Register   |      Log in   |   Terlupa password
Home Novel Komedi/Romantik Komedi GILA TAK RINDU
GILA TAK RINDU
muRni aQiLa
6/4/2015 12:32:50
25,894
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Prolog

11 November 2011

BUKAN main teruja lagi Nomi setelah turun dari bas. Tiara dan Warda pun teruja sama.Mereka yang memakai trench coat dan sarung tangan mendaki bukit yang agak condong untuk ke Namsan Tower, tempat wajib pergi jika berada di Korea. Masing-masing dengan kamera di tangan. Itupun bagaikan tak cukup. Kamera di telefon bimbit pun digunakan.

Musim luruh yang sejuk berangin ketika ini begitu nyaman. Daun pokok-pokok di sepanjang jalan berwarna merah kekuningan.Sangat cantik. Sambil mendaki, mereka sempat bergambar dan berselfie walau hidung masing-masing kembang-kuncup menahan mengah.

“Okay, ready?” Nomi menghalakan kameranya, mahu merakam gambar Tiara dan Warda.

Dua sahabat itu spontan melebarkan senyuman dan bergaya. Selepas itu Nomi mengambil gambar selfie mereka bertiga pula. Bermacam cara mereka ‘pose’. Bermacam riak muka dipamerkan. Semua bajet acah-acah comel.

Mereka ketawa apabila melihat riak muka masing-masing dalam gambar. Tak dipedulikan langsung pada pandangan pelancong lain yang mengerling mereka. Biarlah! Ingat senang ke nak datang ke Korea ni?

Sebelum habis pengajian diploma, mereka sudahmenempah tiket. Konon-konon supaya dapat tiket yang paling murah. Masih bergelar pelajar, manalah ada duit sangat. Tak naklah harapkan duit ibu bapa. Selagi boleh berdikari sendiri, berdikarilah.

Setahun mereka merancang mahubercuti ke situ. Setiap hari menabung. Duit belanja disimpan sedikit demi sedikit. Dengan harapan, habis ijazah duit simpanan merekacukup untuk dibuat bekalan bercuti.

Tiba masa,terpaksalah buat muka simpati dengan ibu bapamasing-masing minta wang saku tambahan.Yalah... mata wang won bukannya murah! Kos sara hidup di Korea tinggi.

Akhirnya, mereka tiba di taman bukit Namson Tower. Di situ begitu popular digelar ‘love padlocks’. Begitu banyak anak mangga yang ditulis dengan ayat-ayat cinta untuk kekasih hati dan di rantai kuncinya. Ada yang jadi pokok, ada yang digantung di sepanjang pagar.

Mereka percaya apabila menggantung mangga dengan tulisan cinta untuk insan tersayang dan kemudian kuncinya dibuang akan membuatkan cinta mereka selamanya takkan mudah digugat walau dilanda taufan dan tsunami. Cewah!

Yang beragama Islam tak boleh percaya benda khurafat ni semua. Jatuh syirik nanti. Rosak iman!

“Hah!” Tiba-tiba Warda menunjuk jari telunjuknya dengan mulut terlopong dan mata membulat lagak teringatkan sesuatu.

Nomi dan Tiara memandang Warda dengan pandangan tercengang.

“Eh, kau orang buka WeChat. Cepat! Cepat!” arah Warda bagaikan arahan sarjan kepada anak buahnya.

“Apasal?” Berkerut-kerut dahi Nomi. Pelik.

“Buka ajelah! Cepat!” desak Warda. “Cepatlah...” Dia turut membuka aplikasi WeChat di telefon bimbitnya.

Melihat Warda seperti kelam-kabut semacam, masing-masing ikutkan saja arahan sahabat mereka itu.

“Lepas tu?” Tiara bertanya sambil menggaru kepala yang ditutupi tudung. Dia kebingungan.

Warda lantas mencapai telefon bimbit Tiara dan membuat sesuatu. Begitu juga dengan telefon bimbit Nomi. Warda buat semua telefon macam haknya sendiri. Seketika, barulah dia mengembalikannya semula.

Nomi melihat apa yang Warda sudah buat pada telefon bimbitnya. “Hah?!” Bukan kepalang lagi dia terkejut. Matanya terbeliak. “Weh! Apa kau buat ni?”

Bukan Nomi saja, Tiara pun ternganga setelah melihat telefonnya. Warda membuka ‘people nearby’ pada aplikasi WeChat mereka! Berderet-deret gambar dan nama tertera di skrin. Weh, bukan ke itu untuk...?

Warda tersengih-sengih. “Kat sini kan tempat ‘memohon cinta’. Manalah tahu kita bertemu jodoh dengan orang Korea.” Kemudian, dia ketawa besar.

“Otak...” Tiara mengetap gigi, menahan diri supaya tak menghabiskan ayat itu.

“Banyaklah kau punya tempat ‘memohon cinta’!” Nomi lantas menutup aplikasi WeChat itu. Sempat dia memukul bahu Warda agak kuat.

“Entah kau ni! Jodoh orang Korea konon!” Tiara mula rasa nak marah. Dia mahu menyekeh kepala Warda, tapi sempat Warda mengelak.

“Alah... saja-saja je.”

Nomi tergeleng-geleng. Dia rasa macam nak tumbuk perut Warda. “Kot ya pun kau mabuk gila bayang dengan artis K-pop, tak payahlah sampai nak cari suami orang Korea.Lepas tu, babitkan kita orang pulak.”

Warda ketawa.Hanya dia yang fanatik dengan apa saja yang datang dari Korea. Artis Korea mana yang dia tak kenal? Semua artis dia hafal nama walaupun kelihatan seperti susah nak sebut nama mereka.

“Kahwinlah kau dengan orang Korea. Kopet!” ejek Tiara, membuatkan Nomi tergelak. Dia faham apa yang Tiara maksudkan.

“Eh, ada yang mandi pagi macam kita jugaklah,” bantah Warda.

“Kopet,” ejek Tiara lagi.

Mereka kemudian ketawa terkekeh-kekeh, tahu yang Tiara sekadar bergurau.

Warda walaupun diketawakan, haram dia tak peduli. “Cer buka balik WeChat kau orang. Mesti ada yang add. Aku yakin mesti ada pakwe Korea yang add kau orang. Aku ni lagilah. Mesti berduyun-duyun nak kenal dengan aku.”

Amboi! Bukan main yakin lagi Warda.

“Okey!” sahut Tiara penuh bersemangat. “Kita tengok siapa yang paling ‘hot’. Haa... nak tengok sangat, kan? Kau jangan terkejut tengok aku punya WeChat, Da.” Dia pantang dicabar. Telefon bimbitnya dibelek.

Warda pun tergesa-gesa membuka WeChatnya. Teruja.

Nomi acuh tak acuh. Dia letak gambar ilustrasi mukanya yang dilukis sendiri sebagai foto profil. Muka kartun. Siapalah yang nak kenal dengannya?

“Yeah!” Tiara terjerit sambil ketawa. “Ada tiga orang add aku oii. Tiga orang!”Dia seronok betul.Tadi, dia yang membebel-bebel marahkan Warda. Cakap ‘kopet’lah bagai. Sekarang dia pulak yang melebih.

“Tengok, siapa yang add kau?” Tiara menjengah ke skrin telefon Warda.

Warda mencebik sedih. “Hampeh!”

“Berduyun-duyun konon. Podah cit!” Tiara mencebik.

“Tengok siapa yang add kau, Ti. Kalau pakwe Korea, kau pass kat aku eh? Pass tau!”Warda mahu melihat WeChat Tiara.

Bukan Warda saja, Nomi juga teruja nak tengok. Manalah tahu tiba-tiba ada artis Korea yang nak berkawan dengan Tiara. Cit! Perasan!

Sekali... setelah melihat gambar ketiga-tiga lelaki yang mahu berkenalan dengan Laila, berdekah-dekah mereka ketawa. Semuanya langsung tak menepati cita rasa. Warda yang tergila-gilakan lelaki Korea pun menggeleng tak mahu dengan lelaki-lelaki itu.

“Kau, Nomi... kau langsung tak buka WeChat kau. Apa ni? Mana aci macam ni.” Warda tunjuk muka tak puas hati.

“Ha’ah kau ni, Nomi. Cepat, cepat... kita orang nak tengok.” Tiara menggamit dengan jari telunjuk, isyarat agar Nomi mengeluarkan telefon bimbitnya.

“Alah... tak payahlah.” Nomi mengelak. “Mesti tak ada siapa yang nak add aku.”

“Ah, tak kira. Cepat!” Warda memaksa.

“Cepatlah!” Tiara juga mendesak.

Nak tak nak, Nomi mengeluarkan telefon bimbitnya. Alangkah terkejutnya dia melihat adaseseorang mahu berkawan dengannya. Warda dan Tiara terjenguk-jenguk tunduk mahu melihat siapa gerangannya.

“Pehhh... dia punya nama Mr. Krab tu!” Warda ketawa.

“Orang Malaysia! KL!” Tiara seronok tak pasal-pasal.

“Wahhh...” Mereka berdua buat muka kekaguman.

Nomi ketawa. “Kau orang ni dah kenapa? Orang Malaysia je kot! Balik Malaysia nanti jumpa orang Malaysia jugak. Aku lempang jugak sorang-sorang ni.”

Warda dan Tiara ketawa. Saja mereka buat gempak.

Nomi meliarkan pandangan ke arah sekeliling. Dia mahu melihat kalau-kalau ada lelaki Malaysia yang berada di situ. Tapi tak nampak sesiapa pun yang disyaki.

Acceptlah, Nomi. Accept!” Warda menggoyang-goyang bahu Nomi, membuatkan Nomi kembali menatap telefon bimbitnya.

“Malas aku!”

“Alah kau ni, Nomi. Accept jelah.” Warda tetap mahu memaksa. “Kawan je kot, bukannya apa pun.”

“Entah!” Tiara menyokong.

“Ah, malaslah!” Nomi tetap menyombong. “Entah siapa-siapa Mr. Krab ni. Tengok, tengok! Nama pun Mr. Krab. Bukan nak guna nama sendiri. Picture profile pun letak gambar ketam.” Dia mencebik.

Warda dan Tiara berasa hampa.

Namun, tiba-tiba Warda merampas telefon bimbit dari tangan Nomi dan segera menekan ‘accept’ tanpa sempat Nomi menghalang.

Tergamam Nomi dibuatnya.

Warda tersengih-sengih sambil memulangkan semula telefon bimbit Nomi. Tiara sudah tergelak. Kelakar melihat riak wajah Nomi yang masih tercengang.

“Woi...” Barulah Nomi mampu bersuara. “Ya ALLAH... yang kau accept dah kenapa? Astaghfirullah! Masya-ALLAH! Ya ALLAH! Astaghfirullah! Allahuakbar!” Dia menggelabah.

Warda menggigit bibir. Mukanya cuak rasa bersalah.

Seketika terdengar bunyi ‘beep’ dari telefon bimbit Nomi.

Nomi menatap skrin telefonnya. Terbeliak dia melihat Mr. Krab menghantar mesej padanya. “Kau tengok, Da! Kau tengok! Kau tengok! Dia dah bagi mesej! Astaghfirullah! Subhanallah! Masya-ALLAH! Astaghfirullah! Ya ALLAH!” Makin menggelabah dia dibuatnya.

“Eeii, kau ni! Kalutlah!” Tiara merampas telefon daripada tangan Nomi. “Dia dah bagi mesej, baca jelah.”

“Apa yang dia mesej? Nak baca, nak baca...” Warda menyibuk ingin tahu.

Tiara membaca mesej itu. “Hai! Mesti you kat Namsan Tower, kan?”

Warda ketawa seronok. Begitu juga dengan Tiara. Teruja tak pasal-pasal.

Nomi menepuk dahi. “Adehhh...” Dia tak gemar betullah tiba-tiba ada lelaki nak kenal macam ni.

“Tak apa, Mi. Aku balas.” Tiara lantas menaip.

Awak pun kat Namsan Tower ke?

Yup!

Warda dan Tiara ketawa teruja sambil menutup mulut.

“Dia pun ada kat sini?” Warda melilaukan mata. “Mana? Mana?”

Berderau darah Nomi. “Wehhh...” Terus seram sejuk seluruh tubuh. “Apa ni, weh? Astaghfirullah! Ya ALLAH! Ya ALLAH! Masya-ALLAH! Astaghfirullah!” Dia betul-betul kalut.

“Alah... relakslah, Mi.” Tiara selamba. Dia dan Warda masih lagi melilaukan pandangan mencari kelibat lelaki Melayu di situ.

Nomi menutup muka dan seperti nak menangis. Ini semua kerja gila!

Bunyi ‘beep’ membuatkan mereka membaca mesej yang diterima.

Tapi I baru je naik bas nak balik hotel.

Nomi spontan melepaskan nafas lega. “Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah. Syukur!”

“Kalau tak, boleh jumpa. Boleh kenal-kenal. Dapat jumpa orang Malaysia kat sini rasa macam best pulak.” Warda menyengih.

“Betul, betul, betul...” sokong Tiara.

“Gatallah kau orang ni,” kutuk Nomi selamba.

“Bukan gatal! Ramah je!” perbetul Warda.

Terhambur ketawa Tiara.

“Huh!” Nomi menolak hidungnya dengan pangkal jari telunjuk sambil mencemik.

Telefon bimbit Nomi berbunyi lagi.

Mr. Krab: I dengan member-member I balik KL esok. Tak dapat kita nak jumpa.

“Alahh... dia dah nak balik esok pulak.” Tiara hampa.

“Yes!” Nomi ketawa. Terasa lapang dadanya. “Bak sini!” Diambil balik telefonnya dari tangan Tiara. Lantas, dia menaip.

Kalau nak jumpa saya, tunggu tarikh hari ni tahun depan.

Nomi senyum. Dia nak Mr. Krab mengalah.

“Amboi...” Warda tak menyangka itu permintaan Nomi. “Baik kau cakap jumpa kat pintu syurga je,” perlinya.

Mengekeh Nomi dan Tiara ketawa.

Tanpa disangka, Mr. Krab membalas mesej Nomi itu! Berlumba-lumba Tiara dan Warda nak baca sama.

No problem. Setahun tu bukanlah lama sangat. Kita jumpa tahun depan.

“Wuyoo... setia menanti gitu!” Tiara ketawa.

Terangkat tinggi kening Nomi. Jenis ego Mr. Krab ni. Dia mencebik. Okey, kita tengok nanti. Dia amat amat amat yakin yang Mr. Krab ni cuma hangat-hangat tahi ayam. Tengoklah nanti kalau tak percaya. Dia senyum sinis.

“Dapat jugak aku nak tengok Nomi bercinta,” ujar Warda teruja.

“Heh!” Nomi mendengus. “Tak nak aku bercinta. Otak orang yang bercinta ni tak stabil. Kadang-kadang macam terencat.”

Tiara dan Warda tercemik. Memang itulah yang Nomi cakap kalau mereka mengusik Nomi pasal cinta.

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.