Home Novel Komedi/Romantik Komedi GILA TAK RINDU
GILA TAK RINDU
muRni aQiLa
6/4/2015 12:32:50
94,586
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 15

SEPANJANG mesyuarat berlangsung, mata Adib sekejap-sekejap merenung Hazza. Dia sengaja memilih tempat duduk yang bertentangan dengan gadis itu. Boleh dia pandang Hazza puas-puas.

Kadang-kadang dia rasa matanya lebih tertumpu ke arah Hazza daripada ketua mereka. Hazza ada segala-galanya. Seperti magnet, Hazza berjaya menarik pandangan matanyatertumpu pada gadis itu.

Ada kala mata mereka bertembung tanpa sengaja. Tak membazirkan peluang, dia melirikkan senyuman. Hazza membalas senyumannya. Ketika itu hatinya kembang sekembang-kembangnya! Rasa gembira sangat.

Mesyuarat akhirnya bersurai. Adib bangun lambat-lambat. Malasnya nak keluar dari bilik itu. Tak dapatlah dia nak merenung Hazza lagi. Ramai yang sudah keluar. Dia sengaja cari peluang keluar bersama Hazza. Dia nampak Hazza membawa beg duit bersama.

“Ni mesti nak turun pergi kafe ni,” serkap Adib apabila dapat jalan seriring dengan Hazza.

“Abang ni tahu je,” balas Hazza sambil senyum.

“Abang dah faham sangat perangai Hazza. Habis meeting je mesti nak pergi kafe.”

“Za nak beli air Nescafe. Mengantuklah meeting tadi.” Hazza melayukan matanya.

Adib ketawa.

“Abang Adib pun nak pergi kafe jugak ke?” Hazza terkejut melihat Adib mengiringinya ke lif.

Kebetulan pintu lif terbuka untuk ke tingkat. Mereka beriringan masuk ke dalam lif.

“Abang nak pergi HR kejap. Ada hal.” Adib mahu menguruskan perihal kelewatannya pagi tadi.

Tiba di tingkat 3, Adib beredar keluar. “Bye, Hazza...” ucapnya dengan mesra.

Hazza hanya senyum. Hatinya lega. Kalau dia jalan berdua dengan Adib, nanti orang ingat mereka pasangan kekasih. Tak naklah macam tu! Dia bukan ada hati pada Adib pun.

Baru saja Adib keluar dari lif, telefon bimbitnya berbunyi. Dia berhenti melangkah. Risham!

“Helo...”

“Macam mana malam tadi? Dah jumpa? Okey?” Tak ada mukadimah, terus Risham ke titik perbualan.

Adib melepaskan nafas panjang. “Aku dah jumpa dia dah. Okeylah... Tapi...”

“Baguslah kalau dah jumpa. Aku nak tahu tu je. Pandai-pandailah nanti kau settle macam mana dengan dia. Tak payah layan dia kalau kau tak nak. Anyway, thanks sebab tolong aku. So... hutang kau tu semua aku halalkan. Dunia dan akhirat.”

“Err... aku...”

Sekali lagi kata-kata Adib dipotong Risham.

Thanks, bro! Bye!

Talian sudah diputuskan.

Adib merenung kosong skrin telefon bimbitnya.


TERSENTAK Nomi apabila terdengar bunyi ketukan yang maha kuat. Dia yang duduk bersandar di dalam kereta terjaga daripada lelap. Tertidur dia rupa-rupanya.

Dia menggonyoh-gonyoh mata. Dipandang ke luar cermin tingkap. Matanya mengecil cuba untuk fokus. Entah apa yang difikir, dia terus pakai tali pinggang keledar. Enjin kereta dihidupkan, lalu mula menggerakkan kereta.

Adib yang tercegat di luar kereta tercengang melihat kereta sudah bergerak. Apa lagi, menggelabah dia mengejar kereta Nomi.

“Hei, berhentilah!” Adib mengetuk-ngetuk belakang kereta Nomi. “Hei! Hei! Hei!” laungnya macam orang gila malam-malam begitu.

Nomi terperanjat. Dia menekan brek. Terpinga-pinga dia ketika ini.

Segera Adib berdiri di sisi cermin tingkap Nomi. Dia yang agak tercungap membongkok sedikit. Cermin tingkap itu diketuk-ketuk. Sebaik saja Nomi menurunkan cermin tingkap, tak bertangguh dia marahkan Nomi.

“Apa benda awak buat ni, cik kak oii? Awak dah kenapa? Mabuk todi? Orang ketuk cermin kereta suruh dia buka pintu, dia boleh blah macam tu je pulak!”

“Ohh...” Barulah Nomi sedar sepenuhnya daripada mamai setelah melihat muka Adib. Dengan isyarat tangan, dia menyuruh Adib masuk ke dalam kereta. Dia masih mengantuk lagi. Kalau tak, dah lama dia membebelkan lelaki ketam itu.

Lekas-lekas Adib menuju ke pintu sebelah duduk pemandu. Kalau lambat, nanti dia tinggalkan aku lagi. Bukan boleh percaya si Nomi ni. Dahlah nama macam jajan sumi. Sempat lagi dia menceceh dalam hati.

Baru saja Adib duduk, tak sempat lagi kaki kirinya masuk ke dalam kereta, Nomi sudah bergerak. Pintu pun terkangkang lagi.

“Woi! Woi! Woi! Berhenti! Berhenti!” Sekali lagi Adib terlolong macam polong.

Nomi memberhentikan keretanya secara mendadak. Terkejut! Dia langsung tak sedar yang Adib belum menutup pintu.

“Awak ni nak suruh saya mati ke, apa? Tak nampak ke kaki saya kat luar lagi? Hah?! Tak nampak?” marah Adib serius.

Sorry, sorry... saya tak perasan.” Nomi rasa bersalah pula.

“Tak perasan apa pulak? Saya besar gedabak macam ni takkan tak perasan!”

Bam! Adib menutup pintu dengan kasar.

Eh, eh, ehh... aku dah minta maaf, dia nak melenting lagi pulak. Tak jadi Nomi nak rasa bersalah. “Yang awak lambat sangat kenapa? Kata balik pukul 10.00, ni dah pukul 10.30. Saya ni mengantuk tahu? Mengantuk!”

“Saya dah mesej awak bagitahu saya balik pukul 10.30! Hah, tak bacalah tu! Macam mana nak baca, membuta je kerja dia!”

Nomi mencapai telefon bimbit yang diletakkan di tempat khas di tepi stereng. Betullah... lelaki ketam ni ada bagi aku mesej. Perlahan-lahan dia meletak semula telefon bimbitnya itu.

Dia mula memandu keretanya menuju ke Kota Kemuning untuk menghantar Adib. Tak tahu nak bangkang apa lagi dengan Encik Ketam ni.

Tersenyum Adib senyap-senyap. Dia paling seronok bila dapat melenturkan keegoan Nomi. Satu sikap Nomi yang dia dah hafal, Nomi ni susah nak mengaku salah. Geram dia dengan perangai macam tu.

Suasana senyap dalam kereta itu. Hanya kedengaran nyanyian lagu dari corong radio. Itu pun sayup-sayup saja.

Sesekali Nomi menguap. Ditutup mulutnya dengan tapak tangan. Matanya terasa layu.

Adib hanya mengerling Nomi. Langsung dia tak rasa kasihan. Biar padan dengan muka dia! Masa nilah aku nak ajar dia cukup-cukup.

“Yang awak kerja part time, kenapa? Kerja kat kedai piza pulak tu. Dah elok-elok kerja gomen, awak kerja part time nak buat apa? Kecik ke gaji orang gomen ni? Tak cukup?” Nomi bertanya selamba.

“Hina ke kerja kat kedai piza?” selar Adib tak teragak-agak.

Nomi memandang Adib sekilas. “Saya tak cakap pun kerja kat kedai piza ni hina. Saya tanya, kenapa awak kerja part time?”

“Sibuk je nak tahu!”

“Kalau orang tanya elok-elok, tak boleh ke jawab elok-elok? Orang tanya je pun.” Nomi mencebik, menyampah pula dengan Adib ni. Perasan bagus!

“Tanya macam tu awak kata elok?” Adib ketawa sinis. “Tu bukan tanya. Tu tanya sambil perli!”

Eeii... dia ni! Sensitif tak pasal-pasal. Senang sangat tersentap. Nomi menjeling Adib sekilas.

Keadaan kembali senyap. Namun, hanya seketika. Nomi bertanya lagi.

“Awak nak kumpul duit banyak-banyak eh? Nak beli rumah banglo eh?” Nomi senyum, sengaja mengumpan Adib dengan pertanyaan itu. Dia nak juga tahu kenapa Adib yang kiranya sudah selesa kerja kerajaan masih nak buat kerja lebih masa. Mesti ada sebab.

“Jangan nak menyibuklah!”

Terus mati senyuman Nomi. Ditengkingnya aku? Huh! Dasar ketam!

Previous: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.