Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alamak! Lagi-Lagi Dia
Bab 2

Ketika mereka sampai di Wood Resort di Ulu Yam, sudah ada banyak kereta-kereta yang memenuhi kawasan letak parkir. Ada yang datang seorang, ada yang datang berkumpulan dan tak kurang yang datang dengan keluarga masing-masing. Tidak jauh dari petak parkir terdapat satu kawasan lapang yang khas untuk tapak perkhemahan.

Kolam pancing The Wood terletak di dalam kawasan pusat rekreasi dan pusat latihan The Wood yang diuruskan secara profesional oleh Institut Perkembangan Minda atau INMIND. Ia terletak di daerah Ulu Yam Perdana, Hulu Selangor dan dikelilingi dengan suasana rimba yang sunyi tetapi penuh dengan kehijauan.

Pada mulanya Cika takut juga melihat jalan yang mereka lalui ialah hutan belukar. Gerun itu tetap ada. Tapi melihatkan Ubek seperti tidak kenal istilah takut, dia hanya mampu berserah bulat-bulat. Mujurlah sebaik mereka memasuki kawasan pusat reakreasi itu, ada banyak kereta-kereta yang baru sampai seperti mereka.

“Kita pasang khemah dulu baru kita cari port memancing.” Putus Ubek seraya mengeluarkan peralatan memancing dari dalam bonet kereta.

“Adik, tolonglah abang keluarkan peralatan khemah tu. Jangan asyik pandang tempat lain.” Pinta Ubek.

Cika menoleh. Dia tersengih, menyedari keterlanjurannya yang cepat ralit dengan suasana di kolam pancing itu yang nampak meriah kali ini. Dia selalu juga mengikut ayahnya dengan Ubek pergi memancing, tapi tidaklah seramai seperti sekarang. Macam temasya pun ada. Masing-masing ceria memasang khemah sambil ada yang membuat gajet di sekitar khemah masing-masing.

“Kenapa ramai sangat orang kat sini malam ni abang? Selalunya tak ada pulak ramai macam ni?” Tanya Cika ingin tahu.

“Ada pertandingan memancing. Hadiahnya dekat RM10,000.” Ujar Ubek selamba.

Cika membulatkan matanya. Hadiah sampai RM10,000. Aduh ini kena tangkap Piranha la nampak gayanya baru boleh menang.

“Kalau kita dapat, abang kena kongsi dengan Cika.” Cika membuat syarat lain. Ubek menjeling panjang. Amboi budak ni! Siapa yang mengajak entah, alih-alih menang pun belum lagi sudah ajak berkongsi hadiah kemenangan.

“Adik tu kalau setakat RM10,000, pejam celik pejam celik aje. Abang ni baru betul sengkek. Kerja dengan orang pulak tu.” Ujar Ubek.

Cika hanya tersengih. Dia bergurau sahaja sebenarnya. Dia juga tahu Ubek sebenarnya tidak kisahkan wang kemenangan itu langsung. Abangnya itu kalau tidak ada hadiah pun akan tetap berkampung di kolam pancing demi menundukkan seekor dua ikan Toman dengan Tongsan.

* * * *

Mereka duduk di tepi kolam beralaskan tikar mengkuang, di hadapan joram masing-masing. Cika sudah siap-siap menyiapkan bekalan air dan sandwich tuna untuk abangnya dan untuk dirinya juga. Kopi pekat panas di dalam termos memang sesuai digunakan buat berjaga malam. Dia sukakan kafein. Dan rasanya Ubek juga memerlukan kafein malam ini untuk berjaga malam.

Sesekali mata Cika memerhatikan susuk-susuk tubuh yang berada berhampiran dengan mereka. Kebanyakan mereka tidak banyak bercakap, sebaliknya hanya tekun memasukkan umpan udang di mata kail.

Jarum jam di tangannya sudah menunjukkan pukul 12.30 malam. Dia memang biasa melihat kaki-kaki pancing memancing pada awal tengah malam sehingga ke pagi esok. Itu perkara biasa sebenarnya bagi kaki-kaki pancing. Lagi-lagi yang sedikit sewel seperti abangnya Ubek.

“Pelik!” Ujar Cika seraya menggelengkan kepala.

Ubek yang baru sahaja membetulkan kedudukan jorannya menoleh. Memandang sepintas lalu ke arah Cika yang berada di sampingnya.

“Apa yang pelik dik?”

You all semua la. Semata-mata sebab nak kejar ikan kat kolam ni, sanggup berkhemah kat sini dari tengah malam sehingga ke pagi. Kan pelik tu!”

“Memancing ni seni tau dik. Beri kepuasan meskipun ada yang fikir berbaloi atau tidak. Sama macam orang yang suka merokok. Sudah tahu nikotin tu bahaya, masih juga rokok laku kat pasaran.” Hujah Ubek.

“Huh kalau dah suka tu, macam-macam alasan.” Keluh Cika.

Ubek hanya ketawa. Dia memandang adiknya buat seketika. Cika kelihatan sedikit muram. Sebenarnya dia hendak bertanya juga kenapa Cika sampai boleh mengikutnya ke Ulu Yam? Selalunya gadis itu hanya mengikutnya jika mereka pergi bersama-sama ke kolam pancing bersama ayah mereka. Tapi kali ini dia dan Cika pergi berdua sahaja, di tengah-tengah malam pula. Apa mimpi Cika kali ini?

“Adik kata tadi tak boleh tidur. Kenapa? Ada masalah dengan G-Properties ke?” Tanya Ubek prihatin. Dia memang sering mengambil tahu perihal Cika. Apatah mereka hanya dua beradik sahaja. Kalau bukan dia, siapa lagi yang mahu mengambil tahu soal adiknya itu.

Cika tersenyum. Kepalanya digelengkan.

“Bukan soal G-Properties.” Ujar Cika.

“Habis? Abang tengok adik macam tak bersemangat aje tadi. Kenapa?” Soal Ubek lagi, tekun menyelidik. Manalah tahu Cika benar-benar ada masalah. Bolehlah dia membantu mana yang dia terdaya. Kalau soal duit, memang dia surrender. Cika lebih banyak duit di dalam akaun berbanding dirinya yang kering. Tapi kalau dari segi memberi idea, Insya Allah dia lulus!

“Sarah, kawan Cika masa kat sekolah dulu hantar kad jemputan hari ni.”

“Ahah, ini mesti kad jemputan kahwin. Cika susah hati sebab semua kawan-kawan Cika dah nak kahwin kan?” teka Ubek tersengih.

“Bukanlah.” Cika membeliakkan matanya besar-besar. Ada pulak macam tu! Siapa yang susah hati meskipun semua kawan-kawannya sudah mendirikan masjid masing-masing? Like I care!

“Bukan ya? Habis itu kad apa?” Ubek berminat ingin tahu.

“Kad jemputan reunion.” Jawab Cika lemah.

“Hei baguslah tu. Reunion zaman sekolah lah yang paling best tau. Adik boleh jumpa kawan-kawan lama Adik masa sekolah dulu. Abang ingatkan kad apa tadi sampai punyalah monyok muka tu.” Gelak Ubek. Percuma sahaja dia tertanya-tanya.

Cika mengeluh panjang. Dia tahu Ubek langsung tidak tahu apa-apa tentang masa silamnya di sekolah. Kalau dia bercerita pun, percuma sahaja. Dia dan Ubek berbeza usia dua tahun sahaja. Sewaktu dia trauma di sekolah lamanya, Ubek sudah melanjutkan pelajaran di universiti. Jadi Ubek langsung tidak tahu apa sebenarnya yang sudah berlaku pada dirinya ketika itu.

“Ini mesti risau nak pakai baju apa kat majlis tu nanti kan?” Suara Ubek kedengaran lagi. Sekejap-sekejap abangnya itu akan ketawa.

Cika terdiam. Dia biarkan Ubek terus dengan gelak ketawanya. Mulanya dia hendak bercerita panjang pada abangnya, namun entah kenapa dia membatalkan hasrat hati. Mungkin bukan masanya Ubek tahu. Sama seperti dia tidak pernah bercerita dengan ibunya sendiri soal kenapa dia pernah meminta pada ibunya untuk bertukar sekolah ketika itu.

“Eh nak ke mana pulak ni?” Ubek terpinga-pinga melihat dia bingkas bangun.

Cika mendengus kecil. “Cika nak ke khemah sekejap, ambilkan repellent cream sebelum satu badan Cika ni berbirat kena gigitan nyamuk.” Ujarnya lalu bergegas pergi dari situ.

Ubek ketawa kecil mendengarnya. “Huh manja!” Bisik Ubek. Tapi sejurus dia tiba-tiba menepuk lengannya. Alamak banyaknya nyamuk!

“Adik, ambilkan untuk abang juga krim tu. Nyamuk banyak sangat ni.” Jerit Ubek pada si adik yang sudah jauh meninggalkannya.

* * * *

Cika merungut-rungut kerana lengannya sudah beberapa kali menjadi sasaran kerajaan nyamuk tiruk. Mujurlah dia teringat mahu membawa bersamanya krim pencegah nyamuk yang selalu diletakkan dalam begnya.

Ketika dia sampai ke tapak perkhemahan di The Woods itu, suasana sudah agak gelap. Hanya ada beberapa lampu kalimantang yang dipasang berhampiran pokok-pokok di situ. Sewaktu dia memasang khemah itu bersama abangnya, suasana agak terang kerana ramai yang masih belum beredar dari tapak perkhemahan. Tapi sekarang semuanya sudah berada di tepi kolam pancing. Semuanya sedang berlumba-lumba mahu mendapatkan wang hadiah RM10,000 itu.

Di hadapan matanya ada lebih kurang 20 buah khemah terletak berhampiran antara satu sama lain. Lampu yang dipasang di sudut pokok pula tidak mampu menerangi hampir keseluruhan kawasan tapak perkhemahan itu.

“Alahai, yang mana satu khemah aku ni?” Rungut Cika bingung. Dalam suasana yang gelap itu, semuanya nampak samar-samar di matanya. Malah dia gagal menentukan lokasi khemah yang dipasangnya sebentar tadi. Entah di mana!

Tiba-tiba senyuman Cika bertebar di bibir. Dah jumpa! Rasanya yang itu sebab seingatnya ada pokok besar di tepi khemahnya. Salah satu dari ranting pokok itu pula hampir patah dan tercondong ke arah pintu khemahnya.

Cika segera meluru ke arah khemahnya. Zip pintu khemah dibuka lalu dia meluru masuk. Poket seluarnya diseluk, sebelum dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan menghidupkan mod lampu. Dia mencari-cari sesuatu dalam keadaan samar-samar. Tapi ia agak sukar dilakukan.

Tiba-tiba tangan Cika tersentuh sesuatu yang agak panas. Dia tergaman. Apa benda ni? Wajahnya berkerut. Serentak dia mendengar bunyi hembusan nafas di belakangnya. Ya Allah, ada orang di belakang! Dia hendak berpaling tapi urat nafasnya seakan mahu putus. Dia langsung tidak berani menoleh. Bimbang ternampak sesuatu yang bukan sepatutnya. Orang atau hantu, semuanya benda yang mahu dielakkannya.

Cika mengerling ke arah pintu khemah yang terliuk-liuk separuh terbuka. Dia harus lari! Saat itu dia hanya mahu melakukan itu! Lari secepat mungkin!

Keberaniannya dikumpul sedikit demi sedikit. Dia sudah membulatkan tekad. Nekad mahu beredar. Dan kalau orang di dalam khemah itu berniat jahat, dia akan menjerit. Itupun kalau dia berani! Satu..dua..tiga..dia membilang di dalam hati. Matanya sibuk mengawasi pintu khemahnya.

Tapi belum sempat dia mahu meluru keluar, tiba-tiba sepasang tangan menangkap pergelangan tangannya. Cika terkejut besar sehinggakan telefon bimbitnya terjatuh entah ke mana. Dia mahu menjerit, tapi tangan itu lebih pantas menekup mulutnya. Dia diasak ke ke sudut khemah oleh lembaga yang sayup-sayup kelihatan.

Lembaga itu mengambil telefon bimbit Cika yang tercampak tadi lalu menyuluh ke wajah gadis itu. Cika tergaman. Di hadapannya kini, dia terpandang seorang lelaki muda sedang merenung tajam ke wajahnya.

“Siapa awak? Kenapa awak menceroboh khemah saya? Awak nak mencuri ya?” Soal lelaki itu dengan suara meninggi.

Pertanyaan lelaki itu membuatkan Cika terkedu sejenak. Menceroboh? Mencuri? Hello mister, ini khemah aku! Erkk…is it? Cika menarik nafas panjang. Sudah tidak yakin bahawa khemah yang baru sahaja dimasukinya adalah khemahnya sendiri. Damn it! Aku salah masuk khemah!

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh