Home Novel Komedi/Romantik Komedi Mr Singa Miss Selamba (UPDATE)
BAB 10
BUNYI ketukan pintu dari luar membuat Datuk Hakim tersentak kecil. Spontan, dia menghentikan kerjanya lalu bibirnya menyebut perkataan ‘masuk’.

Daun pintu bilik terkuak. Tersembul figura Iqram di muka pintu. “Papa panggil Am ke?” Dia mengukir senyum manis.

“Hmm… masuklah, Am,” jawab Datuk Hakim sambil tersenyum.

Iqram berjalan masuk ke dalam bilik itu. Dia melangkah ke arah meja, lalu duduk di atas kerusi. “Kenapa papa nak jumpa Am?” soalnya dengan riak muka ingin tahu.

Datuk Hakim menarik laci meja lalu mengeluarkan sepucuk surat berwarna putih. “Nah.” Dia menyua surat itu ke arah Iqram.

Berkerut dahi Iqram. “Apa ni, papa?” Dia segera menyambut surat itu dari tangan papanya.

“Buka surat tu dulu. Baca sendiri!” arah Datuk Hakim.

Hujung sampul surat itu dikoyak perlahan. Isi surat ditarik keluar. Surat yang berlipat empat itu dibuka. Lalu, dia terus membaca isi surat itu.

Membuntang terus mata Iqram. Cepat-cepat dia membuang pandang ke arah papa. “Seminar keusahawanan?” Dia menayang memek muka terkejut. Dia berdecit geram. Aduh, aku memang cukup anti dengan benda alah ni tau! Benci! Benci! Benci! Hatinya mengherdik geram.

Datuk Hakim pamer senyum penuh makna. “Hmm… seminar keusahawanan,” tekannya.

Iqram mengusap belakang kepalanya. Dia keresahan. “Ala… papa kan tahu, Am tak suka pergi seminar-seminar macam tu. Am bosanlah, papa!” rengeknya. “Kenapa papa tak hantar Kak Erika aje?” Dia menambah lagi.

“Nope!” tegas Datuk Hakim. “Sama ada kamu suka atau tak, kamu tetap akan pergi seminar tu. Papa tak nak dengar sebarang bantahan dari kamu, Am!”

Iqram berdecit. “Tapi…”

“Dah, cukup! Papa tak nak dengar alasan apa-apa lagi, Iqram Fattah!” Datuk Hakim segera memotong sebelum sempat Iqram menghabiskan bicara.

Iqram terus diam. Dia mati kutu. Benak fikirannya cuba diproses untuk mencari buah idea bagi mengelak dari menuruti kemahuan papa, namun tidak berhasil. Argh! Hatinya menjerit geram.

“Yalah… yalah… Am pergi!” Terpaksa juga dia mengikut arahan papa walaupun hatinya berkeras tidak mahu.

Datuk Hakim senyum kemenangan. “Haa… kan bagus kalau macam tu! Lega hati papa bila mendengarnya tau.” Dia membalas, puas kerana berjaya membuat anak lelakinya itu menuruti kemahuannya.

Iqram senyum hambar. “Hmm…” Dia membalas acuh tak acuh. Malas hendak berdebat dengan papa. Buang masa dan tenaga aje.

Datuk Hakim bersandar ke belakang. Dia merenung wajah Iqram. “Untuk mengelak kamu rasa bosan sepanjang seminar berlangsung, papa benarkan kamu bawa salah seorang staf di jabatan kamu. Haa… kamu pilihlah sesiapa aje dalam kalangan mereka. Papa tak kisah,” katanya beria-ia.

Mata Iqram terus membulat besar. Garis senyum lebar tersungging di bibirnya. Dia mendongak, memandang tepat ke muka papa. “Betul ke ni, papa? Sesiapa aje?” Dia mahukan kepastian.

Datuk Hakim mengangguk. “Ya Am, sesiapa aje.”

Iqram terus terdiam. Dia pamer senyum lebar. Benak fikirannya sudah terbayangkan wajah seseorang. Hmm… aku nak bawak dialah. He he he…

BOLA mata Iqram meliar ke sekeliling. Sekejap ke kiri, sekejap pula ke kanan. Bibirnya pula sudah terherot-herot, seakan sedang menggumam sesuatu. “Hmm… mana dia pergi ni?” Dia berdesis sendirian. Terdetik sesuatu di benak fikirannya. “Dia berada di pantry kot.” Dia membuat telahan sendiri.

Iqram berjalan ke arah pantry yang terletak di sudut hujung jabatan operasi. Sebaik sahaja tiba di pantry, dia tersenyum lebar. Lalu, dia berjalan ke arah dua figura gadis yang sedang menikmati sarapan pagi sambil berbual-bual kecil itu.

“Ehem-ehem!” Iqram berdehem.

Dua pasang mata itu spontan menoleh ke arah Iqram.

Iqram merenung serius wajah Maira. “Saya ada sesuatu nak cakap dengan awak, Maira,” katanya dengan muka serius.

“Apa dia, bos?” tanya Maira bersama kerutan di dahi.

Iqram mengerling pandang figura Hidayah. “Tolong tinggalkan kami berdua, Dayah.”

“Ok.” Terkocoh-kocoh Hidayah berjalan keluar dari pantry. Meninggalkan Iqram dan Maira sendirian di sana.

Mereka terdiam sejenak, melayani perasaan masing-masing.

“Err… bos?” Maira menegur.

“Hmm?” balas Iqram sambil merenung wajah comel gadis itu.

“Tadi bos kata ada sesuatu nak cakap dengan saya. Apa dia?” Maira menyoal dengan memek muka ingin tahu.

Iqram tersenyum. Serentak itu, sepucuk surat yang sedang dipegangnya itu, bingkas disuakan ke arah Maira.

“Apa ni, bos?” Maira merenung hairan sampul surat itu.

Iqram berdecit geram. “Suratlah! Takkan bil elektrik pulak?” Sudah gaharu, cendana pula. Sudah tahu, lagi nak tanya?

Maira menjeling geram. Saya tahulah! Apa, bos ingat saya tak pandai nak bezakan surat dengan bil elektrik ke? Saya belum rabut lagi tau!” bebelnya geram.

“Dah tu, ambil ajelah! Tak payahlah nak banyak bunyi!” Iqram mengherdik geram.

Eh, eh dia ni… nak marah-marah aku pulak! Aku tendang karang! Hatinya membentak marah. “Salah ke kalau saya nak tahu apa isi surat tu?”

Iqram mendengus geram. Dia ni, membebel-bebel macam burung kakak tua aje! “Boleh tak kalau jangan banyak tanya? Bingit telinga saya ni bila mendengarnya tau. Bukak ajelah surat tu. Tengok apa yang tertulis di dalamnya.” Dia membidas dengan suara geram.

“Hisy!” bentak Maira.

Dia segera membuka hujung sampul surat yang sudah pun terkoyak itu, lalu menarik keluar isi surat itu. Surat yang berlipat empat itu dibuka lalu dibaca.

“Haa… seminar keusahawanan?” Dia mendongak memandang wajah Iqram. “Apa kena-mengena dengan saya pulak?” Terkebil-kebil dia memandang wajah kacak lelaki itu.

Iqram pamer senyum penuh makna. “Awak kena ikut saya pergi seminar tu, Maira. Ni atas arahan big boss,Datuk Hakim!” balasnya dengan suara tegas. Sengaja dia menekan perkataan ‘big boss’ supaya Maira tidak mencari alasan untuk menolak.

Maira tercengang. “Haa?” Jari telunjuknya tertuju tepat ke mukanya. “Saya kena ikut bos pergi seminar tu?” Dia tergelak. “Bos ni bergurau aje kan?” tambahnya, sukar hendak percaya.

“Awak nampak muka saya ni macam muka tengah bergurau ke? Rupa saya ni macam clownya?” herdik Iqram geram.

Maira terus terdiam. Dia kaku. Wajah kacak Iqram ditilik sedalam-dalamnya. Wajah itu kelihatan begitu serius sekali. Dia ternganga. Mr. singa ni betul-betul seriuslah. Maknanya, aku betul-betul kena ikut dia pergi seminar tu? Oh My ALLAH!

Iqram senyum sinis. “Kenapa awak diam? Awak terkejut sebab kena ikut saya pergi seminar tu?” Sempat lagi dia menyindir Maira.

Maira menjeling geram. “Tak payah nak perli-perli oranglah!” bentaknya.

Iqram tidak membalas, dia hanya tersenyum sinis.

“Berapa lama seminar tu? Kat mana?” soal Maira.

“Seminar tu akan berlangsung selama 4 hari. Kat Kedah,” balas Iqram beria-ia.

Maira terpempan. “Haa… 4 hari? Kat Kedah?” Dia terjerit kecil. Gulp, dia meneguk liur. “Kenapa jauh sangat ni, bos?”

Iqram menjungkit bahu. “Manalah saya tahu! Jangan tanya saya. Kalau awak nak tahu, awak pergilah tanya penganjur,” Dia mendekatkan wajahnya ke wajah Maira. “Saya hanya menurut perintah aje.” Dia menambah dengan muka selamba.

Maira membisu.

“Okeylah,” Iqram bangun berdiri. “Saya nak masuk bilik saya. Ingat, saya nak awak terpacak depan rumah tepat pada dukul 6.30 pagi. Saya tak nak kita sampai lambat kat sana,” arahnya dengan suara tegas.

“Haa?” Buntang biji mata Maira. Wajahnya terus berubah rona. Cemberut. “Pukul 6.30 pagi? Tapi, tak awal sangat ke?”

Iqram senyum sinis. “Kira okeylah tu kita bertolak ke Kedah pukul 6.30 pagi esok. Kalau kita bertolak lepas balik kerja ni, awak nak?”

Maira mengeluh geram. “Yalah… yalah…” Akhirnya dia mengalah. Wajahnya segera dimasamkan. Dia ni, suka sangat paksa orang tau! Haa… memang sesuai sangat gelaran Mr. singa tu dengan kau tau!

“LINA?” Puan Fadillah menegur. Matanya masih lagi ralit membelek majalah fesyen.

Mak Uda Harlina yang kebetulan baru sahaja keluar dari dapur, terus melabuhkan duduk di sebelah kakaknya. “Ya, kak?”

“Cantik tak baju ni? Apa kata kalau kita pakai baju ni untuk raya tahun ni?” Jari telunjuk Puan Fadillah tertuding ke arah majalah yang sedang dipegangnya.

Bola mata Mak Uda Harlina teralih ke arah majalah itu. Demi melihat model yang sedang memperagakan baju kurung dan baju melayu itu, spontan bibirnya terukir senyuman lebar. “Isyh kak… lawa aih. Lina suka!” balasnya beria-ia.

Puan Fadillah pamer senyum lebar. Dia menoleh ke arah figura Encik Azmil yang sedang membaca surat khabar di sofa. “Abang tak kisahkan kalau kita pakai baju bertemakan warna yang sama untuk raya kali ni?”

Encik Azmil tersenyum. “Saya tak kisah, Illa. Mana yang terbaik untuk awak, terbaik jugalah bagi saya,” jawabnya ringkas.

“Yess!” Dua figura wanita itu terus menjerit riang apabila mendapat green lightdaripada Encik Azmil.

“Ehem-ehem!” Tiba-tiba kedengaran suara deheman Maira. Wajah gadis itu kelihatan masam mencuka.

Tiga pasang mata itu serta-merta tertoleh ke arah figura Maira.

Demi melihat memek muka Maira, Mak Uda Harlina berkerut dahi. “Awat muka hang macam kena tonyoh dengan klorox ni, Mai?” soalnya dengan muka ingin tahu.

Maira membuang keluhan kecil. Dia segera melabuhkan duduk di sebelah Mak Uda Harlina. “Mai ada sesuatu nak cakap pada abah, ibu dan mak uda,” beritahunya dengan wajah sugul.

“Apa dia?” Puan Fadillah segera mencelah.

Maira menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia agak keberatan hendak berterus-terang akan perihal yang sebenar. Aduh, nak cakap macam mana ni? Kalau aku berterus-terang, agak-agaknya aku kena sembelih tak? gerutu hatinya.

Dahi Encik Azmil berkerut demi melihat gelagat Maira. “Hang ni pasaipa, Mai?”

Maira menggigit bibir. “Err…”

“Hang ni… pasaipa, Mai? Hang nak habaq apa sebenarnya ni?” Mak Uda Harlina segera mencelah. Tidak sabar hendak mendengar berita apa sebenarnya yang mahu disampaikan oleh anak saudara kesayangannya itu.

Maira menarik nafas panjang, lalu menghembus keluar secara perlahan-lahan. “Sebenarnya… sebenarnya…”

“Sebenarnya apa?” jerkah Mak Uda Harlina.

Pantang dijerkah, Maira terus melatah. “Mai kena pergi seminar kat Kedah selama 4 hari!” latahnya tanpa sedar.

Mak Uda Harlina ternganga. “Seminar?”

“Haa?” Terkebil-kebil mata Maira melihat figura Mak Uda Harlina. Lama-lama, dia tersedar sesuatu. Spontan, dia meneguk liur. “Err… ya!” Dengan teragak-agak, dia membalas. Habislah kau, Maira! Bersiap sedia untuk dibom! Pommm!!!

Mak Uda Harlina mula bercekak pinggang. “Awat lama sangat seminar tu? Haa… pasaipa jauh sangat?” Dia mula membebel-bebel. Wajahnya berubah garang.

Gulp! Sekali lagi Maira meneguk liur. Alamak, matilah aku! Rasa macam nak tersembam ke lantai aje bila mendengar jerkahan mak uda. “Err…”

Encik Azmil berdecit geram. “Diamlah, Lina oii! Hang ni, bagilah budak ni peluang untuk bercakap. Tok sahlah jerkah dia. Kesian si Mai ni, tak tentu hala jadinya,” marahnya.

Mak Uda Harlina terus terdiam.

Encik Azmil mengalihkan wajahnya ke arah Maira. Dia tersenyum. “Abah bukan tak izinkan kamu ke sana, Mai. Abang faham dengan tuntutan kerja kamu. Kamu terpaksa ke sana atas arahan pihak atasan. Tapi…” Dia mengeluh. “Kamu tu perempuan, Mai. Satu-satunya anak dara abah. Abah rasa berat hati nak lepaskan kamu ke sana.”

“Mai memang tak nak pergi, tapi…”

Spontan bait-bait ayat yang terluncur keluar dari mulut Iqram mengetuk kotak fikirannya. “Awak kena ikut saya pergi seminar tu, Maira. Ni atas arahan big boss, Datuk Hakim!”

Memikirkan arahan Iqram, serta-merta rasa geram menyerbu dada. Hisy, benci betullah bila kena ikut Mr. singa tu! Hatinya membentak geram.

“Maira?” Tiba-tiba Puan Fadillah menegur.

Maira tersentak kecil. Lamunannya segera menghilang. “Haa?” Terpinga-pinga dia memandang ibunya.

“Kamu pergi ke sana nanti seorang diri atau berteman?” soal Puan Fadillah.

“Err…” Teragak-agak dia hendak berterus-terang akan perihal yang sebenar. “Haa… Ibu, abah dan mak uda jangan risau ya. Mai dah besar panjang. Tahulah Mai menjaga diri semasa berada di sana nanti.” Maira segera mengubah topik perbualan.

Encik Azmil tersenyum. “Abah percaya, anak perempuan abah ni pandai menjaga diri di tempat orang. Tapi… seorang ayah tetap akan risaukan keselamatan anak perempuannya. Tambah-tambah lagi, Maira satunya-satunya puteri kami,” balasnya. “Kamu ke sana seorang diri atau berteman?”

Maira kaget. Alamak, matilah aku! “Err… berteman.”

“Lelaki ke perempuan?” Mak Uda Harlina mencelah.

“Err…” Tergagap-gagap Maira hendak menjawab.

“Lelaki ke perempuan?” jerkah Mak Uda Harlina lantang.

“Lelaki!” latah Maira. Dia segera menekup mulutnya. Alamak… dah terlebih sudah!

Buntang terus biji mata Mak Uda Harlina demi mendengar jawapan itu. “Apa, lelaki?” Dia menjerit. Menayang memek muka terkejut yang amat.

“Err… sebenarnya, dia ketua Mai kat office,” beritahu Maira beria-ia. Melihat reaksi Mak Uda Harlina, sudah cukup membuat Maira berasa gerun. Janganlah aku kena baham dengan mak singa ni! Sungguh menakutkan!

“Tok sahlah hang nak menjerit sampai terkeluaq anak tekak tu, Lina oii,” tegur Encik Azmil. Agak kurang senang dengan sikap adik iparnya itu.

Mak Uda Harlina terus terdiam. Dia berpeluk tubuh, sambil merenung tajam figura Maira.

Maira pura-pura tidak nampak renungan tajam itu. Dia mengalihkan wajahnya ke wajah abah. “Err… abah, izinkan Mai pergi ya?”

Encik Azmil tersenyum lalu mengangguk. “Abah izinkan kamu pergi seminar tu, Mai.”

“Apa?!” Buntang mata Mak Uda Harlina.

Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.