Home Novel Keluarga Awak Sudi Tak?
Awak Sudi Tak?
liza nur
21/6/2013 01:25:37
77,813
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 3

Bab 3


Singgahsana Latifa


Mak cik ingat mak cik tu cantik? Bagus? Mak cik sedar tak diri mak cik. Mak cik tu dahlah tak secantik mama saya, busuk hati pulak tu! Mak cik ingat papa sayang sangat kat mak cik. Tolonglah jangan perasan! Papa tu banyak lagi perempuan lain kat luar. Dia jenguk saya pun tiga bulan sekali,” marah Cahaya.

Mata Latifa direnungnya tajam. Mata yang menjengkelkan bagi Cahaya meskipun pada hakikatnya, Latifa memiliki sepasang mata bundar yang cukup indah. Dia menjeling lagi meskipun Latifa tersenyum manis. Tidak secuit pun hatinya bergetar untuk membalas senyuman ibu tirinya.

Cahaya masih diamuk marah. Biarkan Latifa terus tersenyum sendiri. Latifa tidak layak menerima senyumannya. Latifa tidak layak menerima layanan baiknya. Latifa tidak layak menjadi ibunya. Latifa tidak layak untuk segala-galanya. Segala perbuatan buruk Latifa akan terbongkar satu hari nanti.

Mak cik ni teruk. Jangan datang jumpa saya lagi. Hantar saya balik rumah mama kat PD. Saya tak nak tinggal dengan mak cik! Mak cik ingat saya takut dengan mak cik?! Hah, kalau berani pukullah lagi! Nanti saya lari balik Jepun, balik Kyushu, tinggal dengan datuk saya. Biar papa marah mak cik! Saya tak heran pun dengan rumah besar mak cik. Saya tak suka duduk sini!” tempelak Cahaya lagi.

Latifa masih diam, masih tersenyum padanya. Senyuman itu tak pernah lekang. Walaupun Cahaya mengecam. Walaupun Cahaya melenting.

“Aya, buat apa?” tegur suatu suara lembut.

Cahaya tidak menyahut. Dia masih sedang mengamuk, marah memandang Latifa yang seolah-olah tidak mempunyai perasaan, berhati batu.

Daun pintu biliknya ditolak perlahan-lahan.

Mak Yong Kamisah, pembantu rumah istana hinggap Fauzan melangkah masuk. Matanya membulat sekejap. Dia terperanjat melihat Cahaya sedang bergaduh dengan gambar Latifa yang dilekatkan pada dinding biliknya. Dalam gambar itu, Latifa duduk atas sebuah kerusi antik sambil tersenyum, ayu dalam baju kurung krim.

Saya tak suka mak cik! Tak suka! Tak suka! Tak suka! Hantar saya balik PD sekarang!” bebal Cahaya sambil merenung gambar bisu Latifa. Imej Latifa yang sedang tersenyum itu menaikkan lagi kemarahan Cahaya.

“Aya!” panggil Kamisah sambil duduk dan mengesot rapat dengan Cahaya. Kedua-dua belah tangannya berlabuh atas bahu Cahaya. Dagu Cahaya ditarik, memaksa Cahaya menghadapnya.

Wajah garang Cahaya bertukar riak ke sedih. Di kepalanya ada benjolan sebesar separuh telur puyuh dengan kesan luka yang sudah terkopak lapis kulit di tengah-tengah benjolnya. Di pipinya pula ada kesan seakan dicakar, kesan yang ditinggalkan kuku Latifa yang bersalut varnis ungu. Hidungnya yang kemerahan kembang kempis, cuba bernafas sambil menahan lelehan hingus. Matanya yang sepet bertambah sepet.

Air mata merembes keluar dari kolam mata Cahaya. Bibirnya yang berdarah dipinggir, dijuihkan ke depan, seakan anak kecil yang sedang disondol rajuk.

“Sakit?” soal Kamisah.

“Mana ada. Tak sakit pun. Aya cuma emo terlebih hari ni,” bohong Cahaya. Dia melabuhkan kepala atas riba Kamisah.

“Betul tau, Mak Yong! Aya tak ambik duit Mak cik Latifa. Aya guna duit yang Mak Yong bagi untuk beli bunga tu. Aya tak sentuh pun beg tangan mak cik. Aya tak curi duit mak cik. Aya tak buat, Mak Yong. Sumpah, Aya tak buat,” ulang Cahaya sambil tersedu dek kerana terlalu lama menangis tadi.

Cahaya teringatkan tuduhan Latifa setiba dia di rumah selepas membeli mawar kegemaran ibu tirinya itu pagi tadi. Jerkahan dan amukan Latifa masing terngiang-ngiang di telinganya yang tidak bertindik.

“Mak Yong tau Aya tak curi. Pak Asyim dah jumpa purse Puan Latifa dalam kereta. Puan Latifa sendiri yang tertinggal kat seat belakang kereta,” ucap Kamisah sambil membelai rambut Cahaya.

Kamisah masih ingat betapa teruk Latifa menyinga siang tadi. Dibalingnya pasu kayu di ruang tamu ke kepala Cahaya, kononnya mahu memaksa gadis itu memberitahu di mana dia menyembunyikan purse Latifa yang hilang. Tak cukup dengan itu, tubuh Cahaya ditolak ke dinding berkali-kali sambil dimaki hamun. Rambutnya dicekak beberapa kali sebelum pipinya pula yang menjadi jamuan tapak tangan Latifa.

Cahaya tidak diperlakukan seperti manusia, sebaliknya sebiji punch bag. Anak gadis arwah Masaki itu pula langsung tidak membalas. Dia hanya menangis, cuba meyakinkan Latifa yang dia tidak mengambilnya. Semakin banyak dia bercakap, semakin menggila Latifa. Sampaikan akhirnya Cahaya terdiam, mengerekot atas lantai kesakitan, barulah Latifa berhenti mengamuk.

Kamisah yang cuba menghalang semasa Latifa mengamuk siang tadi dijerkah. Kamisah ketakutan, berlari masuk ke dapur. Dia hanya mampu mengintai Cahaya yang menangis, mengesak kesakitan. Kamisah masih ingat pandangan Cahaya padanya. Pandangan yang menagih simpati. Sedangkan dia terlalu pengecut untuk menolong. Anak muda itu dibiarkan berjuang sendiri.

Mak Yong minta maaf,” ucap Kamisah.

Kenapa?” soal Cahaya.

Sebab tak dapat tolong Aya,” jawab Kamisah.

Cahaya tersenyum.

Tak sakit pun,” bohong Cahaya.

Air mata Kamisah menitis.

Kenapa Cahaya selalu bohong Mak Yong? Kalau Puan Latifa pukul, Cahaya selalu cakap tak sakit. Kenapa Cahaya tak beritahu papa?” ungkit Kamisah.

Beritahu papa? Untuk apa? Kalau papa peduli, papa takkan meninggalkan dia dibawah jagaan Latifa. Kalau papa peduli, papa takkan pulang tiga bulan sekali untuk melawatnya. Kalau papa peduli, papa sudah lama tahu perasaan yang bergelodak dalam hatinya. Tak perlu suara mengacum atau teriakan dan tangisan, kalau papa peduli, papa akan mengerti sendiri deritanya. Papa akan dapat membaca air mukanya. Tetapi, tidak! Papa tak pernah peduli.

Aya,” panggil Kamisah.

“Aya rindu mama. Aya…Aya nak balik PD. Aya tak mau duduk sini dengan Mak cik Latifa. Boleh tak Mak Yong hantar Aya balik PD? Aya tak kisah duduk sorang-sorang. Aya dah biasa dah, Mak Yong,” ucap Cahaya. Air matanya berjuntaian jatuh cepat-cepat dikesat dengan tapak tangan.

“Aya sayang, janganlah tinggal Mak Yong. Kalau Aya pergi, siapa nak temankan Mak Yong dan Pak Asyim. Aya duduk sini dengan kami ya. Kat PD nanti tak ada siapa jaga Aya. Minggu depan kan Aya dah nak ambik SPM,” pujuk Kamisah.

“Tak guna Aya ambil SPM. Mak cik Latifa cakap Aya tak boleh sambung belajar. Dia cakap lepas Aya habis SPM, Aya kena kerja kat ladang teh dengan pekerja-pekerja baru dia dari Vietnam. Dia cakap Aya kena keluar dari rumah ni, tinggal di rumah pekerja,” ucap Cahaya sambil menahan sebak.

“Aya, Puan Latifa cakap macam tu sebab dia tengah marah. Takkanlah dia tergamak nak buat macam tu pada Aya. Aya kan anak dia juga, sama macam Anees. Mesti dia sayangkan Aya,” pujuk Kamisah lagi.

Cahaya menggelengkan kepala.

“Mak cik akan buat. Dia selalu buat apa dia cakap, Mak Yong. Tak ada siapa boleh halang dia,” balas Cahaya.

Cahaya bangun semula. Dia duduk sekejap sebelum bangun menuju ke katil bujang kayu yang rangkanya berwarna putih. Di sana, dia membaringkan tubuhnya yang terasa sengal-sengal. Mungkin ada uratnya yang tergeliat semasa terjatuh akibat dek pukulan Latifa. Buku lalinya membengkak, menyukarkan dia untuk berjalan.

“Aya nak makan apa?” soal Kamisah.

“Aya tak nak makan. Aya mengantuk, nak tidur,” ucap Cahaya sambil memejamkan matanya meskipun perutnya sudah lama merintih minta diisi.

Cahaya tidak gamak menyusahkan Kamisah. Pasti Latifa akan menyinga lagi kalau dia mendapat tahu yang Kamisah memberikan Cahaya makanan. Arahannya sudah disuarakan jelas dan lantang siang tadi, Cahaya tidak dibenarkan makan untuk hari itu. Dia mahu Cahaya insaf atas dosa yang tak pernah dilakukannya.

“Tapi, Aya tak makan dari pagi…” balas Kamisah, diulit rasa bersalah. “Mak Yong ambikkan makanan ya. Puan Latifa dah tidur nyenyak kat bilik. Kalau kita tak buka mulut, dia takkan tahu,” pujuk Kamisah, seakan tahu Cahaya tidak mahu makan kerana takut dia dimarahi Latifa.

Cahaya menggelengkan kepala. Dia memaksa diri menguntum senyuman. The World’s Greatest Faker. Itu nama yang diselarnya untuk diri sendiri sejak kecil. Dia suka berpura-pura, memalsukan rasa yang sedang berjelaga dalam hatinya, menunjukkan air muka yang tenang meskipun peritnya masih terasa.

“Betul, Mak Yong. Aya tak lapar. Tapi, Aya mengantuk sangat sekarang ni. Aya nak tidur,” ulang Cahaya sambil menutup mata.

Air mata Kamisah merembes keluar. Kamisah menarik selimut, melitupi tubuh kurus Cahaya sampai ke bahu. Kemudian barulah dia bangun dan melangkah ke pintu. Lampu bilik tidur Cahaya yang berbentuk silinder panjang dimatikan. Dia menarik daun pintu semula, meninggalkan gadis muda yang disangkanya akan terus melelapkan mata.

Sebaik sahaja daun pintu ditarik, Cahaya terus bangun duduk. Selimut yang melitupi tubuhnya diselak, ditendang ke hujung katil. Dia duduk memeluk tubuh. Samar-samar cahaya lampu jalan menerangi biliknya. Air matanya menitis lagi. Dia menadah tangan, membaca Surah Al-Fatihah, satu-satunya ayat yang dihafalnya sewaktu di sekolah selain doa makan. Cahaya Iris tak pernah dihantar ke kelas mengaji mahupun fardhu ain.

Cahaya memasang niat di dalam hati untuk menyedekahkan surah yang dibacakan buat arwah mama. Dua kali dia membaca surah yang sama dan memasangkan niat yang sama. Kata ustazahnya di sekolah dulu, kalau kita mendoakan orang yang telah pergi, seksaan keatas mereka akan berkurangan.

Cahaya mahu arwah mama ditempat di kalangan orang-orang yang perlindungan ALLAH dalam segala bentuk seksaan. Dia mahu doa-doanya sampai kepada mama, mengiringi perjalanannya ke raudhah satu hari nanti.

“Ya Allah, ampunilah dosa-dosa ibuku. Tempatkanlah dia di kalangan orang-orang yang beriman,” pohon Cahaya.

Cahaya mengesot ke belakang, menyandarkan tubuhnya pada kepala katil.

Cinta seorang lelaki terlalu murah, sama macam cinta papa. Dia tak pernah peduli berapa banyak perempuan yang disakiti. Dia tak pernah ikhlas menerima dan memberi. Kesemuanya bersyarat. Aku takkan jatuh cinta. Aku takkan biarkan diri aku ditipu oleh seorang lelaki. Aku takkan jadi seperti mama, seperti Mak cik Latifa. Bisik hati Cahaya.

Cahaya teringatkan wajah pucat mama, tak mahu lagi berperang untuk meneruskan hidup. Dia tahu mama sudah hilang semangat. Cintanya dikhianati oleh seorang lelaki bergelar suami, lelaki yang sepatutnya melindunginya. Di saat nyawa mama berada di hujung tanduk, suaminya sibuk menemani isteri barunya, Pekan. Mama diperlakukan seumpama sehelai baju yang mudah diganti.

Latifa? Sangkanya cinta Fauzan takkan berubah lagi selepas menemui wanita cantik seperti dia. Tetapi, tidak! Setia tidak pernah ada dalam kamus hidup Fauzan. Dia tidak pernah puas dengan satu. Dia tidak pernah berhenti mencari yang lebih baik.

Kekadang Cahaya terfikir, sempurnakah Fauzan untuk mencari satu kesempurnaan? Apa erti kesempurnaan seorang wanita? Adakah ia terletak pada santunnya? Pada paras rupa yang cantik? Pada hati yang jernih?

Salahkah seorang lelaki menerima ketidaksempurnaan itu dengan lapang dada, membaikkan apa yang buruk, menjernihkan apa yang keruh? Salahkah seorang lelaki menyempurnakan apa yang cela?

Mengapa membiarkan yang kotor itu terus kotor dan bertambah kotor tanpa dibersihkan? Mengapa tidak dibimbing ke jalan yang sebaik-baiknya? Bukankah lelaki dianugerahkan sifat pembimbing, ketua keluarga?

Cahaya tidak mengerti. Dia keliru dengan kemahuan kaum Adam di sekelilingnya yang seakan tidak punya batasan. Lalu, dia menolak tiap cinta yang mahu menyinar masuk ke dalam hidupnya. Bukan kerana usia mudanya tetapi kerana dia tidak percaya pada cinta seorang lelaki. Dia tak mahu kecewa seperti mama. Dia tak mahu menjadi pesakit mental seperti Latifa. Dia mahu kehidupan yang lebih bermakna.

“Love is pain, sweetheart. But, never doubt that God will always give us the best. I know no matter how difficult the situation might be, you’ll survive it. In the end, you will find someone that worth the pain.”

Kata-kata itu pernah meniti di bibir mama suatu ketika dulu. Kata-kata yang Cahaya bidas. Cinta sesuatu yang terlalu rapuh untuk disemai, dibaja dan dijaga sepenuh jiwanya. Dia tahu hasilnya nanti akan musnah sebelum sempat dituai.

Kerna papa, hatinya menjadi sekeras batu. Jiwanya bagaikan kerikil. Dia sedikit pun tidak menangis sewaktu menonton filem Titanic bersama arwah mama dulu. Mama menangis sendirian. Cahaya tidak pernah percaya pada epik Uda dan Dara, Romeo dan Juliet atapun kisah-kisah yang sewaktu dengannya. Cerita-cerita itu hanya rekaan. Cinta sejati tidak pernah ada.

“Aku benci lelaki!” ucapnya. “Aku takkan berikan cintaku kepada mana-mana lelaki. Aku takkan percayakan mereka.”

* * * * * *

Latifa

Ya, memang aku seorang pendendam. Ya, memang aku seorang pembenci. Salahkah aku membenci dia? Dia bukan anakku. Dia anak perempuan perampas. Aku yang dulu memiliki cinta Fauzan! Aku yang dulu menjadi tunangannya! Tetapi, Fauzan jatuh cinta lagi. Dia tidak mahu kehilangan perempuan bermata sepet itu. Sampaikan aku ditinggalkan, dilupakan meskipun aku yang sebenarnya bergelar tunangnya.

Menatap wajah Cahaya Iris adalah satu sumpahan. Dia seiras ibunya, Masaki. Senyumnya dan tawanya mengingatkan aku pada perampas itu. Aku benci padanya! Aku benci menatapnya! Aku mahu dia enyah dari pandanganku. Kenapa tergamak Fauzan menyuruh aku menjaganya, melayaninya bagaikan anakku sendiri? Lelaki itu sudah gila! Permintaannya tak masuk dek akal.

“Ma!” panggil Anees. Dia menolak daun pintu ibunya, berlari masuk ke dalam tanpa mendapat keizinan.

“Ada apa, Nees?” soal Latifa.

“Mama sengaja tinggalkan purse tu dalam kereta kan?” soal Anees.

Latifa terdiam.

“Anees tau mama nampak purse tu. Mama sengaja tinggalkan dalam kereta kan? Mama sengaja nak marah Aya,” luah Anees, duduk menyilangkan kaki di atas bangku meja solek ibunya sambil menggilap kuku. Sebelah telinganya masih terpasang earphone yang disambungkan pada iPod Touch.

“Anees nak apa?” soal Latifa.

“Anees nak ke Singapore tahun baru nanti, dengan kawan-kawan Anees. Anees nak pakai kereta,” jawab Anees dalam nada selamba, tidak ada sekelumit bimbang kalau-kalau kemahuannya ditolak. Dia tahu mamanya tidak boleh menolak.

“Anees tu tahun depan nak SPM. Cuba belajar! Jangan asyik nak main. Mama dah banyak sangat bagi Anees kebebasan. Anees jangan nak ambik kesempatan. Jangan cuba nak pijak kepala mama! Jangan sampai anak perempuan bangsat tu dapat keputusan yang lebih baik dari Anees,” ujar Latifa.

Masuk telinga kanan, keluar semula dari telinga kiri. Anees tidak peduli, tidak kisah dengan amarah ibunya. Dia tahu lambat-laun Latifa akan tunduk jua pada kemahuannya. Banyak rahsia Latifa ada dalam genggaman tangannya.

“Mama nak bagi ke tidak?” soal Anees sebelum mengetap bibirnya, menahan rasa geram kerana kemahuannya tidak dituruti.

“No,” jawab Latifa.

Anees tersenyum. Dia ada seribu satu cara untuk menggesa Latifa. Segala rahsia Latifa ada di dalam genggamannya.

“Apa kata mama fikir masak-masak dulu. Jangan terburu-buru buat keputusan. Lepas mama dah habis fikir nanti jangan lupa beritahu Anees jawapan mama ya,” balas Anees, dalam nada sinis.

Anees menyusun langkah ke pintu. Langkahnya termati betul-betul di depan pintu. Dia berpusing balik, menghadap mamanya.

Mama tau Anees tak suka Cahaya Iris. Anees benci pandang muka dia. Tapi, apa mama buat tu kejam jugaklah. Kalau Anees tersalah cakap pada papa...Mama tau kan apa papa akan buat...” luah Anees sambil senyum sinis.

“Fine, Anees boleh pergi. Boleh pakai kereta,” luah Latifa, memberi kebenaran. Dia takut kalau kisah itu sampai ke telinga suaminya. Dia tahu Fauzan akan berang.

Meskipun Fauzan sudah berjanji pada ibunya yang dia tidak akan menceraikan Latifa, tetapi dia kerap bertengkar dengan isteri keduanya itu. Kemahuan Latifa tak pernah dituruti. Satu-satunya sebab kenapa Fauzan masih pulang melawat Latifa adalah kerana Cahaya Iris tinggal bersamanya.

Wajah Anees bertukar girang. Dia langsung tidak peduli dengan pedih yang tidak tertahan dalam bengkung dada ibunya.

“I love you, mama. Kalau mama izinkan dari awal kan senang,” ucapnya sebelum melangkah keluar.

Latifa merengus geram.

Anees anaknya sendiri, anak yang dikandungnya sembilan bulan. Anak yang selama ini ditatang bagaikan minyak penuh. Anak yang dari darah dagingnya sendiri. Latifa tidak menyangka Anees tergamak mengugutnya, mempergunakannya untuk mendapatkan sesuatu. Lupakah Anees yang Latifa ibunya?











Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.