Home Novel Komedi/Romantik Komedi GILA TAK RINDU
GILA TAK RINDU
muRni aQiLa
6/4/2015 12:32:50
94,588
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 12

MENGGELETAR jemari Nomi yang memegang stereng kereta. Dia sedang dalam perjalanan ke destinasi yang dituju. Dia dah cuba mengawal perasaan berdebarnya. Siapa yang tak berdebar weh? Dah setahun kenal, ini kali pertama nak bersua muka.

Tiba di restoran yang dijanjikan, dia mencari-cari parkir. Kelihatan kotak parkir yang disediakan sudah penuh. Berkali-kali dia ‘tawaf’ bangunan restoran itu untuk mendapatkan parkir sehinggalah tiba-tiba dilihat ada sebuah kereta mahu keluar di hadapannya. Betul-betul di hadapan restoran.

Yes... rezeki!”

Tapi malangnya, itu bukanlah ruang parkir. Cuma ruang itu muat untuk kereta secomel Swiftnya parkir di situ. Betul-betul di tepi parit konkrit besar.

“Ah, lantaklah! Parking jelah. Tak ada siapa nak saman malam-malam macam ni. Tempat ni tak berapa terang pulak tu.” Lantas, dia memasuki ruang itu sebaik-baiknya supaya tak menyempitkan ruang kereta sebelah.

Elok saja dia menarik brek tangan, telefon bimbitnya berbunyi. Dia menggelabah.

“Alamak! Alamak! Dia telefon ke? Dia dah sampai dulu ke?” Telefon bimbit di dalam beg tangan dikeluarkan. Melihat di skrin, dia melepaskan nafas lega. Panggilan itu dijawab.

“Helo...”

“Macam mana? Dia handsome tak? Hah? Handsome? Handsome?

Nomi buat muka malas. “Kau ni kan, Ti... sibuk nak tahu dia handsome ke tak.”

Tiara berdekah ketawa. “Aku saja je tanya. Saja nak tahu. Eh, dia handsome tak?”

“Eeii... kau ni! Aku jumpa dia pun belum, Ti. Ni baru park kereta. Dah, jangan call aku lagi! Tak senang aku nak dating dengan dia. Kacau daunlah kau ni!” Nomi pura-pura marah. Padahal, satu badan rasa menggeletar ketika ini.

“Jangan lupa ambil gambar dia, Nomi. Aku nak tengok. Haihh... tak sabarnya nak tahu macam mana rupa dia!”

Eh, Tiara ni. Aku yang nak jumpa, dia pulak yang lebih-lebih. Nomi ketawa sinis. “Okeylah! Bye!

Telefon bimbit dimasukkan semula ke dalam beg tangan. Nafas panjang dilepaskan sambil cuba bertenang. Setelah dirasakan dia mampu mengawal perasaan, barulah dia keluar dari kereta.

Dengan langkah separuh yakin, dia masuk ke dalam restoran itu. Matanya melilau mencari si pemakai baju warna merah. Ada seorang, tapi datang berkeluarga. Takkan Mr. Krab dah beranak-pinak?

Jadi, dia buat keputusan untuk duduk di sebuah meja dan menunggu pemilik baju warna merah sebenar.


PERLAHAN Adib menunggang motosikalnya. Dia tak ada semangat langsung nak jumpa Nomi. Bawa motor pun macam malas-malas. Sehinggalah dia tiba di restoran yang dijanjikan.

Dia berhenti berdepan dengan restoran itu. Dipandang tanpa jiwa. Apa pun yang terjadi hari ini, aku kena teruskan jugak. Anggap saja macam aku jumpa kawan baru.

“Ya ALLAH... janganlah sampai Hazza tahu yang aku jumpa minah ni.” Keluhannya dilepaskan.

Matanya meliar mencari tempat untuk memarkir motosikal. Tak ada! Semuanya kereta. Langsung tak ada tempat untuk motosikal. Nampak sangat orang naik motor tak pergi restoran macam ni.

Matanya terpandang ruang yang boleh menyelitkan motosikalnya. Di tepi parit konkrit, bersebelahan kereta Swift merah. Ruang sebelah belakang kereta itu muat untuk motosikal Honda EX5nya.

Setelah menongkat motosikal, Adib melangkah masuk ke dalam restoran. Dia cuba memaniskan wajah mencari si pemakai baju merah. Matanya terpandang seorang gadis yang tunduk membelek telefon bimbit. Berbaju blaus warna merah belang-belang putih dan memakai selendang warna hitam. Dia tahu... itu pasti Nomi. Lalu dia menghampiri gadis itu dengan tenang.

“Assalamualaikum...” sapanya.

Nomi spontan mendongak. Dipandang lelaki yang berdiri di sisi meja. “Waalaikumusalam...” balasnya gementar.

Adib senyum dan duduk di hadapan Nomi. “Jadi... awaklah Nomi?” Dia cuba berlagak selamba.

Dilihat wajah dan penampilan Nomi. Cantik orangnya. Dia rasa macam pernah tengok muka Nomi ni. Tapi... entah kat mana. Perasaan je kot. Ah, bukan penting pun! Kulit Nomi putih kuning. Berwajah bujur. Penampilan fesyennya kelihatan mengikut gaya Muslimah urban yang sopan.

Tapi hatinya takkan tertawan! Dalam hatinya sudah ada Hazza. Dan dia dah tekadkan hati supaya menganggap Nomi bukan sesiapa pun bagi dirinya. Sekadar... gadis yang dijumpa di tepi jalan.

Mata Nomi bulat memandang lelaki yang sudah duduk itu. Aku pernah jumpa lelaki ni! Aku pernah jumpa dia! Kat mana, eh?

“Saya Mr. Krab.” Adib ketawa. Apa bendalah Risham ni. Ada ke pilih nama Mr. Krab? “Mulai hari ni, awak panggil saya Adib je. Nama saya Adib Baihaqi.”

Nomi masih diam. Dia sedang keras berfikir. Aku pernah jumpa lelaki ni. Kenapa aku lupa pulak ni? Ya ALLAH... kat mana eh aku jumpa lelaki ni? Kat mana?

“Nama awak Nomi eh? Tu nama betul-betul ke, nama olok-olok?” Adib ketawa lagi. Entah apa yang merasuk, dia boleh pula ramah bukan main lagi.

Nomi memandang Adib tak berkerdip.

“Oh... entah-entah awak ni Noami Campbell. Tak pun Noami Kyle.” Adib tersengih-sengih. Sengaja dia buat ‘loklak’. Biar Nomi meluat melihatnya.

Ketika ini barulah Nomi mula ingat. Sel otaknya sudah berhubung. Ni lelaki yang aku jumpa kat traffic light! Lelaki yang naik motor! Yang ketuk belakang kereta aku! Serta-mertaperasaan geramnya bergelora dalam diri.

“Awak tak ingat saya? Tak kenal saya?” sindir Nomi.

Terkejut Adib apabila disoal begitu. Berkerut dahinya. “Kenapa? Awak kenal saya ke?”

Nomi mula ketawa sinis. Hilang terus gementarnya. Kini perasaan menyampah yang terpamer di wajahnya. “Takkanlah tak ingat?” Dia ketawa lagi. Ketawa yang dibuat-buat.

Adib semakin pelik.

“Ya ALLAH...kenapalah aku jumpa lagi dengan lelaki ni?” soal Nomi kepada diri sendiri. Senyuman sinisnya terukir. “Kenapalah kecik dunia ni?”

“Awak cakap apa ni? Apa benda yang awak merepek?” Adib mula rasa nak marah pula. Sakit hatinya mendengar ketawa sinis Nomi. Baru jumpa dah nak menyakitkan hati orang pulak!

Makin meluat Nomi melihat Mr. Krab yang baru memperkenalkan nama sebagai Adib itu. “Cepat betul awak nyanyuk. Cuba awak tengok muka saya betul-betul. Takkan tak ingat? Dah nyanyuk ke?” provoknya.

“Eh, ehh... amboi mulut tu. Sedapnya cakap orang nyanyuk, cik kak oii.” Adib membalas. Dahlah dia tak ada hati nak jumpa dengan si Nomi ni. Macam ni pulak perangai perempuan ni.

Tengok! Memang sah! Dulu pun dia panggil aku ‘cik kak’. Memang aku tak salah orang. Perasaan meluat Nomi berganda-ganda.

“Tak apalah kalau awak dah nyanyuk. Meh sini pandang muka saya betul-betul.” Nomi tunjuk mukanya betul-betul di hadapan Adib.

Adib memandang Nomi. Serius. Dia langsung tak ingat wajah perempuan yang duduk di hadapannya itu.

“Awak pernah ketuk belakang kereta saya. Masa tu kat traffic light. Selamba awak ‘sound’ saya sesuka hati!” Nomi mengingatkan dengan perasaan geram.

Adib baru perasan. Dia terangguk-angguk. Ya, ya... baru dia ingat. Dia ketawa sinis. “Saya bukan ‘sound’. Saya nasihat je masa tu, cik kak. Dah awak macam tak reti je peraturan jalan raya,” sindirnya.

Nomi yang mendengar kata-kata Adib rasa macam dipersalahkan pulak. “Hei, hei... siapa yang tak reti peraturan sebenarnya? Kereta saya bukan terjulur sampai ke tengah dunia. Terlepas sikit ke depan garisan je. Itu pun nak kecoh! Ingat saya ni bongok sangat ke?” Suaranya meninggi.

Satu restoran menumpu pandangan ke arah Nomi dan Adib. Tapi peduli apa mereka berdua. Gaduh tetap gaduh!

“Yang awak bawa kereta sampai terlebih garisan kenapa? Kereta awak panjang sangat ke? Awak bawa lori ke, bawa kereta? Kalau dah lebih garisan tu maknanya salahlah, cik kak oii. Tak reti?” Adib ‘memantul’ apabila melihat Nomi melenting.

“Kalau saya terlebih ke depan pun kenapa? Menyusahkan awak ke?”

“Memang! Menyusahkan saya. Semak mata saya tengok! Awak tu dah membahayakan orang lain. Kalau apa-apa jadi pada orang lain, awak nak tanggung?”

Eh, eh... tak nak mengalah pulak si ketam ni? Nomi bulatkan mata besar-besar bagaikan nak menelan Adib. “Jadi apa-apa ke hari tu? Terbalik ke dunia ni? Tak ada, kan? Kenapa nak kecoh sangat? Saya dah bertahun-tahun bawa kereta. Saya tahulah nak bawa macam mana pun!”

Adib naik angin. “Dah tu... awak nak bawa kereta sampai dunia terbaliklah? Hah?!”

Dah bergaduh pulak budak dua orang ni. Yang memandang mereka berdua makin terlopong.

“Ehem, ehem!”

Dehaman kuat lagi keras kedengaran, membuatkan Nomi dan Adib mula sedar yang suara mereka bertekak satu restoran boleh dengar.

Itu dehaman amaran namanya!

Nomi dan Adib sama-sama terdiam. Masing-masing mengerling ke sekeliling restoran dengan ekor mata. Banyak mata sedang memerhatikan mereka.

Riak wajah Nomi berubah kelat. Malunya! Ni semua si ketam ni punya pasal! Urghh!

Adib memandang Nomi. Dia membebel-bebel tanpa suara, dengan muka yang menjengkelkan. Dia geram betul dengan Nomi. Perkara kecil dibesar-besarkan!

Lantas Nomi bangun. “Saya rasa, saya tak ingin kenal dengan Encik Ketam yang... yang...” Dia hilang kata. Tak tahu nak melabelkan Adib sebagai apa. “Yang entah apa-apa entah! So... anggap kita tak pernah kenal, tak pernah jumpa. Faham?!” Dia mencapai beg tangannya dan terus berlalu.

Mula-mula Adib melopong. Tak lama kemudian, dia tersenyum sinis. “Haa... baguslah! Bagus! Senang kerja aku.”

Nomi tak hiraukan kata-kata Adib. Dia melangkah keluar dengan perasaan geram. Baik tak payah kenal dengan manusia nama Adib ni. Adib Baihaqi konon. Tapi pemikiran kolot! Otak ketam! Tahu salah orang je. Salah sendiri tak nampak!

Dia merungut-rungut dalam hati sambil masuk ke dalam kereta. Pintu kereta dihempas kuat. Saja melepaskan geram.

Adib juga tak ada hati nak berlama-lama di situ. Buat sakit hati je! Cepat-cepat dia membayarkan minuman Nomi di kaunter sambil menebalkan muka. Semua memandangnya macam dia penjenayah. Ni semua Nomi punya pasal!

Baru saja dia melangkah keluar dari restoran, terdengar bunyi yang agak kuat. Berdentum!

Bam... berdebus!

Mulut Adib luas ternganga. Dia nampak dengan jelas depan matanya. Motosikal EX5nya dilanggar Nomi hingga jatuh bergolek dan kemudian masuk ke dalam parit!

Nomi yang menyedari dia sudah melanggar sesuatu, menekan brek. Terkejut dan terpinga-pinga. “Hah?! Apa tu? Bunyi apa tu?” Dadanya berdebar.

Adib berlari-lari ke tepi parit. Dilihat motosikalnya tertonggeng di dalam parit yang berair itu,menenggelamkan motosikal kesayangannya.

“Ya ALLAH! Habis motor aku. Habis!” Kecewa, geram, sakit hati... semua berbaur dalam diri.

Dia mendapatkan Nomi. Diketuk tingkap cermin kereta Swift itu kuat-kuat. Dia sedang menahan perasaan marah yang sukar nak digambarkan dengan kata-kata. Dia benar-benar marah!

“Keluar!” laungnya.

Nomi terpinga-pinga. Dia menurunkan cermin tingkap. Separuh saja. “Apasal?”

“Awak tanya apasal?” Makin naik angin Adib dibuatnya. “Erghh... sabar, Dib! Sabar...” Dia bercakap pada diri sendiri. Kalau tak sabar, memang dia ‘meletup’ di situ juga.

“Awak tahu tak yang awak dah langgar motor saya sampai masuk dalam parit? Hah?!”

“Laa... saya langgar motor awak ke?” soal Nomi dengan perasaan tak bersalah.

Berapi Adib satu badan mendengar soalan itu. Sampai terlompat-lompat dia kerana terlalu marah. Kalau ikutkan hati, sekarang juga dia gegarkan kereta Nomi.

“Awak yang salah! Yang awak letak motor awak belakang kereta saya kenapa? Mana saya perasan motor awak tu! Orang nak reverse pun susah!” Memang Adib yang salah. Takkan dia nak cakap Adib betul pulak? Nomi menjeling Adib.

“Aku pulak yang dia salahkan?” Adib mencengkam rambutnya dengan kedua-dua tangan. Geramnya aku! Geramnya! “Saya tak kira! Awak kena bertanggungjawab!”sambungnya bagaikan arahan.

Ketika ini sudah ramai yang berkerumun untuk melihat motosikal Adib yang sudah berendam dalam air parit. Ada yang jadi pemerhati Adib bertekak dengan Nomi.

“Huh! Nonsense!” Malas Nomi nak bercekik leher dengan lelaki ketam ni. Terus dia menaikkan cermin kereta. Tanpa memandang Adib, dia mengundurkan kereta.

Muka Adib sudah cuak. Dia mengundur setapak dua ke belakang, mengelak daripada kereta Nomi. Tak pasal-pasal nanti kaki aku pulak yang dia lenyek.

Mukanya makin cuak apabila dilihat Nomi memang berura-ura mahu berlalu dari situ. Dia melihat muka Nomi macam tak mahu ambil peduli apa yang jadi.

“Woi! Woi! Woi!”

Namun, kereta Nomi tetap berlalu pergi.

“Woiii!” Kali ini jeritan Adib lebih keras. Sayangnya, Nomi betul-betul tak nak bertanggungjawab. Dipandang kereta Nomi yang semakin menjauh. “Kurang ajar!”


“OH... maknanya Sham baru lagi kenal Kisya?” Ghazali bertanya.

Risham mengangguk sambil tersenyum.

Ghazali dan Ainun suami isteri ketawa mesra.

Kisya hanya menunduk. Tempoh hari, dia mengamuk dengan Risham yang tak menjawab panggilannya. Risham dah minta maaf. Kata Risham, telefon bimbitnya tertinggal di rumah. Tapi, dia tak percaya langsung. Kalau Risham nak dimaafkan, dia cabar lelaki itu datang ke rumahnya. Tak sangka malam ini, Risham datang sungguh ke rumahnya.

Mereka baru sahaja selesai menikmati makan malam. Dan kini berbual-bual di ruang tamu sambil menjamu teh O panas dan kuih-muih.

“Untunglah kamu, Kisya. Baru kenal tak sampai dua bulan, Sham dah datang jumpa daddy dengan mummy, nak berkenalan. Tu tandanya Sham ni bersungguh.” Ghazali ketawa melihat Kisya semakin malu diusik begitu. Dia memandang isterinya. “Betul tak, mummy?”

Ainun ketawa perlahan. “Betul kata daddy tu, Kisya.” Dia memandang Risham semula. “Alhamdulillah... auntie dengan uncle rasa bertuah sangat sebab Kisya kenal dengan Sham yang bersungguh-sungguh macam ni.”

Tersenyum Risham mendengar kata-kata Ainun. Malu pula dia apabila dipuji-puji begitu. Dia mengerling Kisya yang duduk di sofa di sebelah Ainun. Kisya sangat cantik. Cantik semula jadi. Bukan saja ketika mereka keluar bertemu janji, malah di rumah pun Kisya cantik walaupun dalam keadaan santai tanpa mekap.

Ini menguatkan lagi rasa cintanya. Memang bertuah dia bertemu Kisya dan dapat mencintai gadis itu. Ternyata keputusannya untuk serius dengan Kisya adalah tepat. Dan tindakannya menyuruh Adib menyamar menjadi Mr. Krab untuk bertemu Nomi adalah bijak. Senyumannya mekar. Bangga dengan kebijaksanaan diri sendiri.

“Kisya tak pernah cerita pun pada mummy, macam mana Kisya kenal dengan Sham. Ceritalah...” Ainun menepuk-nepuk tangan Kisya bersama senyuman.

“Alah, mummy ni...”Kisya pura-pura malu.

Ainun dan Ghazali ketawa lagi. Begitu juga Risham. Dilihat Kisya sangat manja dengan mummynya.

“Macam nilah dia, Sham.” Ghazali menggeleng-geleng. “Anak perempuan tunggal. Manja betul dia dengan auntie. Dengan uncle pun dah besar-besar macam ni manja jugak. Tak tahulah...” Ghazali ketawa lagi, membuatkan wajah Kisya memerah apabila menjadi tumpuan.

“Mana ada, daddy...”Kisya mempertahankan diri.

“Tengok tu... tak mengaku.” Ainun mengusik Kisya. “Kalau Sham masuk bilik Kisya, mesti terkejut. Penuh dengan teddy bear. Macam budak-budak!” Dia ketawa.

“Mummy!”Kisya memonyokkan muka. Malu kisah kemanjaannya dijadikan bahan cerita.

Risham ketawa.Seronok dia mendengar cerita Ghazali dan Ainun tentang gadis kesayangannya itu. “Saya dengan Kisya sebenarnya kenal secara tak sengaja, auntie... uncle. Kawan saya buat birthday partykatcoffee house. Saya datang nak meraikan kawan saya ni. Belum sempat kami nyanyi lagu birthday untuk dia, ada satu grup dah nyanyi lagu tu.

Rupa-rupanya, ada jugak yang celebrate birthday kat situ. Siapa lagi kalau bukan Kisya dengan kawan-kawan dia. Jadi, kami pakat celebrate sama-sama. Kat situlah saya kenal Kisya,” cerita Risham, terimbau kembali kenangan manis dua bulan lalu.

Bersungguh-sungguh Ghazali dan Ainun mendengar. Masing-masing sungguh tak sangka Risham dan Kisya boleh kenal dengan cara begitu.

Kisya senyum tatkala Risham bercerita tentang permulaan detik bahagia mereka.

“Pertama kali pandang, saya dah jatuh hati kat Kisya sebenarnya, auntie... uncle.” Risham tersenyum, malu buat pengakuan begitu depan orang tua Kisya. Tapi, niatnya ikhlas. “Saya bagi dia call card. Tak sangka Kisya call saya esok harinya.” Ketawanya di hujung bicara.

“Ohh...” Ainun dan Ghazali tersenyum memandang Kisya. Senyuman mengusik.

“Baru mummy tahu macam mana ceritanya.”

“Eh... minumlah, Sham. Sejuk dah air teh tu,” pelawa Ghazali.

Setelah menghirup seteguk dua, Risham meletakkan cawan beralas itu ke atas meja semula. Dipandang Ghazali yang juga meletak cawan ke meja. “Err... uncle, saya nak minta izin uncle sesuatu.”

Bulat sedikit mata Ghazali. “Hmm... apa dia? Cakaplah.”

Ainun dan Kisya memasang telinga.

Dada Risham berdebar. Dari awal lagi, dia sudah membuat merancang. Malah, dengan Kisya pun dia tak beritahu. Sengaja dia mahu buat kejutan. “Saya nak minta izin uncle... saya nak bawa papa dengan mama saya ke sini, kenal dengan uncle, dengan auntie.” Dia merenung Kisya sebelum menyambung. “Dengan Kisya...”

Terus Ghazali ketawa. Ainun tersenyum meleret memandang Kisya yang terkejut bukan kepalang.

“Ni kiranya datang bawa parents nak merisiklah ni?” soal Ghazali. Melihat Risham mengangguk, dia ketawa lagi. Gembira betul dia. “Boleh, Sham... boleh. Datanglah. Boleh kita tetapkan tarikh majlis sekali. Betul tak, Kisya?”

Kisya tergamam. Tak tahu nak cakap apa. Tak sangka Risham begitu ‘gentleman’ dan bersungguh-sungguh dalam perhubungan mereka. Perasaan terharu, gembira dan tak sangka berbaur dalam jiwanya. Risham bukan saja jejaka idamannya, malah yang ditunggu-tunggu selama ini.

Risham memandang Kisya bersama senyuman mesra. Itulah kejutan untuk Kisya. Dia mahu Kisya tahu yang dia benar-benar serius.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.