Home Novel Komedi/Romantik Komedi GILA TAK RINDU
GILA TAK RINDU
muRni aQiLa
6/4/2015 12:32:50
94,589
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 14

BELUM jam 8.00 pagi lagi Nomi sudah terpacak di tepi bangunan apartmen Adib. Kerja gila! Tak pernah-pernah aku buat kerja macam ni. Sambil menunggu, dia duduk bersandar melayani lagu-lagu yang berkumandang dari corong radio. Dari satu lagu ke satu lagu dia dengar. Namun, kelibat Adib masih tak muncul-muncul. Dia resah. Sudah 8.10 pagi kot.

“Takkanlah si ketam ni tak bangun lagi. Dia yang beria-ia suruh aku tunggu dia pukul 8.00 kat sini. Jangan-jangan dia main-mainkan aku.” Nomi mula berprasangka.

Dia dah bersedia nak menyumpah seranah si ketam itu kalau memain-mainkannya.

“Kalau pukul 8.15 dia tak ada jugak, aku blah. Dengan aku jangan nak main-main, eh? Aku ni punctual!

Detik demi detik berlalu. Jarum jam sudah menunjukkan pukul 8.15 pagi. Lantas, dia menukar gear D dan menurunkan brek tangan. Baru saja dia nak bergerak, dia nampak Adib menghampiri keretanya.

“Ada rupanya si ketam ni! Amboi... jalan terkedek-kedek. Ingat aku ni pak pacak, nak tunggu kau lama-lama? Kau lambat ya? Siap kau!” Datang ideanya nak mendajalkan Adib.

Adib dengan muka tak bersalah menghampiri kereta Nomi. Baru dia nak memegang pembuka pintu kereta, kereta Nomi bergerak ke depan sedikit. Terlepas. Dia melangkah ke depan mahu mendapatkan kereta Nomi semula.

Baru saja dia nak pegang pembuka pintu, sekali lagi kereta Nomi berganjak ke depan lagi. Dia mendapatkan kereta Nomi semula. Namun, sekali lagi kereta Nomi bergerak ke depan seperti menjauhinya.

Haihh... buat lawak ke? Kau rasa kelakar? Adib berjalan ke hadapan kereta Nomi. Dia bercekak pinggang. Direnung Nomi dengan muka berlagak. Orang kata ‘pandang kerek’.

“Ceh! Ingat aku seram dia buat muka macam tu? Dahlah lambat! Lembab!” Nomi membebel.

Dia menggerakkan keretanya agar lebih dekat dengan Adib. Sesudah itu, dia berhenti dan menurunkan cermin tingkap sebelah pemandu.

“Masuklah, Encik Ketam! Apa lagi terhegeh-hegeh tu?”

Adib dengan muka masam memegang pembuka kereta, namun berkunci. Naik angin satu badan dia dibuatnya. Kau buat lawak apa ni, syaitan?!

“Cepatlah masuk! Terhegeh-hegeh!” Sengaja Nomi buat Adib marah. Dia ketawa di dalam hati.

“Kalau dah kunci, macam mana saya nak masuk? Otak mana otak?” Betul-betul naik angin Adib kini.

“Siapa suruh masuk ikut pintu? Saya buka tingkap, masuk ikut tingkaplah!” Nomi mempermain-mainkan Adib. Hatinya sudah terkekeh-kekeh mentertawakan lelaki ketam itu. Rasakan! Rasakan kau!

“Jangan sampai saya pecahkan pintu kereta awak ni. Buka cepat!” arah Adib dengan riak muka serius. Dia tak ada masa nak bergurau ketika ini. Dia sudah lambat nak pergi kerja.

Mendengar suara Adib yang agak meninggi itu, Nomi akhirnya membukakan kunci pintu. Seriau juga dia apabila Adib dilihat betul-betul marah.

Adib masuk ke dalam kereta dan menghempas pintu dengan kuat. Berdentum bunyinya.

“Ya ALLAH... jahanam pintu aku!” Nomi memandang Adib. “Hei, hei... ni kereta saya. Bukan kereta awak.” Nomi mengingatkan. Amboi... tahu marah dia je. Aku punya marah, kau belum kenal lagi.

“Jangan bisinglah! Saya dah lambat pergi kerja ni.”

Nomi tunjuk muka tak puas hati. Dia mula memandu keretanya. “Ni nak hantar ke mana ni?”

“Arah nak pergi Masjid Negeri.”

Wah, kerja kat situ ke? Ada riak malu pula dalam diri Nomi. Dia memandu sambil cuba menenangkan perasaan yang sungguh tak selesa. Janggal betul rasanya berada di dalam kereta dengan orang yang tak dikenali. Lama mereka membiarkan kesunyian beraja.

“Saya dah tunggu kat situ sebelum pukul 8.00 lagi. Awak yang lambat. So... salah awaklah! Bukan salah saya.” Nomi merasa perlu untuk membela diri. “Yang awak lambat kenapa?” soalnya apabila Adib diam saja.

Adib mengerling Nomi sekilas. Sibuk je nak tahu! “Saya tak lambatlah! Pukul 8.00 saya dah siap.”

“Habis tu, kenapa lambat jugak? Cubalah jadi manusia tu, jadi manusia yang menepati masa. Saya paling menyampah dengan orang yang tak ikut masa. Masa tu emas. Tahu? Emas!” Tak pasal-pasal Nomi ‘brainwash’ Adib pagi itu.

“Saya cari kunci motor. Satu rumah saya cari tak jumpa. Dah lama baru saya ingat.Motor saya sekarang kat workshop.” Adib melepaskan nafas panjang. Entah macam manalah, dia boleh tak ingat.

Nomi berdecis, mengejek sikap lalai Adib itu. Hal besar macam tu pun boleh lupa. Mengarut betul!


“LAA... awak ni kerja gomen?” Nomi ketawa. Dia sudah memberhentikan kereta berdekatan dengan pondok pengawal.

Adib yang baru saja nak membuka pintu, terhenti. Dia memandang Nomi. “Apasal gelak? Ingat kerja gomen ni ‘lauya’ sangat ke?”

“Alohh... orang tanya je pun. Itu pun nak marah.” Nomi mencebik.

“Nak tanya, tanya jelah. Tak payah gelak!” Adib terasa apabila mendengar suara ketawa Nomi. Ingat kerja kerajaan tak ada standard ke? Huh!

Eeii... sensitifnya lelaki ketam ni! Nomi menyampah pula kenal dengan lelaki perangai begini. “Saya gelak sebab tadi awak suruh saya pergi Masjid Negeri. Mati-mati saya ingat awak kerja kat masjid. Lain kali, cakap jelah yang awak kerja kat SUK ni. Apa daa...”

Adib malu sendiri. Salah sangka pula dia. “Petang ni pukul 5.30 ambil saya. Tunggu kat sini! Kalau tak datang, siap!” Dia siap tunjuk jari telunjuk depan Nomi.

“Tengoklah...” balas Nomi acuh tak acuh.

“Oh... nak tengok ya? Okey, kita sama-sama tengok kat Youtube.” Adib merujuk rakaman video kejadian semalam.

“Errghh... dia ni! Gurau sikit pun tak boleh! Dah, cepatlah keluar. Tadi sibuk kata lambat, lambat!” Nomi menjeling Adib menyampah.

Adib tersenyum. Seronok bila dapat buat Nomi rasa tertekan dan sakit hati. Berguna sungguh rakaman yang dia beli dengan harga RM100 itu.

Lantas, dia keluar dari situ. Setelah menutup pintu, dia melangkah. Langsung tak memandang Nomi.

Nomi memerhati Adib melangkah dengan hati yang membengkak. “Macam manalah aku boleh jumpa ketam gila ni? Malang betullah! Memang malang! Urghh!”


HARI ini, Nomi sampai di butik lebih awal. Sesudah mengemas, dia membuka komputer di meja kaunter. Disemak tempahan online. Urusan proses penghantaran melalui pos dikendalikan. Semuanya sudah disediakan Tiara. Dia tinggal membungkusnya saja.

Di dalam bilik kerja dia membuat pembungkusan. Sedang dia khusyuk membuat kerja, kedengaran pintu masuk butik dibuka. Tiara dah sampai!

“Weh! Awalnya kau sampai.” Tiara melangkah masuk dengan wajah ceria. Dia berdiri di hadapan Nomi. “Macam mana malam tadi? Syok tak?”

Nomi mengerling Tiara sekilas. “Syokkk... sangat!” perlinya sambil buat muka pura-pura bahagia.

“Hai... lain macam je kau ni.” Wajah Tiara jadi tak ceria. “Apa dah jadi, Nomi? Dia tak datang?”

Nomi berhenti membuat kerja. “Nasib aku ni malanglah, Ti. Sedih!”

“Apasal?” Muka Tiara tak puas hati kerana masih tak tahu kisah sebenar.

“Kau nak tahu siapa Mr. Krab tu?”

Tiara tercokoh menanti dengan mata bulat.

Nomi menghela nafas panjang. “Dia lelaki yang ketuk belakang kereta aku.”

Muka Tiara berkerut-kerut. “Yang ketuk kereta kau?”

“Alamak, kau ni! Hilang ingatan pulak. Ingat tak aku pernah cerita kat kau? Ada lelaki naik motor ketuk belakang kereta aku masa kat traffic light. Ingat tak?”

“Ohhh...” Baru Tiara ingat. “Laa... lelaki tu, Mr. Krab ke? Euww...” Dia sudah ada persepsi buruk tentang lelaki itu.

“Kau ‘euww’. Aku pulak rasa nak muntah hijau malam tadi. Aku tak tahulah apa nasib aku.”

“Apasal pulak?”

“Kalau aku cerita, mesti kau terkejut.”

“Kau tak cerita lagi aku dah terkejut, Nomi.”

Nomi ketawa. Muka Tiara serius selamba saja. Padahal, dia sedang bergurau tu. “Kau ni kan... aku baling dengan gunting ni baru kau tahu.”

“Ceritalah dulu. Lepas tu, kau nak baling gunting ke, nak kokah gunting ke... suka hati kau!” Tiara dah tak sabar-sabar nak tahu kisah Nomi. “Cerita cepat!”

Nomi tersenyum. Terhibur hatinya dengan jenaka Tiara itu. Lalu, dia menceritakan detik demi detik peristiwa yang terjadi malam tadi antara dia dan Adib. Sampailah peristiwa dia menghantar Adib ke tempat kerja pagi tadi.

Melopong Tiara mendengarnya.

“Aku sekarang ni dah terjerat sebenarnya, Ti. Dahlah dia tu penipu! Konon cakap duduk dengan family kat Damansara. Rupa-rupanya duduk apartmen kat Kota Kemuning. Dia kata, semua yang dia pernah beritahu kat aku, semuanya tipu! Kurang ajar betul! Matilah aku kenal dengan orang macam ni.” Nomi melepaskan nafas lemah.

“Entah-entah... dia tu jodoh kau, Mi.”

Terbeliak mata Nomi. “Hei! Choi!” Bukan main takut lagi dia kalau Adib itu jodohnya.

Tiara ketawa.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.