertama.

Maira terkesima. “Err… awak pergilah solat dulu. Lepas awak dah solat, barulah saya solat.” Agak keberatan dia hendak solat berjemaah dengan suaminya itu. Rasa segan pula.

Berkerut dahi Iqram. Hairan dengan penolakan isterinya itu. “Laa… kenapa pulak? Lagipun, kita kan dah jadi suami isteri. Tak salah kan kalau kita solat berjemaah sekali. Awak nak tahu tak apa ganjaran bila sepasang suami isteri mengerjakan solat berjemaah? Kita akan dapat ganjaran pahala sebanyak 27 darjat pahala tau. Rumah kita juga akan disukai Malaikat Rahmat. Malaikat Rahmat ni sukakan rumah yang di dalamnya sentiasa menunaikan perkara sunat. Haa… lagi satu, solat berjemaah ni pun boleh eratkan kasih sayang antara kita berdua tau.” Dia mula berceramah panjang berjeda. “Awak tak nak ke?” tambahnya lagi.

Maira menarik muka cemberut. Aduh, dia berceramahlah pulak! Bising aje tau! bentak hatinya.

“Maira?” tegur Iqram dengan suara lembut.

Maira tidak membalas. Dia tayang muka tak ada perasaan.

Iqram tersenyum. “Jom kita solat berjemaah sekali ya?” ajaknya beria-ia.

“Err…” Maira menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Tapi…” Maira cuba menolak, namun sekali lagi kata-katanya itu dipintas oleh Iqram sebelum sempat dia menghabiskan bicara.

“No excuse, Mrs. Iqram Fattah!” Suaranya tegas, bersama raut wajahnya yang serius.

Maira berdecit. “Ala…”

“Syhh…” Jari telunjuk kanan Iqram segera diletakkan ke bibir Maira. “Shut up, dear! Tak baik tau menolak permintaan suami. Berdosa,” tegas Iqram.

“Yalah… yalah… kita solat berjemaah sekali!” Jari telunjuk Iqram bingkas ditepis. Bibirnya terjuih ke depan.

Iqram tersenyum lebar. “Good girl.”

Maira mencebik.

Iqram bangun lalu berdiri di depan figura Maira. “Awak pergi ambil wuduk dulu. Saya tunggu awak di sejadah ya,” katanya beria-ia.

“Hmm...” Maira membalas dengan suara geram. Serentak itu, dia bangun lalu berjalan dengan hati sebal menuju ke arah bilik air.

SEJADAH yang digunakan ketika solat Isyak sebentar tadi segera digantung ke rak. Sesudah itu, dia berjalan ke katil lalu duduk di situ. Demi melihat telatah Iqram yang sedang ralit menyisir rambutnya di depan cermin solek, serta-merta bibirnya membentuk cebikan. Eleh, macamlah handsome sangat? Menyampah, kutuk hatinya.

Sesudah berpuas hati dengan penampilannya, Iqram bingkas meletakkan sikat rambut itu ke meja solek. Lalu, dia berjalan ke arah Maira. Dia melabuhkan duduk di sebelah isterinya itu. Segaris senyuman membentuk di bibir. “Sayang?” Dia menegur dengan suara lembut menggoda.

Maira buat-buat tak dengar. Dia tayang muka selamba.

Iqram merengus halus. Geram dengan telatah Maira. Dia ni tak dengar ke atau sengaja buat-buat tak dengar? bentak hatinya. Ehem, dia berdehem keras! “Maira?”

Serta-merta Maira menoleh demi mendengar namanya dipanggil. “Hmm?”

Terjungkit sebelah kening Iqram. Dia tercengang. “Eh, awak dengarlah pulak bila saya panggil nama awak kan? Kali pertama saya tegur, awak buat derk aje. Macam telinga tu bersumbat dengan kapas. Tapi bila kali kedua saya panggil awak, barulah awak dengar.” Dia mula membebel-bebel. Dia ni memang sengaja buat aku naik angin kan? Aku baru aje nak bertukar jadi baik tau!

Maira pamer senyum sinis. “Laa… awak panggil saya ke tadi? Sorry,saya tak dengar.” Dia menyindir dengan suara sinis. Sengaja ingin menyakitkan hati Iqram.

Membuntang terus biji mata Iqram demi mendengar sindiran pedas itu. “Tak dengar?” Dia tertawa sinis. “Awak dengar ke atau buat-buat tak dengar?”

“Saya buat-buat tak dengar.” Maira memulangkan paku buah keras. “One more thing,” Dia merenung tajam figura suaminya. “Nama saya Maira, bukan sayang. Faham?” herdiknya.

Iqram pamer senyum penuh makna. Terdetik satu idea nakal di benaknya. “Maira ke, sayang ke, ia tetap sama bagi saya. Suka hati sayalah nak panggil awak apapun. Sayang ke, baby butukke, darlingke, honey madu ke, apa ke.” Dia membalas dengan suara romantis.

Maira mendengus geram. “Tak boleh! Awak tak boleh panggi saya macam tu! Saya ada nama. Dan nama saya ialah Maira Qaisarah. Awak boleh panggil saya Maira aje,” tegasnya dengan suara keras.

Iqram mendekatkan wajahnya ke Maira. Merenung romantis wajah comel isterinya dengan senyuman menggoda. Sengaja hendak memikat hati Maira. “Wahai sayangku, Mrs. Iqram Fattah, kalau saya nak panggil awak dengan panggilan sayang, macam mana?” bisiknya lembut.

Maira tergamam. “Err…” Aduh, tak pasal-pasal lidahnya seakan-akan tergulung hendak membidas kata-kata lelaki itu. Argh!

Iqram mendekatkan tubuhnya ke tubuh Maira. “Kenapa awak diam, sayang?”

“Err…” Demi menyedari figura Iqram yang semakin hampir dengannya, dia segera bergerak ke tepi. Namun semakin dia menjauh, semakin suaminya itu menghampiri. Akhirnya, langkahnya terkunci apabila tubuhnya terlanggar bucu katil. “Apa ni, Iqram? Hisy!” Dia membentak sambil menggigil-gigil ketakutan.

“Apa ni, apa?” Soalan berbalas dengan soalan. Hmm… apa kata kalau aku usik kau? Mesti kau jadi terkontang-kanting kan? Hatinya tertawa nakal.

Maira bertambah resah. “Hisy, jangan dekat! Saya tak sukalah!” Dia membentak keras. Sedaya upaya cuba menahan benteng dirinya dari Iqram. Ah, lelaki itu benar-benar menakutkan!

Iqram pamer senyum menggoda. “Kalau saya dekat juga, awak nak buat apa?”

Maira jadi kaget. “Haa… kalau awak dekat, saya jerit! Biar satu dunia dengar!” Beria-ia dia membalas. Seakan-akan sengaja hendak menakutkan Iqram.

“Oh, awak nak biar satu dunia dengar ya? Okey tak apa, saya tak kisah!” Iqram membalas selamba.

Maira tercengang. “Haa?”

Figura Maira ditenung dengan lirikan mata menggoda. “Awak jeritlah sekuat hati, sampai nak terkeluar anak tekak pun tak apa. Biar semua orang tahu apa yang bakal kita lakukan sebentar lagi.” Dia membalas nakal.

Maira terkedu. “Bu… buat apa?” Hatinya semakin berdebar-debar.

Iqram menjungkit kening nakal. “Buat apa yang sepatutnya. Like husband and wife.” Dia menjawab dengan suara romantis.

Sekali lagi Maira terkedu. Serta-merta dia menelan liur. “Awak jangan macam-macam dengan saya, Iqram! Saya belasah awak nanti!” ugutnya.

“Buatlah, saya tak kisah! Tapi awak kena ingat satu perkara, sayang. Awak tu isteri saya, saya ni suami awak. Apa hukum seorang isteri belasah suami dia tanpa sebab yang musabab? Berdosa tau, boleh masuk api neraka. Awak nak ke, hmm?” balas Iqram dengan muka selamba. Sengaja hendak menakut-nakutkan Maira.

Maira tergamam. “Err…”

Iqram pamer senyum menggoda. Dia memusingkan tubuh Maira menghadap ke arahnya. Pipi lembut isterinya itu diusap perlahan. “Awak jangan takut ya,” bisik Iqram seakan berbisik halus. “Saya akan pimpin awak melayari bahtera rumah tangga kita, sayang. Saya akan bahagiakan awak, Maira.” Tambahnya.

Maira tergamam. Serta-merta kata-kata Farisya mengetuk kotak ingatannya. “Bersiap sedia untuk dibom ya?”

Demi mengingati sebaris ayat yang bisa menyentap tangkai hatinya, jantungnya serta-merta berdegup kencang. Bagai hendak terlucut keluar dari tubuhnya. Oh, tidak! Dia semakin takut! Alamak, matilah aku!

Iqram merenung wajah Maira dengan wajah nakal dan menawan. “Awak cantik, sayang.” Jarinya menyentuh permukaan bibir halus isterinya itu. “Terutamanya di bibir awak ni.” Bola matanya dipejam rapat, lalu dia mendekatkan wajahnya ke wajah isterinya.

Demi melihat tingkah laku Iqram, Maira terus meneguk liur. Alamak, matilah aku! Aku belum bersedia lagi!

Belum sempat bibir Iqram mencecah ke bibirnya, Maira segera menolak kasar tubuh suaminya. Cepat-cepat dia bangun lalu menderum masuk ke bilik air.

Demi melihat telatah Maira, dia tergelak kecil sambil menggeleng berkali-kali. Sungguh, dia berasa kelakar dengan tindakan isterinya itu. “Aku belum sempat buat apa-apa lagi, tapi awal-awal lagi dia dah lari? Maira… Maira… takut sangat kan? Aku bukan nak buat apapun, aku cuma nak mengusik aje.”

“ADUH, penatnya!” keluh Iqram sambil membaringkan tubuhnya ke katil, lalu menarik kain

selimut sehingga ke paras pinggang. Kepenatan yang semakin menjalar ke pelosok tubuhnya membuat matanya semakin kutu. Rasa kantuk semakin menguasai sanubari. Dia menguap panjang.

Demi mengingati figura Maira yang masih lagi berada di dalam bilik air, spontan dia menoleh ke arah daun pintu bilik air. Dia tersenyum. “Maira… Maira…” ngomelnya. “Awak sanggup berkurung dalam biik air semata-mata nak mengelak dari saya kan? Dasyatlah awak ni, sayang! Awak memang gila!” kutuknya. “Takut sangat kalau-kalau saya buat apa-apa kat awak.” Dia menokok lalu tertawa geli hati.

“Hmm… suka hati awaklah, Maira. Awak nak berkubang sampai bila-bila pun, tak apa. Tidur sampai lebam ya, sayang?” Sekali lagi dia mengutuk Maira. Malas hendak melayan telatah kebudak-budakan isterinya itu.

Serentak itu, dia menutup mata. Dek kepenatan yang semakin berakar, akhirnya dia terlelap.

Previous: BAB 31
Next: BAB 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.