Bab 11

AISYAH membuka pintu bilik stor. Dia mengangkat sebuah kotak untuk diletakkan di dalam stor. Tiba-tiba...

Buk!

Aisyah menuunduk untuk mengutip barang-barang yang terkeluar daripada kotak yang terjatuh itu.

"Pistol air?" Aisyah mengambil pistol air tersebut lalu dibelek-belek. Dipusing-pusing benda yang dipegangnya.

"Cantik. Ni mesti akhi punya time dia kecik-kecik dulu," ujar Aisyah sambil tersenyum-senyum.

Dia cuba membayangkan wajah suaminya ketika suaminya itu masih kecil, sambil bermain pistol air.

"Mesti akhi cute time tu, kan?" soal Aisyah sendirian. Sesekali tawa kecil terkeluar di bibirnya.

Sedar tidak sedar, sudah hampir dua minggu dia bergelar isteri kepada Syed Muhammad Saiful Islam bin Tan Sri Syed Ahmad Abbas. Hubungan mereka semakin lama semakin rapat, dan semakin erat. Penuh usikan dan gelak tawa yang membawa erti 'mereka sedang berbahagia'.

Dalam diam, tanpa pengetahuan umi dan walid mereka, mereka sudah seperti pasangan kekasih yang hangat bercinta. Ada masa, mereka akan keluar berjalan berdua, menonton wayang ataupun makan di luar.

Mengenai Adawiyah pula sejak sekolah sudah habis cuti sekolah, suaminya tidak pula pergi berjumpa atau melawat adik seibunya itu. Kalau pergi sekalipun, pasti dirinya akan dibawa bersama.

Mata Aisyah melekat pada satu album lama yang terbuka. Barangkali album tersebut antara barang yang ada di dalam kotak, yang secara tidak sengaja terjatuh sebentar tadi.

Album tersebut diambil.

"Tak salah untuk aku tengok, kan? Aku cuma nak tengok je."

Pada helaian pertama album itu, ada wajah Tan Sri Abbas dan Datin Amira semasa mereka muda dan masih lagi pasangan suami isteri. Masing-masing, memegang seorang bayi.

Dahi Aisyah berkerut seketika. "Akhi... anak tunggal, kan? Tapi... kenapa ada dua baby pulak ni? Kembar akhi ke baby satu lagi ni? Akhi... ada kembar?" soal Aisyah sendirian.

Kemudian dia melihat pistol air yang dipegangnya sebentar tadi. Matanya meliar melihat barangan yang ada di dalam kotak itu.

"Ada dua set mainan?"

'Kenapa kebanyakkan barang dalam stor ni ada dua set? Macam untuk dua orang pulak. Hm...' hati kecil Aisyah berbisik.

*****

SAIFUL mengelap pipi dan telinga kirinya yang secara tiba-tiba itu terkena air. 'Mana datang pulak air ni?' soal Saiful sendirian. Dahinya berkerut tatkala dia menangkap suara orang ketawa.

Saiful memusingkan kepalanya ke kiri dan ke kanan. Dia melihat Aisyah menutup mulut menahan ketawa berdekatan dengannya. Matanya merenung tajam ke arah isterinya yang sedang seronok mengetawakannya.

"Sya! Main-main ye. Nak kena ni," ujar Saiful sambil bangun dan menghampiri Aisyah.

Aisyah berlari menyelamatkan diri tatkala suaminya itu mula mengejarnya. "Kalau akhi kejar, Sya tembak akhi dengan pistol air ni," ugut Aisyah sambil menghalakan pistol air ke arah suaminya.

Terkejut Saiful melihat pistol air tersebut. Pistol air miliknya tatkala dirinya masih kecil.

"Mana Sya dapat?"

"Dalam stor."

Saiful mengukir senyuman manis. Entah kenapa dia terasa seperti dia melihat arwah kembarnya di depan matanya pula ketika ini.

Lantas dia terus mengejar isterinya itu meskipun isterinya itu menembaknya dengan pistol air itu.

"Sya!" jerit Saiful. Rimas pula dirasakan oleh Saiful apabila Aisyah terus-terusan menembaknya dengan pistol air itu tanpa henti.

"Sya dah cakap, kan... Akhi kejar Sya, Sya tembak akhi."

"And I will catch you, Aisyah."

Aisyah berlari sehingga ke ruang tamu.

"Astagfirullahhala'zim! Sya! Saiful!" jerit satu suara.

Saiful pantas memberhentikan langkahnya daripada terus mengejar isterinya.

Langkah Aisyah turut sama terhenti apabila umi mereka secara tiba-tiba muncul di ruang tamu sambil merenung tajam ke arah mereka berdua. Pistol air di tangannya disorok di belakang badannya.

"Apa kamu berdua buat ni? Habis basah lantai rumah ni kamu berdua kerjakan," soal Puan Sri Munirah sambil menggelengkan kepalanya.

"Main umi," jawab Saiful sambil tersengih.

"Main?! Hish! Tak padan dengan umur. Seorang umur dah 25, yang seorang lagi dah 17 tahun. Dah kahwin dah pun dua-dua anak umi ni, tapi perangai macam budak-budak," marah Puan Sri Munirah.

Geram betul dia melihat telatah anak-anaknya ini. Tidak padan dengan usia mereka yang menganjak dewasa, tapi masih lagi mahu bermain pistol air seperti budak-budak. Yang paling dia tidak gemar, mereka bermain dalam rumah sehingga habis basah lantai.

Aisyah hanya mengertap bibirnya. Dia memandang suaminya. "Akhi la ni, umi."

"Akhi pulak. Sya yang tembak akhi guna pistol air tu, akhi pulak yang salah?" balas Saiful.

"Akhi yang kejar Sya. Sya dah bagi amaran awal-awal kan."

"Ewah, ewah..."

"Dah! Sudah! Kamu berdua... Lap lantai ni!" arah Puan Sri Munirah sebelum dia melangkah naik ke tingkat atas.

Saiful dan Aisyah mengangguk. Mata mereka bertatapan sekali lagi.

Aisyah mengukir senyuman nakal. Ditembak suaminya itu untuk sekian kalinya.

Saiful sudah mengigit hujung bibirnya. Kemudian satu senyuman terukir di bibirnya sambil kepalanya digelengkan beberapa kali. "Berani ye buat ustaz awak macam ni sampai dia kena hukum lap lantai. Awak akan dihukum nanti atas kesalahan ini ye."

Aisyah menjulurkan lidahnya. "Tak kisah pun."

"Betul? Tak takut?" soal Saiful. Keningnya sudah dijongketkan ke atas.

"Tak takut pun..."

Saiful mengangguk. "Baik. Hukumannya... malam ni Sya kena tidur bilik akhi dan jadi 'isteri' akhi."

Bulat mata Aisyah mendengarnya. Pistol air di tangan terjatuh ke lantai. Diteguk air liurnya beberapa kali. 'Tak... kan lah...'

"Once Sya dah masuk bilik akhi, tak boleh keluar dah tau. Macam mana?"

Aisyah hanya diam tidak terkuit.

Melihat reaksi Aisyah seperti itu, Saiful ketawa sambil menggelengkan kepalanya. Langkah kaki diatur ke dapur untuk mengambil mop.

Aisyah hanya terpinga-pinga. Melihat suaminya ketawa, baru dia tersedar sesuatu. "Akhi!"

Kuat ketawa Saiful kedengaran di muka pintu dapur.

"Akhi ni jahat la. Suka buat Sya lemah jantung tau. Bencilah macam ni. Akhi lap lantai ni sorang-sorang. Merajuk!" Aisyah mengatur langkah naik ke tingkat atas.

Saiful menekan perutnya. Geli hati dia melihat wajah Aisyah ketika dia menutur ayat supaya Aisyah menjadi isterinya. Walhal, dia hanya bergurau. Tiada niat lain.

"Main-main lagi. Sya belum kenal siapa akhi ni tau," ujar Saiful sendirian. "Rasakan!"

*****

SAIFUL mengukir senyuman melihat Aisyah sedang membaca novel di meja belajarnya. Kepalanya digeleng perlahan melihat apa yang dilakukan oleh isterinya itu. "Patutnya belajar, ni... belajar novel je kerjanya. Haih... Yang peliknya macam manalah Sya ni boleh jadi antara pelajar cemerlang sekolah ye? Ada masa je, baca novel. Jarang nampak dia belajar," rungut Saiful. Langkah kaki diatur mendekati Aisyah.

"Akhi!" Aisyah mengembungkan kedua pipinya dengan angin bila Saiful merampas novel yang sedang dibacanya. Sudah la dia sedang baca pada bahagian novel yang ada konflik. Habis feeling dia membaca novel hilang kerana perbuatan si suami.

"Apa? Orang ingat dia belajar apalah khusyuk sangat. Rupanya belajar novel. Masuk SPM ke novel ni, sayang?" soal Saiful.

Aisyah memalingkan wajahnya ke arah lain. "Nak enjoy sikit pun tak boleh," Aisyah membebel sendirian.

Saiful membelai rambut Aisyah setelah dia meletakkan novel yang diambil dari tangan Aisyah, ke atas meja.

"Sayang..." panggil Saiful dengan nada lembut. Kepala lutut diletakkan di atas lantai.

Aisyah hanya diam.

"Merajuk lah tu, bila akhi ambil novel dia tadi."

Aisyah memeluk tubuh. 'Mestilah! Orang tengah seronok baca. Lepas tu dia suka hati je rampas. Tak sempat nak tanda part mana dah baca.'

Saiful tersenyum manis. "Sya sayang..."

Aisyah hanya buat endah tak endah.

"Tak baik tahu apabila suami panggil, Sya tak menyahut," nasihat Saiful.

Aisyah memandang wajah suaminya yang berada di sebelahnya.

"Macam tu la. Senyum sikit," pinta Saiful.

Aisyah terus menarik senyuman plastik.

Saiful ketawa kecil.

Melihat Saiful ketawa, automatik Aisyah mengukir senyuman manis.

"Dah, jangan merajuk lagi ye? Ambil ni." Saiful menghulurkan satu papan coklat berjenama Hershey's.

Bulat mata Aisyah melihat papan coklat yang dihulurkan itu. Siap ada reben kecil lagi.

"Tak nak ke? Ni kan coklat kegemaran Sya."

"Mana akhi tahu ni coklat kegemaran Sya?" soal Aisyah.

"Tahu la. Sesiapa yang selalu ikut Sya keluar, mudah je untuknya agak ni coklat kegemaran Sya," jawab Saiful. "Ambillah."

Aisyah mengambil coklat tersebut. "Nak makan, boleh?"

Saiful mengangguk.

Aisyah membuka plastik yang membalut coklat tersebut. Kemudian dia menyua coklat tersebut ke mulut suaminya. Sambil tersenyum, Aisyah bersuara, "orang cakap, berkat kalau suami makan dulu."

Saiful membaca basmallah dan digigit hujung coklat tersebut.

"Sedap tak, akhi?" soal Aisyah sambil mengigit bahagian coklat yang digigit oleh Saiful sebentar tadi.

"Sedap. Jazakillah, sayang."

Aisyah mengangguk laju.

"Kenapa Sya gigit coklat pada bahagian akhi gigit? Tak geli?"

Aisyah menggeleng. Digigit lagi coklat di tangannya.

"Sebab?"

Aisyah menelan sisa baki coklat yang ada di dalam mulutnya sebelum menjawab soalan si suami. "Sebab Rasulullah SAW suka minum air di tempat bibir isterinya. Sweet sangat tau. Tapi sebab kita tengah makan coklat, kita gigit dekat bahagian pasangan kita gigit la."

Makin lebar senyuman si suami. "Sya tahu tak kenapa coklat ni boleh jadi sedap?"

"Sebab cara buatannya la."

Saiful menggelengkan kepalanya. "Coklat ni jadi sedap, bila Sya senyum kat akhi."

Aisyah sudah tersipu malu mendengarnya.

Saiful mengusap pipi Aisyah. "Sya..."

"Hm."

"Kenapa suka sangat dengan coklat putih?"

"Sya suka sebab... warnanya putih. Putih kan warna kegemaran akhi."

Saiful mengecilkan matanya. "Sya pun suka warna putih kan? Bukan akhi je."

Aisyah tersenyum. Dia suka tentang itu, berkongsi warna kegemaran yang sama dengan suaminya.

"Cakap la, kenapa suka coklat putih?"

Aisyah mengherotkan bibirnya. "Bila kita makan coklat ni, kita rasa manis kan?"

Saiful mengangguk.

"Sya nak hidup Sya jadi semanis coklat, sebab tu Sya suka coklat putih."

"Kenapa tak coklat yang warnanya coklat?"

"Sebab Sya selalu ragu dengan tahap kebersihan coklat yang warnanya coklat. Takut kalau dah kotor atau dicemari semasa proses pembuatannya. Tapi kalau coklat putih, susah nak ragu. Sebab warna pun dah putih, boleh nampak kalau dah tak elok."

"Tapi... coklat putih yang boleh buat orang jadi... um..." Saiful menggembungkan kedua pipinya dengan angin.

Aisyah memukul lembut bahu suaminya. "Akhi nak cakap Sya gemuk ke?! Dah tak sayang la kalau dapat isteri gemuk? Macam tu ke?"

Saiful menggelengkan kepalanya. "Tak. Sya tak gemuk. Akhi cakap je yang coklat putih ni boleh buat orang jadi macam tu."

"Sya selalu bersenam tau."

"Tahu."

"Akhi ni, jahat la." Aisyah meletakkan papan coklat ke atas meja.

"La, janganlah merajuk sayang."

"Akhi nak tinggalkan Sya ke kalau Sya gemuk?" soal Aisyah sambil memandang anak mata suaminya.

Saiful menggelengkan kepalanya. "Pada mata akhi, Sya dah cukup cantik. Itu lebih pentingkan?"

Aisyah mengangguk.

"Tatkala badan Aisyah ra semakin berisi, Rasulullah SAW tak tinggalkan isterinya, kan?"

"Ha'ah la. Rasulullah SAW tu sayanggg sangattt dengan isteri-isterinya. Untungnya mereka, akhi. Disayangi, dincintai dan menjadi pendamping seorang nabi yang merupakan kekasih Allah. Masya-Allah, akhi... bestnya."

"So, Sya tak yah la nak merajuk. Akhi sayang Sya bukan kerana rupa. Macam Rasulullah SAW yang tetap sayangkan isteri-isterinya walau apa pun yang terjadi. Walau akhi tahu sayang akhi untuk Sya tak sebesar Rasulullah SAW sayangkan umatnya. Tapi key point dekat sini, akhi sayangkan Sya bukan kerana rupa atau bentuk tubuh badan Sya."

"Betul?"

"Ye, sayang. Akhi sayang Sya kerana Allah."

Aisyah sudah tersenyum semula.

Saiful mengambil coklat di atas meja dan diberikan semula kepada Aisyah. "Sya makan ye, akhi nak mandi jap. Badan akhi dah melekit ni."

Aisyah mengangguk. "Okey."

Saiful mengucup ubun-ubun Aisyah.

"Akhi," panggil Aisyah saat langkah Saiful makin menghampiri pintu biliknya.

"Ye." Si suami menoleh.

"Sya sayang akhi kerana Allah jugak. Jazakallah for the coklat and stay by my side as my brother, my friend, my imam and my ustaz."

Saiful tersenyum manis.

"Nanti kita sembang ye dalam bilik akhi, boleh? Sya ada benda nak tanya akhi ni."

Saiful mengangguk. "Boleh, tapi dengan satu syarat."

"Sikit-sikit syarat, sikit-sikit syarat je. Hm... apa dia?"

"Sya kena habis ulangkaji dulu. Bukan ulangkaji novel ye."

Aisyah mengangguk. Ibu jari kanannya disambungkan dengan jari telunjuk kanannnya, dibulatkan untuk memberi isyarat tanda 'okey'.

"Good girl," ujar Saiful sebelum menghilangkan diri di balik pintu.

Aisyah mengukir senyuman manis. Dipandang coklat yang diberi oleh suami tadi.

'Terima kasih, Ya Allah kerana hadirkan dirinya untukku. Aku bahagia dan gembira bersamanya. Jangan kau pisahkan kami. Aku tak mahu berpisah apatah lagi kehilangannya. Aku sayang sangat kepadanya,' ujar hati kecil Aisyah.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh