Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alamak! Lagi-Lagi Dia
Bab 6

PANDANGANNYA dilontar ke luar dari dalam kereta Mercedez Benz yang dipandu lelaki berkopiah bulat itu. Lelaki berusia dalam lingkungan 40an itu cuba mengajaknya berbual, tapi dia hanya membalas hendak tak hendak. Bukan dia tidak mahu berbual dengan pemandu keluarganya Pak Amid, tapi dia terlalu penat. Letih kerana baru sahaja berjalan jauh.

“Encik Idham hendak minum di mana-mana?” Tanya Pak Amid seraya merenungnya dari cermin hadapan.

Dia tersenyum, lantas menggeleng. “Kita pulang sahaja Pak Amid. Saya penat sangat. Lagipun saya dah tak sabar nak jumpa mama.”

Orang tua itu mengangguk, tanda mengerti. Perjalanan diteruskan dan pergerakan kereta itu lebih laju dari tadi. Barangkali Pak Amid mengerti betapa lelaki di belakang tempat duduk itu sangat merindui ibunya.

Sepanjang perjalanan, Idham merenung jauh. Apa yang direnungkan, tidak ada sesiapa yang dapat menduga. Wajahnya seperti membendung sesuatu yang berat. Dia pulang ke tanahair ada tujuannya. Semuanya bermula dari sekeping gambar yang dikirimkan ibunya. Jika tidak, dia masih ingin berada di US dan bekeja di Wall Street. Broker sepertinya perlukan tempat yang realistik dan idealistik untuk membina empayar sendiri.

“Balik ya Am, mama rindu.” Itu ungkapan ibunya beberapa bulan yang lalu.

“Sudah lama Am tak balik, sampai bila nak bekerja di negara orang?”

Dia sekadar mendiamkan diri. Lima tahun lamanya dia di US. Cuba menempa nama dan pengalaman di bangunan paling sibuk di dunia. Apakah dia sudah bersedia untuk melepaskan segala-galanya?

“Am masih ingat dengan Cika?”

“Cika?” Wajahnya berkerut. Sengaja melakukannya meskipun dia kenal benar siapa yang dimaksudkan ibunya.

“Syafika, anak kawan mama Auntie Bahyah. Dulu mama pernah bawa Am ke rumahnya.” Ujar ibunya.

Dia terdiam di dalam telefon. Ingatanya menerjah ke suatu wajah. Serentak laungan teman-temannya mengejek dan menghina muncul mendadak. Loser! Loser! Loser!

“Kenapa dengan dia?”

“Mama ada bincang dengan Auntie Bahyah. Am masih single, Cika juga belum berteman. Apa kata Am balik ke mari dan jumpa Cika. Kenal-kenal dengan dia, manalah tau kalian ada jodoh.” Ujar ibunya berterus-terang.

Dia terkedu mendengarnya. What? Serius ke ni?

“Cika cantik tau Am, manis sungguh orangnya.” Canang ibunya.

Dia menelan liur. Cantik ke? Entah mengapa wajah Cika yang serabai terbayang-bayang di mata. Dekat sepuluh tahun dia tak jumpa Cika. Kali terakhir dia bertemu anak gadis itu ialah di rumah Cika, sebelum dia melanjutkan pelajaran ke luar negara. Tapi permusuhan mereka ketika itu tidak pernah reda meskipun ibunya dan ibu Cika teman satu universiti.

Asalnya dia mahu berhenti. Berhenti menyakiti hati Cika, berhenti untuk jadi lelaki jahat di mata anak gadis itu. Tapi peristiwa dia ditampar Cika tempohari tidak dapat dilupakannya. Itulah hadiah perpisahan dari gadis itu untuknya. Peritnya membawa parut di hati.

“Mama dah kirimkan gambar terbaru Cika ke apartmen Am. Nanti Am tengok dan hubungi mama semula ya. Mama memang berkenan sungguh dengan Cika tu. She’s very lovely, sesuai dengan Am.” Ujar ibunya.

Gambar itu sampai kurang dari satu minggu ke pangkuannya. Di beranda apartmennya dia melihat gambar terbaru gadis itu. Cika The Loser ternyata bukan lagi seperti dahulu. Kata-kata ibunya langsung tidak salah sama sekali. Cika kelihatan cantik. Budak yang selalu menjadi mangsa usikannya kini bertukar menjadi seorang yang anggun, menarik dan menawan. Sweet! Itu bisikan hatinya tatkala pertama kali bertentang mata dengan gadis itu di dalam gambar yang dikirimkan ibunya. Dan aneh sekali! Hanya dengan sekeping gambar, hatinya bergetar. Naluri lelakinya membisikkan sesuatu. Cika! Cika! Cika! Nama itu terus dibisikkan seperti dia sedang mabuk kepayang.

Kerana itu dia pulang jua akhirnya dengan niat mahu melihat Cika. Tapi dia sendiri tidak tahu apakah dia boleh menelan kembali kata-katanya pada Cika suatu ketika dahulu.

* * * *

Pang! Tamparan itu masih menyengat kulit pipinya. Seiring dia merasa nafasnya berderu lebih kencang. Sakitnya hanya tuhan yang tahu. Lebih sakit apabila peristiwa itu ditonton oleh teman-teman sekolahnya. Menjadikan Cika hero di mata sebahagian tetamu dan menyaksikan dirinya menjadi kucing kurap pada sebahagian yang lain.

This is 'what' you really are Idham Hariz. Ingat ini baik-baik. Saya takkan maafkan awak sampai bila-bila pun. I hate you so much.” Itu yang diucapkan gadis itu. Serentak dia melihat ada titisan air jernih di pelupuk mata Cika, membuatkan mulutnya yang ringan mahu memarahi gadis itu kemudiannya mengambil keputusan untuk diam sahaja. Sesuatu yang tak pernah dilakukannya selama ini.

Tiba-tiba sesuatu menyimbah tubuh dan wajah Cika. Masing-masing yang berada di situ terpanar. Dia sendiri terkejut. Seorang gadis rakan sekolahnya mampir ke hadapan seraya memegang gelas yang kosong.

“Berani kau datang ke sini dan malukan Idham? Kau ingat kau tu siapa? Loser!” Ejek gadis teman sekolahnya itu. Sebaik perkataan ‘loser’ itu diucapkan, ia seolah-olah seperti satu sumpahan yang menjangkitkannya kepada semua orang. Dan perkataan loser itu terus bergema memenuhi ruang itu.

Dia memandang ke arah Cika. Wajah Cika pucat lesi dikelilingi oleh teman-temannya. Ada yang menolak gadis itu, ada yang menunjal-nunjal tubuh gadis itu. Sejak kejadian surat itu, Cika sudah sinonim sebagai maskot buli di sekolah. Dan dialah pencetus revolusi itu. Dialah putera di sekolah di mana semua orang mahu berkawan dengannya. Semua orang akan mematuhi apa sahaja yang dikatakannya bagaikan sekumpulan tentera yang mematuhi arahan jeneral.

Anehnya dahulu dia gembira melihat Cika menjadi mangsa kawan-kawannya. Tapi hari ini entah kenapa dia merasa tidak gembira. Dia tidak lagi berseronok dengan semua ini. Tidak lagi terhibur dengan semua permainan ini.

Melihat seorang lagi kawan menarik rambut Cika sehingga gadis itu mengaduh kesakitan, dia seakan-akan tersedar. Situasi itu harus diatasi sebelum ia menjadi semakin di luar kawalan. Cepat-cepat dia menarik tubuh salah seorang temannya dan meleraikan pergaduhan yang baru hendak bemula. Tangan Cika ditarik lalu dibawa pergi dari kelompok orang ramai yang memenuhi majlis perpisahan di rumahnya. Ketika itu ibunya pula seperti sudah sepakat meninggalkan Cika di majlis itu dan kedua-duanya pergi menaiki kereta entah ke mana.

Cika meronta-ronta dari pegangannya. Dia melepaskan Cika di muka pintu. Memandang sebentar wajah gadis itu dengan perasaan bercampur aduk.

“Baik kau balik sahaja. Mereka semua alergik tengok kau kat sini. Kalau ibu kau tanya, jangan memandai nak beritahu apa yang sudah berlaku kat sini. Kalau mama aku tanya, aku akan kata kau balik awal kerana sakit kepala.” Ujarnya.

Cika mendongak wajah memandangnya. Pandangan mata gadis itu lesu memandangnya tanpa emosi. Tanpa perkataan. Dan perlahan-lahan gadis itu pergi meninggalkannya.

Dia mahu masuk ke dalam rumahnya kembali, tapi entah kenapa dia kembali melontarkan pandangan ke arah gadis itu. Melihat Cika pergi dengan langkah lemah, hatinya jadi tidak senang. Malam-malam hari begini, bagaimana kalau ada orang jahat yang mahu mengapa-apakan gadis itu? Apa yang mahu dijawabnya pada ibu Cika nanti?

Dia segera nekad lalu berlari masuk ke dalam rumah. Kunci kereta milik ibunya dicari-cari. Biasanya ibunya sering meletakkan kunci keretanya di dalam bekas kristal di atas kabinet dapur. Jumpa akhirnya! Tidak perlu menunggu lebih lama dia segera keluar. Kelibat Cika sudah menghilang. Tanpa berfikir panjang, dia bergegas ke arah kereta ibunya yang terletak di garaj kereta. Enjin kereta dihidupkan lalu dia memandu keluar dari perkarangan rumahnya.

Nun jauh di sana, dia terpandang Cika sedang duduk bersendirian di perhentian teksi. Wajah Cika benar-benar muram. Dia mahu mendapatkan Cika, tapi entah kenapa ada sesuatu yang menghalang. Mungkin egonya terlalu tinggi untuk mengalah dengan gadis itu. Mahu tak mahu dia duduk diam di dalam kereta ibunya tidak jauh dari perhentian teksi sambil mengawasi Cika. Ketika sebuah teksi berhenti di hadapan gadis itu, barulah kebimbangannya mereda.

Selepas teksi yang membawa Cika beredar, dia masih belum berganjak. Ada sesuatu bermain di fikiran tidak mahu hilang. Kenapa? Kenapa hatinya semakin lembut dengan gadis itu dari hari ke sehari? Kenapa dia masih mengasihani Cika sedangkan dia sudah nekad mahu mengenakan gadis yang memalukannya di sekolah dengan surat cinta yang tersebar satu sekolah?

“Encik Idham, kita dah sampai.” Kata-kata Pak Amid mematikan lamunan panjangnya. Dia terkiai-kiai membetulkan posisi duduknya. Kereta yang dipandu Pak Amid sudah pun memasuki perkarangan rumah.

Dari dalam rumah, dua wanita meluru keluar. Dia keluar dari perut kereta lalu melemparkan senyuman pada ibunya yang sudah pun menerpa dan memeluknya.

“Alhamdulillah, sampai juga anak mama ni.” Ujar ibunya.

“Mama sihat?”

Puan Jamilah tersenyum lalu mengangguk. “Mama akan sihat kalau anak mama ni duduk dengan mama kat rumah ni.” Ujar Puan Jamilah seraya melepaskan rangkulannya. Wajah Idham ditatap risau. Anak itu kelihatan lebih kurus berbanding kali terakhir Idham pulang berhari raya tahun lepas.

Idham hanya tersenyum. Kata-kata ibunya tidak berbalas. Matanya tertarik memerhatikan seorang wanita lain yang tercegat di belakang ibunya. Dahinya berkerut seribu. Wajah yang sedang tersenyum manis ke arahnya itu seperti redup di fikiran. Dia tertanya-tanya siapakah gerangan wanita itu.

“Ini Auntie Bahyah, kawan mama. Am tak ingat?”

“Auntie Bahyah?” Dia mengulang menyebutnya. Walhal fikirannya sedang berusaha keras untuk cuba mengingati wajah wanita itu.

“Ya Auntie Bahyah, ibu Syafika.” Akui ibunya.

Idham tergaman. Syafika? Cikakah? Baru sebentar dia terkenangkan gadis itu sepanjang perjalanannya dari airport. Kelakarnya kini si ibu gadis itu pula yang alih-alih muncul di hadapannya. Dunia ini memang sempit, tapi hatinya sudah tidak sempit seperti dahulu. Keinginanya untuk bertemu Cika begitu meluap-luap.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh