Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alamak! Lagi-Lagi Dia
BAB 29

DIA sendiri tidak pasti kenapa antara banyak-banyak restoran, dia memilih untuk membawa Fitzerald ke situ. Fitzerald seperti biasa langsung tidak menolak. Kata lelaki itu as long as with you. Dia tersengih sendiri. Kalau aku bawa mamat orang putih ni ke gerai tepi jalan, entah lalu atau tidak agaknya tekak mamat ni agaknya? As long as with you konon! Cika mencebik. Hendak ketawa pun ada!

Tapi memang dia ada agenda membawa Fitzerald ke Jumbo Jeep. Sebolehnya dia mahu Nadim Ammar melihat bahawa dia bukannya teruk sangat sehingga tidak ada lelaki yang berminat dengannya. Kalau tidak, masakan Datuk Fakhri tergila-gilakannya. Dan dia ada Fitzerald yang boleh cover semua anggapan Nadim Ammar itu.

“Cika..” renungan Fitzerald menular ke wajahnya. Cika menoleh. Terkedu menyedari betapa dalamnya sorotan mata lelaki itu di wajahnya. Dia pula asyik mencari-cari kelibat Nadim. Mana pulak lelaki poyo tu pergi?

“Err..you nak makan apa? Don’t worry,hari ini I yang belanja.” Ujar Cika seraya pura-pura membelek menu di tangannya walaupun dia sebenarnya tidak lapar. Fitzerald sekadar tersenyum. Lucu melihat reaksi Cika yang acuh tak acuh melayannya.

“Apa yang sedap?” Tanya Fitzerald dengan bahasa melayu yang agak pelat. Meskipun begitu, Fitzerald sebenarnya boleh tahan juga bila bertutur dalam bahasa melayu.

“You cuba spageti kat sini. Sedap tau.” Uusl Cika meskipun dia sebenarnya tidak pernah mencubanya. Setiap kali dia datang, nasi juga yang dia bedal. Tapi mengenangkan lidah Fitzerald lidah Inggeris, jadi spageti sahajalah yang mampu dicadangkannya.

“I teringin nak makan nasi goreng kampung.” Fitzerald lancar menyebutnya. Cika terkedu. Nak makan nasi goreng kampung? Aduh! Boleh tahan juga mat saleh ni. Hampir dia terlupa yang Fitzerald sudah tinggal di Malaysia sejak 5 tahun yang lalu, jadi tak mustahil lelaki itu sudah biasa dengan semua makanan-makanan di Malaysia. Jangan-jangan, sambal belacan dengan cencaluk pun lelaki itu sapu!

Cika segera melambaikan tangannya pada pelayan. Dari tadi dia mencari-cari kelibat pelayan bernama Ebit itu tapi tidak bertemu. Mujurlah ada pelayan berambut spikeputih itu menuju ke arahnya. Seperti biasa pelayan berwajah ala-ala chinese look itu tersenyum memandangnya. Cika ikut tersenyum, lagipun dia memang dikenali di restoran itu.

Cika segera memesan makanan, begitu juga dengan Fitzerald yang sampai juga hajatnya mahu merasa nasi goreng kampung di situ.

Sambil makan bersama, Cika berbual-bual dengan Fitzerald. Tapi perbualan itu hanya separuh sahaja dihadamnya lantaran dia asyik memerhatikan sekitar Jumbo Jeep, mencari-cari kelibat Nadim Ammar. Entah mana perginya lelaki itu. Bila diperlukan, hilang pula! Dia juga tidak nampak kelibat Jak, pemilik Jumbo Jeep yang dilihatnya sangat rapat dengan Nadim. Gila kau Cika! Kau datang ke situ membawa Fitzerald bersama-sama untuk apa? Sekadar mahu menunjukkan pada Nadim Ammar yang kerek itu bahawa masih ada lelaki seperti Fitzerald yang menggilai kau?

Do you expecting someone else Cika?” Tegur Fitzerald. Wajah anak gadis di hadapannya ditatap tidak berkelip. Ada sekelumit perasaan hairan berlegar di kotak fikiran. Jujurnya sudah terdetik rasa aneh di sanubari tatkala Cika mengajaknya. Kalau dahulu, gadis itu memang liat mahu menerima pelawaannya. Kini, Cika pula yang mengajak. Tidakkah itu aneh?

Diam-diam juga dia memerhatikan gerak-geri Cika yang asyik mengawasi kawasan sekitar restoran itu, seolah-olah Cika sedang menanti seseorang.

Cika mendongak wajah memandang Fitzerald. Dengan cepat dia menggelengkan kepala. Bohong! Kau sedang menanti Nadim Ammar muncul. Otak biul kau ini memang bermasalah. Macam budak-budak pun iya! Sanggup kau heret Fitzerald dari pejabatnya ke mari semata-mata nak menunjuk-nunjuk! Damn it! Mana pulak mamat ni pergi? Rungut Cika sedikit berang.

Usai dia menyebut nama itu dalam hati, tiba-tiba matanya terpandang kelibat dua lelaki sedang memasuki restoran itu. Cika menelan liur. Pelbagai rasa menyelinap ke jiwa. Lelaki itu sedang bergelak ketawa dengan Jak, bagaikan ada sesuatu yang diperkatakan yang menimbulkan kelucuan. Cika terpegun. Wajah itu ditatap separuh nanar.

Jak tiba-tiba berpaling ke arah meja yang hanya selang 3 buah dari pintu masuk. Dahi lelaki itu berkerut sedikit menatapnya. Hendak tak hendak Cika terpaksa melemparkan senyuman. Nadim masih tidak menyedari kehadirannya. Hanya selepas Jak melambaikan tangan, barulah Nadim ikut berpaling. Cika cuba seselamba mungkin terhadap lelaki itu. Apatah lagi dia menyedari renungan Nadim Ammar sudah melata ke wajahnya, bergilir-gilir dengan wajah Fitzerald yang sedang enak menyuap nasi goreng kampungnya.

* * * *

KETIKA Fitzerald meminta diri ke restroom, Nadim mengambil kesempatan mendekati anak gadis itu. Dia sengaja melabuh punggung di tempat duduk Fitzerald sambil memegang gelas jus oren miliknya.

Cika melemparkan pandangan. Ternampak senyuman sinis itu meleret di wajah lelaki itu. Cika mengetap bibir. Pandangan itu, senyuman itu, seakan-akan memberi maksud yang Nadim Ammar sudah tahu niat hatinya. Tapi dia tetap berpura-pura selamba, bagaikan tidak ada apa-apa yang berlaku. Bukankah itu kepakaran kau Cika? Now keep rolling!

Ketawa Nadim bergema. Sekali lagi Cika merasa terganggu. Entah apa mahunya lelaki itu dengannya. Datang ke mari tapi hanya ketawa dan tersenyum. Buat menyakitkan hati sahaja! Rungut Cika geram.

What?” Soal Cika panas hati.

Lelaki itu sekadar menjongketkan bahu, tapi tetap melempiaskan tawa sinis.

Nothing. Saya cuma tak sangka awak ada teman lelaki berbangsa Inggeris. Kagum gila saya.” Ujar Nadim melawak.

Cika merenung lelaki itu dengan wajah mencuka. “Saya tahu awak cuma datang sini nak mengejek saya. Lelaki tu kawan saya saja. Tak payahlah nak buat spekulasi murahan tu.” Balas Cika.

“Ini bukan spekulasi murahan Cik Syafika. Dia kacak, tinggi lampai, dan saya agak tentunya berjawatan bagus. Bukankah itu calon yang bagus untuk awak pertimbangkan?”

“Untuk pengetahuan awak Encik Nadim Ammar, saya memang tengah pertimbangkan. Dia seorang jurutera dengan gaji besar. Mungkin dia tak pandai bermain piano seperti awak, tapi saya yakin dia calon yang lebih baik dari awak.” Ejek Cika membalas.

Nadim ketawa besar mendengarnya. Dia tahu Cika sedang berang. Wajah mencuka gadis itu sudah cukup membuktikannya.

“Tak sangka…” Nadim tersenyum seraya menggelengkan kepalanya, menggamit perhatian Cika yang sudah mula tertanya-tanya. Apa yang tak disangka lelaki itu?

“Tak sangka ya, awak rupa-rupanya membandingkan saya dengan lelaki itu. Mungkinkah saya juga termasuk dalam kategori calon yang sedang dipertimbangkan?” Gelak Nadim jahat.

Cika tersentap. Ceh! Perasan gila mamat ni! Siapa entah yang nak bandingkan dia? Dalam merungut-rungut begitu, dia terpandang kelibat Fitzerald yang baharu kembali dari restroom.

“Kawan saya dah datang tu. Boleh awak beredar?” Pinta Cika seraya memuncungkan mulutnya ke arah Fitzerald. Nadim berpaling lalu bingkas bangun.

“Sebenarnya Cik Syafika, awak bawa mat salleh tu ke mari sebab awak nak suruh saya nampak yang awak tu tak keseorangan kan?” Soal Nadim tak disangka-sangka.

Cika terkedu. Terkena atas batang hidung sendiri!

Well…sekarang saya dah nampak. Sebenarnya awak tak perlu bersusah-payah hanya sebab nak buktikan pada saya. Saya percaya. Dan kalau awak terdesak sangat, awak tak payah cari jauh-jauh. Saya mungkin akan pertimbangkan untuk keluar dengan awak kalau awak tanya.” Ujar Nadim nakal.

Wajah Cika merah padam mendengar kata-kata Nadim itu. Telinganya sudah berbirat. Hati di dalam juga ikut mendidih dan mungkin akan meletup sekejap lagi. Lelaki itu memang ada bakat untuk menyakitkan hatinya. Dan dia sudah tidak mampu bertahan lagi. Tanpa berfikir panjang, minuman yang ada di hadapannya pantas diambil dan disimbah ke arah lelaki itu.

Zap! Semua yang ada di situ terkejut besar, termasuklah Jak yang berada di kaunter serta Fitzerald yang sedang melangkh ke arahnya. Nadim Ammar apatah lagi. Dengan wajah yang dibasahi minuman serta ada kepingan lemon yang melekat pada rambutnya, lelaki itu benar-benar berjaya mencuri tumpuan ramai.

Cika pantas menekup mulut. Tidak menyangka dia akan melakukannya. Ya ALLAH! Tangan ni apasal laju sangat? Dia benar-benar kesal. Hendak menjeling Nadim Ammar yang berwajah kelat itu juga dia tidak sanggup kali ini!

* * * *

Jak ketawa kecil sebaik menyerahkan tuala muka kepada Nadim. Suara ketawa Jak singgah ke gegendang telinga Nadim. Wajahnya serta-merta mencuka lagi. Berang sedikit, tapi tuala di tangan Jak tetap disambut kasar untuk digunakan pada wajahnya yang sudah dibersihkan sebentar tadi.

Tak fasal-fasal hari ini dia bermandikan jus oren. Habis lencun dia disimbah air oren angkara gadis itu yang tak disangka-sangka.

“Abang bukan nak menangkan dia, tapi yang kau sakitkan hati dia tu kenapa? Kan tak fasal-fasal basah.” Gelak Jak. Menggeleng dia melihat kejadian yang tak disangka-sangka hari ini di Jumbo Jeep. Ketika dia melihat Nadim menghampiri Cika, dia sudah tahu harus-harus ada aje kekecohan yang bakal berlaku. Dia sudah menegah Nadim dari menganggu Cika tadi, tapi anak muda itu berdegil. Hah sekarang tanggunglah sendiri!

“Bengang betul saya kat perempuan ni bang. Kalau nak marah pun janganlah sampai buat macam ni!” Getus Nadim tidak puas hati.

“Kau ni dengan dia apahal sebenarnya? Sejak hari itu abang tengok, kalau jumpa aje mesti nak gaduh.” Tegur Jak. Hairan juga dia melihat sikap Nadim yang gemar mencari fasal dan bertelagah dengan anak gadis itu. Selalunya Nadim bersikap pendiam dan jarang mahu mencampuri urusan orang lain.

Nadim terdiam. Dia tahu Jak langsung tidak tahu apa-apa tentang peristiwa di The Woods tempohari. Di situlah pertemuannya dengan Cika bermula. Dia sendiri tidak tahu kenapa setiap kali dia menemui anak gadis itu, pertemuan mereka disulami pergaduhan. Tapi bukanlah bergaduh sampai nak berbunuhan. Orang panggil ini sweet fight. Gaduh-gaduh manja begitu. Mungkin betul salahnya juga kerana dia yang suka memprovok anak gadis itu. Padan muka aku!

“Jangan-jangan kau sukakan dia tak?” Usik Jak seraya ketawa.

Nadim menelan liur. Erkk…aku sukakan gadis cengil itu? No way! Tak mungkin. Potong jari pun tak mungkin dia akan menyukai gadis itu. Dia menggeleng kepala!

“Ini bukan rancangan komedi abang. Jadi tak perlu buat lawak kat sini.” Keluh Nadim seraya membetulkan rambutnya.

“Dia okey apa. Cantik dan baik orangnya. Kau pun belum ada teman wanita.” Usul Jak, sengaja mahu mengusik Nadim yang mula cemberut wajahnya.

“Singa lapar tu abang kata baik?” Nadim mengeluh. Cantik mungkin boleh diterima, tapi baik? Hell not!

“Tak baik kau kata Cika macam tu. Abang rasa dia gadis yang baik hati.” Pendapat peribadi Jak. Nadim menoleh ke arah lelaki itu. Dahinya berkerut. Aku salah dengarkah?

“Apa abang panggil dia tadi?”

“Cika.” Ujar Jak tercengang.

“Cika? Hmm..abang panggil dia macam dah lama kenal.” Giliran Nadim pula yang tersengih-sengih. Interesting!

Jak ketawa besar. Terkena pula dia!

“Abang pernah bercakap-cakap dengan dia. Dia suruh abang panggil dia Cika sahaja. And for your information, once you know her, you will like her.” Ujar Jak bersungguh-sungguh.

Nadim melepaskan keluhan di bibir. enggan mengulas kata-kata Jak lagi lantaran telefon bimbitnya berdering minta diangkat. Dia memandang ke arah skrin telefon dengan wajah berkerut. Ayah?

* * * *

SELEPAS dia menghantar Fitzerald kembali ke pejabatnya, Cika terus memandu pulang. Hari ini tak fasal-fasal dia digelar perempuan gila. Naik mencacak anginnya apabila dikatakan begitu. Kalau tak ada Jak dan Fitzerald meleraikan sebentar tadi, mahu rasanya dia bergusti dengan Nadim di situ.

Mulanya dia kesal kerana menyimbah wajah lelaki itu dengan jus oren milik Fitzerald. Tapi hajat hati mahu meminta maaf kepada lelaki itu segera padam sebaik Nadim membuka mulutnya.

“Dasar mulut jahat.” Gumam Cika seraya meramas stereng keretanya. Dan kerana lelaki itu juga, tak fasal-fasal dia terpaksa menjelaskan kepada Fitzerald tentang Nadim Ammar. Meski dia gagal menjelaskan kepada Fitzerald kenapa dia menyimbah Nadim Ammar, tapi mujurlah Fitzerald tidak lagi melanjutkan pertanyaan. Barangkali lelaki itu sudah faham dengan bahasa wajahnya yang cemberut apabila diajukan pertanyaan demi pertanyaan. Eiii..geramnya! Cika benar-benar meradang dibuatnya. Sakit sungguh hatinya apabila mengenangkan lelaki itu.

Dia yang cuba menunjuk-nunjuk di hadapan lelaki itu, tapi dirinya pula yang dikenakan lelaki itu cukup-cukup. Tak guna!

Memang padanlah kau kena dengan dia! Kau yang cari fasal sendiri. Siapa yang suruh kau datang ke situ dengan Fitzerald? Hati kecilnya mengutuk perbuatannya sendiri. Ini yang dikatakan orang, sepak dengan kaki kanan, terkena kaki kiri. Padan muka kau Cika!

Previous: BAB 28
Next: BAB 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh