Home Novel Komedi/Romantik Komedi GILA TAK RINDU
GILA TAK RINDU
muRni aQiLa
6/4/2015 12:32:50
94,785
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 2

SERIUS muka Adib melangkah masuk ke dalam lif bangunan SUK 22 tingkat itu. Tiada sesiapa di dalamnya.Selepas menekan butang 5 untuk ke pejabatnya, dia tersandar lemah di dinding. Namun, lif berhenti di tingkat 3. Serta-merta dia berdiri tegak.

“Eh, Abang Adib...”

Bulat mata Adib melihat gerangan yang melangkah masuk ke dalam lif. Senyumannya terus meleret lebar. Hatinya berbunga.

Hazza senyum. Dia menekan butang untuk menutup pintu lif. “Dari site ke?”

“Biasalah.” Adib rasa bahagia setiap kali menatap wajah Hazza.

“Patutlah nampak monyok.” Hazza ketawa perlahan.

“Ya ke?” Adib memegang-megang wajahnya. Malu pula dia apabila Hazza nampak wajahnya serius tadi.

“Penat eh? Alah, kesiannya...” Hazza seperti biasa mesra dengan Adib. Bersenda begitu baginya dianggap normal.

Tapi Adib yang mendengar rasa kembang hati. Kata-kata Hazza itu dirasakan seperti begitu mengambil berat tentangnya. Mulalah dia rasa nak mengadu. “Penat kerja tu biasalah... tapi tadi, ada benda yang buat abang rasa... urghh! Rasa nak marah je!”

Ting! Pintu lif terbuka di tingkat 5. Mereka beriringan keluar menuju ke pejabat.

Hazza memandang kasihan wajah Adib. “Marah? Kenapa? Bos marah abang ke?”

“Eh, tak adalah.” Makin seronok Adib rasa. Hazza betul-betul sedang mengambil berat tentangnya. Ni yang buat dia makin sayang pada gadis itu. Sayang dalam diam ajelah. Nak cakap terus terang, dia masih tak yakin.

“Habis tu?”

“Tadi kat traffic light simpang empat, ada minah sorang ni bawa kereta sesuka hati. Dahlah berhenti terlajak ke depan sampai terlebih line. Sambil drive sambil on the phone. Menyirap je abang tengok. Abang tegurlah dia. Sekali dia melenting marah abang. Siap tengking lagi. Eii... panas hati abang ni, Za.”

Hazza ketawa. “Oh... tu yang monyok tu?” Dia menggeleng-geleng. “Kesiannya abang kena tengking dengan orang macam tu.”

Mereka berhenti apabila tiba di pintu masuk pejabat.

“Kenapa gelak?” Adib mengemam bibir, pura-pura nak marah. Padahal dia suka melihat Hazza ketawa. Comel sangat. Rasa macam nak cubit-cubit pipi gadis itu.

Senyuman Hazza masih mekar. “Abang Adib ni, kena tengking dengan perempuan pun dah sedih. Tak macho langsung!”

“Mana ada abang sedih. Tengok, tengok...” Adib buat gaya mendadakan diri. “Macho tak? Macho, kan?”

“Abang memang macho!” Hazza menaikkan ibu jari.

Adib menyengih bangga.

Anyway, terima kasih sebab belikan Hazza nasi lemak pagi tadi.”

“Eh, mana Hazza tahu abang yang letak nasi lemak atas meja Hazza?” Adib tunjuk muka terkejut.

“Eleh... kalau bukan Abang Adib, siapa lagi? Hazza dah tahu dah. Kalau ada bungkusan atas meja Hazza pagi-pagi, memang tak ada orang lain. Ni semua kerja Abang Adib!” Hazza berpeluk tubuh, kononnya marah. Tapi seronok sebenarnya dibelanja orang.

“Tapi, abang tengok habis jugak Hazza makan,” usik Adib.

“Tak elok membazir.” Hazza ketawa. “Okeylah, Abang Adib. Hazza pergi dulu. Lain kali belanjalah lagi,” guraunya pula. Sambil senyum, dia berlalu ke arah mejanya.

Adib melihat Hazza berlalu bersama senyuman. Belanja Hazza tiap-tiap pagi pun tak apa. Abang sanggup, Hazza.Tersengih-sengih dia menuju ke mejanya yang terletak bertentangan arah dengan meja Hazza. Gembira hatinya.



NOMI mendaki anak tangga perlahan-lahan menuju ke butiknya yang dikongsi bersama Tiara di tingkat 2 bangunan kedai di Seksyen 7 itu. Dia menolak pintu kaca itu dengan lemah.

Sebaik sahaja melangkah masuk, dia nampak Tiara sedang membelek-belek baju yang digantung di rak. Tiada pelanggan datang waktu petang-petang begini.

“Hah! Dah balik pun.” Tiara menegur. “Apa cerita kau tadi? Aku dengar kat telefon kau terjerit-jerit marah. Apasal?”

Makin monyok muka Nomi. Dia duduk di sofa yang diletakkan di tepi dinding butik.

“Kau marah siapa?” soal Tiara lagi. Dia menghampiri, lalu duduk di sisi Nomi.

“Ada mangkuk jamban sorang ni... kurang ajar betullah dia!” Nomi sudah bersedia mahu melepaskan geram. “Kau bayangkan, Ti. Aku berhenti kat traffic light. Tiba-tiba mangkuk yang naik motor ni ketuk belakang kereta aku. Dahlah kuat, banyak kali pulak tu!”

Tiara tunjuk muka meluat. “Apasal?”

Kerut di wajah Nomi mengendur sedikit. “Memang salah aku pun. Aku lambat brek, terlajak terlebih line.”

Tiara terangguk-angguk, mula faham cerita Nomi.

“Yalah... kalau aku salah pun, tak boleh ke dia tegur aku baik-baik? Ni tak, ketuk belakang kereta aku macam nak pecah. Lepas tu, dengan muka berlagak dia tegur aku. Kereta aku bukan ke depan sangat pun. Cara dia tu buat aku langsung hilang respect kat dia.”

“Mangkuk jamban tu lelaki, eh?”

“Lelakilah. Perempuan tak buat perangai kera macam tu kat orang. Orang perempuan ni beradab.”

Handsome?

“Hmm... bolehlah. Kau tahu macam muka siapa? Macam muka kartun Flynn Rider. Cerita Tangled tu.”

“Wow!” Muka Tiara teruja. “Yummy!”

“Eeii...” Nomi mencebik. “Handsome macam Zac Efron sekalipun, tapi kalau macam tu punya perangai, ikutkan hati aku ni... nak je aku tampar dia macam tampar buaya!”

Meledak ketawa Tiara. Terus terbayang wajah seorang bomoh.

Nomi turut ketawa. Hilang sedikit rasa marah. Dia berdiri dan melangkah ke arah gantungan tudung di sudut rak. Satu demi satu tudung itu dia belek.

Tiara kini beralih ke kaunter bayaran.Dia membelek-belek fail stok.

Nomi masih membelek tudung yang direka di butik mereka itu. Dicapai satu demi satu penyangkut tudung dan mengacukan ke badannya. Semua dia cuba.

“Ti!”

“Hmm...” Tiara ralit mengira di failnya.

Nomi mengacukan sehelai selendang warna biru firus ke badannya. “Kalau aku pakai yang ni, cantik tak?”

Tiara mengerling sekilas. “Hmm...”

Nomi monyok sikit. “Cantik ke tak?”

“Cantik...” Malas-malas Tiara bersuara.

Nomi senyum semula. “Betul ni?” Dia mengeluarkan selendang itu dari penyangkutnya. Lalu, dia menghampiri Tiara sambil meletakkan selendang tersebut di atas kepala. Dia menggayakannya ala kadar.

Tiara memandang Nomi yang tersenyum sambil buat gaya ‘posing’. “Kau pakai apa pun cantik. Kau kan model Charm & Sweet. Gila tak cantik?”

“Setakat pakai tudung, pakai baju bagai... lepas tu pose kejung dalam Facebook dengan Instagram butik sendiri... tu bukan model. Tu namanya bajet! Kedekut!” caras Nomi.

“Eh... kau cakap macam katak bawah tempurung pulak. Tudung Fareeda tu... owner dia jugak yang jadi model. Tu lagilah... terpampang besar-besar gambar dia kat billboard. Kita ni baru lagi buka butik, Nomi oii. Baru enam bulan. Customer pun ramai yang online buyer. Jimatlah sikit.” Tak jadi Tiara nak fokus pada kerjanya.

“Kalau macam tu, lepas ni kau pulak yang jadi model.” Nomi mengangkat-angkat kening.

“Tak nak aku!” Terus berubah serius muka Tiara. Beria-ia dia mengelak kalau disuruh bergambar untuk menggayakan pakaian butik mereka. “Eeii... tak retilah!”

“Tahu pun. Aku ni terpaksa mengalah tau? Kalau tak, siapa nak jadi model?” Nomi menganggap itu pengorbanan yang terpaksa dia lakukan demi butik mereka.

“Sebab kau tu fotogenik. Sampaikan ada orang cakap kau ni, Hana Tajima. Aku rasa kau lagi lawa daripada dia.”

Nomi tergelak. “Hana Tajima celah mana? Hah? Ada pulak kata aku ni Hana Tajima. Lainlah!” nafinya keras.

“Kau tengok diri sendiri memanglah kau tak tahu. Memang kau ada iras Hana Tajima.” Beria-ia Tiara memberitahu. “Tapi kau... lagi comel.”

Nomi mencebik. Eleh! Tiara puji-puji ni nak jaga hati aku sebenarnya.

Dia melihat cermin di satu sudut butik itu sambil membetulkan selendang yang dipakai. “Kalau aku pakai macam ni masa jumpa Mr. Krab nanti... okey tak, Ti?”

Tiara yang baru nak menulis sesuatu di fail yang dipegang pantas mendongak semula memandang Nomi. Matanya terbeliak. “Nomi!”

Jeritan Tiara membuatkan Nomi spontanmenoleh ke arah sahabatnya itu. Dia terpinga-pinga. “Amende?”

“Kau nak jumpa Mr. Krab?” Tiara bukan kepalang lagi terujanya.

“Hisy, kau ni! Aku ingatkan apalah tadi. Tiba-tiba je kau menjerit macam pontianak sakit tertarik rambut. Terkejut aku!” Nomi kembali menatap cermin sambil membetulkan lilitannya.

So...” Tiara hilang kata-kata.

Nomi senyum.

Tiara masih teruja. “Tak sangka kau nak jumpa Mr. Krab tu. Dulu kau punyalah menggelabah. Astaghfirullah. Ya ALLAH. Masya-ALLAH.” Dia mengajuk cara Nomi bercakap dulu.

Tergelak Nomi melihat Tiara meniru gayanya dulu. “Yalah... dah janji nak jumpa. Terpaksalah.”

Tiara mencebik tak percaya.

“Apa salahnya jumpa?” Nomi tak nak nampak dia seperti mula rasa nak kenal Mr. Krablebih rapat lagi.

Tiara terfikir-fikir. “Yalah... dah nak dekat setahun. Lagi dua minggu!” Dia berkira-kira semula. “Tak sampai dua minggu.”

Nomi kembali menghampiri Tiara. “Ti... aku sebenarnya cuaklah. Nervouse gila! Rasa macam tak nak jumpa dia.”

“Eh... jangan nak mengada!”

“Kau dengan Warda punya hallah ni! Tak pasal-pasal aku kenal dengan Mr. Krab tu.”

Tiara menyengih. “Dia handsome tak?”

Nomi mengangkat bahu.

“Hai...” Tiara pelik. “Takkan dah dekat setahun ni kau masih tak pernah tengok gambar dia?”

“Dah aku pun tak pernah tunjuk gambar aku kat dia. Dia pun tak tunjuklah gambar dia kat aku. Dia kata biar kita orang kenal muka masa jumpa nanti. Nak surprise katanya.”

“Eeii... peliknya kau orang ni! Habis tu, dalam WeChat takkan dia tak ada gambar langsung? Kau tu yalah... moment kau ada status je. Tu pun jarang-jarang ada status. Tak ada gambar. Tapi takkan dia pun tak ada letak gambar?” Tiara masih tak puas hati.

Nomi menggeleng. “Ada sekeping. Itupun gambar dia beramai dengan kawan-kawan dia. Dia yang mana satu pun, aku tak tahu. Dahlah gambar itu macam jauh sikit. Tak jelas sangat muka masing-masing.”

Bila bercakap tentang Mr. Krab, dia semakin berdebar. Dia belum bersedia nak jumpa dengan lelaki yang dikenali di WeChat sewaktu bercuti di Korea dulu.

“Banyak yang dia tak tahu pasal aku. Dan aku pun tak tahu sangat pasal dia.”

Makin berkerut dahi Tiara memandang Nomi. “Habis tu, dalam tempoh setahun ni apa yang kau orang borak?”

“Tak borak sangat pun.”

Tiara tunjuk muka tak percaya.

“Ya... betul. Aku tak tipu. Lagipun, kita kan sibuk gila sebelum buka butik ni. Mana ada masa sangat. Ke hulu ke hilir macam-macam benda kita berdua buat. Jangan lupa yang kita nak sewa kedai ni sikit punya susah. Dah settle pasal kedai, sampai tak tidur malam buat design ni semua pulak.

Pergi cari material yang sesuai, lepas tu nak jahit lagi. Ni baru sebulan aku rasa macam relaks sikit.” Nomi terkenang kembali detik-detik mencabar yang terpaksa mereka hadapi lapan bulan yang lalu sehinggalah butik Charm & Sweet ni secara rasminya dibuka.

“Yalah, yalah...aku percaya partner share aku ni.” Tiara menepuk-nepuk bahu Nomi. Susah payah ketika itumengeratkan lagi hubungan persahabatan mereka.

Nomi senyum. Seketika dia muram semula. “Macam mana ni, Ti? Aku takutlah nak jumpa Mr. Krab tu.”

“Buat apa nak takut? Jumpa jelah. Kalau dia buat apa-apa kat kau, kau tangkap dia!” Tiara buat aksi cara menangkap yang paling kelakar. “Lepas tu kau masak chilli crab. Hmm... sedap!” Terkekeh-kekeh dia melihat Nomi memuncung.

“Macam mana kalau Mr. Krab tu tak handsome? Tak macam yang kau harapkan?” duga Tiara pula.

Nomi menanggalkan selendang yang dicubanya tadi. “Aku tak harap apa-apa pun. Aku belum rasa nak bercintalah. Otak orang yang bercinta ni...”

“Tak stabil. Kadang-kadang macam terencat.” Tiara menyambung ayat Nomi yang sudah dihafalnya.

Nomi cuma senyum dengan bahu terangkat.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.