Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alamak! Lagi-Lagi Dia
Bab 9

BUNYI tapak kaki menjengah masuk ke biliknya semakin jelas, tapi dia hanya berbuat endah tak endah. Dia masih berdiam diri di dalam selimut. Tadi dia sudah bangun bersolat, tapi entah macamana kembali menyambung tidur. Penat tubuhnya tidak mahu hilang sejak dia mengikut Ubek memancing di The Woods malam semalam. Ditambah lagi dengan penat dileter ibunya, penat kerana terpaksa bertemujanji buat kali ketiga belas dan macam-macam lagi.

Memancing sudah menjadi hobi keduanya meskipun ibunya langsung tidak berkenan dengan hobi barunya itu. Kata ibunya, hobi itu hanya yang membuang masa. Kata ayahnya pula, hobi itu menyeronokkan. Kata Ubek abangnya, memancing itu lebih seronok dari bertemujanji dengan kekasih hati. Lantas kedua-duanya sering bertengkar sekadar mahu mendefinsikan tabiat memancingnya yang baru-baru ini dikenalpasti oleh Ubek.

Baginya pula, membuang masa ke tak membuang masa ke, asalkan boleh lari sekejap dari gangguan Fitzerald, kliennya serta Dato’ Fakhri, dia sudah bersyukur. Tak terlayan dia menghadap kerenah Fitzerald yang asyik menghantar berdozen-dozen bunga ke pejabatnya dengan madah-madah jiwang yang terlakar pada kad-kad di jambangan itu. Memang mamat dari USA itu romantik habis! Tapi romantik lelaki itu hanya membuatkan dia geli geleman.

Juga dia sudah muak dengan rayuan demi rayuan Dato’ Fakhri, duda anak dua yang sering mengintai peluang untuk menjadikannya pengganti arwah isterinya. Itu belum masuk dengan lirikan nakal anak bujang Dato’ Fakhri, Irman yang sama naik dengan bapaknya dalam bab usha-mengusha ni. Yang peningnya dia kerana terpaksa melayan kerenah ketiga-tiganya yang tidak masuk akal.

Ibunya pula tidak ada kerja lain selain asyik menyuruh dia menghadiri blind date. Boleh kata setiap dua minggu sekali pasti ada calon yang diperkenalkan ibunya. Dan malam semalam adalah blind datenya yang ke-tiga belas. Orangnya boleh tahan sebenarnya tapi penakut dan gelabah. Awal-awal sudah cabut lari bila dia berlakon sekejap. Jenis macam ni ke nak buat calon laki? Not acceptable!

Mujurlah bila dia balik petang semalam, kelibat ibunya tidak ada. Wanita itu mengikuti rombongan sekolah ke Nilai. Dia faham benar, ibunya itu bukan mahu sangat menemani pelajar-pelajar naik bas ke sana ke mari. Ibunya lebih berminat dengan aktiviti membeli-belah pelbagai jenis kain dan langsir di Nilai. Dia benar-benar bersyukur ibunya tidak ada, jika tidak entah macamana dia mahu menjawab pertanyaan ibunya itu tentang Zain. Lepas itu abangnya Ubek mengajak dia pula ke Kampung Teluk Gong, memancing di sana. Semuanya ambil peluang bila ibunya tidak ada di rumah. Baru lagi telinga mereka bernanah kerana dileter wanita itu kerana memancing di Ulu Yam, abangnya Ubek seakan tidak kenal istilah serik.

“Jomlah adik, temankan abang.” Pujuk Ubek berulangkali.

Mahu tak mahu dia terpaksa mengikut. Itupun kerana dapat approvaldari Encik Nordin, second komanden dalam batalion Puan Bahyah. Asalnya mereka bertiga mahu pergi bersama-sama. Tapi pada minit-minit terakhir Encik Nordin tidak mahu mengikut kerana keesokan harinya dia ada majlis keraian yang harus dihadiri. Anak gadis teman baiknya Shamsudin akan diijabkabulkan pukul 11 pagi keesokkan harinya. Diikutkan hatinya dia malas mahu mengikut, tapi desakan rakan baiknya dalam orkestra tidak harus diabaikan begitu sahaja.

Setelah awal subuh baru dia sampai ke rumah bersama Ubek. Itu yang dia penat sangat sebenarnya. Seperti biasa, Ubek tidak pernah memancing apa-apa kecuali seekor dua anak ikan yang sebesar ibu jari.

“Adik memang brutal, tak takut ke umi marah?”

Tiba-tiba sahaja dia teringatkan kata-kata Ubek ketika mereka menanti ikan memakan umpan di pinggir sungai.

“Nak takut apa?”

“Leteran umi la apa lagi?” Ubek tersengih.

“Takut juga, tapi nak buat macamana? Abang patut tengok si Zain tu. Muka nampak macho habis tapi bila kena sergah sikit dah kelam kabut. Dari Cika kahwin dengan lelaki macam tu, lebih baik Cika kahwin dengan ikan buntal.” Dia ketawa kecil. Sekadar bercerita kosong dengan si abang yang memang kaki pancing dan dia turut sama berkongsi kegemaran abangnya itu.

“Yalah, orang tu cuma minat Josh Duhamel sahaja.” Usik Ubek seraya ketawa terkeheh-keheh.

Dia terdiam sejenak. Mungkin kalau abangnya tidak menyebut tentang Josh Duhamel, dia sudah melupakan lelaki yang dijumpainya di bilik air wanita di Restoran Jumbo Jeep tempohari serta insiden yang memalukan di dalam tandas wanita di situ.

“Berlagak sungguh mamat tu. Macamlah handsome sangat.” Dia mencebik. Tapi cebikannya tidak mengandungi kebencian lantaran wajah itu lebih membuatkan dia tertarik dan terpukau.

Entah kenapa, setiap kali dia mahu melelapkan mata, setiap kali itu juga wajah itu terimbas bagaikan scanner machine. Terhimpun di matanya membuatkan dia terbuai sehingga terlena.

Renungan lelaki itu juga masih kekal di hatinya sehingga kini. Sepasang mata lelaki itu bagaikan mempunyai aura untuk membuatkan dia terkenang-kenang seperti orang gila bayang. Kalaulah dia ada peluang untuk terus bertemu lelaki itu! Keluh hati kecilnya. Tapi peluang itu tidak mungkin ada lagi tatkala pertemuan terakhir mereka berakhir dengan kata mengata dan sindir menyindir antara mereka.

Cika! Damn it! Kenapa mesti kau gila bayang begini? Setelah berpuluh-puluh lelaki kau temui sepanjang hidup kau, kenapa lelaki itu juga yang kau ingatkan? Takkan kau dah lupa bagaimana sedap mulutnya mengata kau yang bukan-bukan! Hate him but don’t love him! Seru suara hatinya.

Telinganya tiba-tiba menangkap bunyi langsir pintunya diselak. Dalam mamai-mamai, dia memasang telinga. Siapa pulak la yang rajin selak langsir kat bilik aku ni? Ah malas layan! Tidur lagi baik! Manalah tahu dia boleh bermimpi bertemu Josh Duhamel. Maksudnya original Josh Duhamel. Bukan fake Josh Duhamel yang berlagak maut tu. Dasar lelaki sengal! Getus Cika geram.

“Nak tidur sampai pukul berapa ni? Sampai tengahari ke?” Suara itu singgah menjamah gegendang telinganya. Dia membuka mata lalu terkebil-kebil sejenak di dalam selimut. Macam kenal suara tu!

“Orang lain dah ada kat meja makan tu, tengah makan dan siap-siap nak pergi kerja. Yang awak ni kalau hari-hari tak payah kena kejutkan, tak payah kena panggil turun, tak boleh ke?”

Dia menarik nafas. Dah start meleter dah orang tua ni! Dia mengeluh. Perlahan-lahan dia menyelak selimut lalu tersengih pada wajah yang sudah bercekak pinggang di hadapannya.

“Eh bila umi balik? Cika tak tahu pun.” Dia menegur.

“Pukul 7 pagi tadi lagi umi dah sampai ke rumah. Yang awak tu entah solat subuh ke belum?” Suara Puan Bahyah terus menyelidik. Rancak mahu menyiasat aktiviti anak-anaknya yang cukup culas mahu menunaikan solat.

“Sudahlah umi. Cika dah solat lepas tu sambung tidur. Umi tak ke sekolah hari ni?”

“Tak, umi cuti hari ni.”

“Banyak beli kain kat Nilai tu?”

Mata Puan Bahyah membulat ke arah anaknya. Cika tersengih-sengih. Alamak dah kena panah arjuna dah! Dia mengerti benar maksud renungan ibunya kali ini.

“Cika nak bangun la ni umi.” Dia membuang selimut dengan perasaan malas. Aduh! Malasnya nak bangun! Malasnya nak pergi kerja! Malasnya nak mandi!

“Dah jangan nak buat muka sememeh tu depan umi. Sekarang awak pergi ambil tuala, pergi mandi sekarang. Umi tunggu kat sini sampai awak siap. Bukan umi tak tahu perangai awak tu, pantang umi lepa sikit, awak humban diri atas katil tu lagi.” Leter Puan Bahyah.

“Yalah..yalah..Cika nak pergi mandi la ni. Umi ni suka sangat berleter tau. Bosanlah Cika macam ni.” Dia merungut-rungut sambil berdiri di birai katil. Tuala yang tersangkut di pelantar dicapai lalu dia segera bergegas ke bilik air.

“Amboi menjawab pulak budak ni. Kalau awak tak buat perangai, tak ada nya umi nak berkeras dengan awak macam ni. Awak tu bukan budak-budak lagi Cika, umur dah nak masuk 29 tahun.” Getus Puan Bahyah.

“Cika baru 28 la umi. Tak payahlah umi nak ingatkan selalu, bosan dah Cika dengar umi asyik berleter.” Cika menjerit dari dalam bilik air yang terkatup rapat.

“Awak dengan abang awak tu sama aje. Bila umi cakap sikit, awak kata umi ni suka berleter. Tapi cakap umi awak dua beradik langsung tak nak dengar.” Jerit Puan Bahyah cuba menyaingi bunyi pancuran showerdari dalam kamar mandi.

Mendengar Cika diam sahaja, tidak membalas lagi kata-katanya, Puan Bahyah hanya mampu mengeluh panjang. Apalah nasibnya! Ada anak dara seorang, perangai tak serupa anak orang. Tiru perangai siapa si Cika ni agaknya! Ada anak bujang, pun asyik berkepit dengan ikan.

Malas mahu menanti di situ, dia segera turun ke tingkat bawah. Menghampiri meja makan yang sudah ditempati oleh suami dan anak lelaki sulungnya Ubek yang beberapa kali asyik menguap.

“Apa yang riuh rendah tu?” Tegur Encik Nordin sambil menyuap mee goreng ke mulut. Ubek yang duduk di sebelah ayahnya sibuk membelek-belek ipad di tangannya.

“Anak dara awaklah apa lagi? Saya cakap sepatah, dibalasnya berpatah-patah. Panjang benar akalnya sekarang ni, sebiji macam si Ubek ni.” Puan Bahyah menjeling anak sulungnya.

Ubek tersengih, namun matanya masih tidak berganjak dari gadget di tangannya.

“Hati saya ni bang, geram sangat mengingatkan telatah si Cika ni. Malu saya dengan si Safiah tu. Bukan main serius lagi kita nak kenenkan dia dengan si Zain tu, dah tu tak fasal-fasal jadi macam ni pulak. Safiah sms saya semalam, beritahu Zain balik sampai demam-demam dimainkan di Cika tu.” Keluh Puan Bahyah.

“Ala nak dipaksa buat apa kalau Cika tak suka.” Jawab Encik Nordin selamba.

Puan Bahyah menjegilkan biji matanya, merenung si suami yang nampak lebih berminat mengkhatamkan sepinggan mee goreng dari berbicara tentang anak mereka.

“Bang, kalau awak tak ingat, mari saya ingatkan awak. Si Cika anak kesayangan awak tu dah masuk 28 tahun. Dah cukup umur untuk kahwin pun. Awak tak teringin ke nak bermenantu?” Soal Puan Bahyah.

“Teringin tu teringin jugak, tapi kalau si Cika tu tak berkenan, kita nak paksa pun tak guna jugak. Ni bukan zaman macam kita dulu Cik Bahyah oi.” Sahut Encik Nordin. Ambil mudah seperti biasa.

“Habis nak suruh dia cari sendiri? Abang, Cika tu sejak sekolah, masuk universiti sampai sekarang, bukan main liat nak cari teman lelaki. Ada orang nakkan dia, dia pula tak mahu. Kononnya belum puas hidup bebas. Lepas tu alasan dia lagi tak ada masa nak cari. Pergi memancing dengan Ubek ni sampai ke Ulu Yam, ke Telok Gong tu ada masa pulak!” Getus Puan Bahyah.

“Alah umi ni, kalau cakap fasal Cika..tak ada benda lain ke nak sebut. Asyik-asyik nak suruh dia kahwin. Yang Ubek ni, umi tak peduli pun.” Celah Ubek pura-pura merajuk.

“Kamu tu jantan, mana ada expired date. Tapi Cika tu lain. Jangan katakan dating, teman lelaki pun tak ada.” Keluh Puan Bahyah bimbang.

Ubek ketawa kecil. Lucu mendengar kata-kata uminya. Encik Nordin hanya mampu menggelengkan kepala. Dia tahu benar sikap isterinya yang tak habis-habis mahu mencarikan jodoh untuk anak gadis mereka.

“Cika tu nak tunggu Josh Duhamel dia.” Ujar Ubek.

“Apa? Josh Duhamel tu siapa?” Encik Nordin tercengang.

“Alah ayah ni, Josh Duhamel yang berlakon Las Vegas dengan filem Transformer tu lah. Adik nak lelaki yang macam Josh Duhamel tu.” Canang Ubek ketawa kecil.

“Umi tak nak adik awak cari mat saleh buat laki. Umi nak dia pilih orang melayu kita, yang ada adab sopan dan budi bahasa.” Pintas Puan Bahyah pantas. Takut benar dia jika Cika memilih lelaki yang bukan-bukan untuk dibuat suami.

Ketawa Ubek semakin kuat kedengaran. Lucu mendengar persepsi ibunya yang ketara tidak tahu apa-apa tentang bahasa kiasannya. Ibunya itu nama sahaja guru bahasa melayu di sebuah sekolah menengah, tapi bahasa kias-kias, pusing-pusing pun ibunya tidak faham.

Cika yang sedang menuruni anak tangga langsung terdengar bunyi ketawa abangnya. Dia tahu tentu ada sesuatu yang sedang dibincangkan oleh ahli keluarganya ketika itu. Tentu tak lain tak bukan tentang dirinya! Bukankah sejak akhir-akhir ini topik berkaitan dirinya suka benar ditimbulkan keluarganya terutama ibunya Puan Bahyah.

Aduh! Kalau macam ni baik aku langsung terus ke pejabat. Fikir Cika. Lagipun kes dirinya dengan calon menantu pilihan ibunya masih belum beres. Dia sendiri masih belum disoalsiasat ibunya tentang Zain. Sebelum dia disembur habis-habisan, baik dia cabut lari awal-awal.

Diam-diam dia menyelinap ruang makan menuju ke arah pintu. Kasut disarung sebelum dengan senyap-senyap juga dia memasuki perut kereta. Bibirnya tersenyum puas sebaik dapat menghidupkan enjin kereta. Yes! Line clear!

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh