Home Novel Cinta CINTA PANDANG KE-2
CINTA PANDANG KE-2
Laila Kamilia
23/8/2014 18:52:04
45,452
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 2

Universiti Teknik Malaysia,

Kampus Kejuruteraan, Pulau Pinang

2

Siti Nurbaya sabar menunggu Ainnur turun ke lantai bawah lalu segera mendapatkannya. Melihat Siti Nurbaya menunggunya di tangga, Ainnur tahu pasti ada pesanan lain yang hendak disampaikannya secara peribadi. Tentu dia tidak mahu menjerit seperti tadi hingga satu blok asrama ini dapat mendengarnya.

“Siapa?” Terus Ainnur bertanya kepada Siti Nurbaya tetapi gadis itu tersenyum sahaja seolah-olah menyembunyikan sesuatu.

“Baik Kak Nur jenguk sendiri kat tempat letak kereta. Saya rasa macam pernah jumpa dia tapi tak ingat di mana.”

Dahi Ainnur berkerut mendengarkan kata-kata Siti Nurbaya. Kenapa tetamu itu tidak menunggunya di kafetaria sahaja? Di kepalanya sudah terbayang orang jauh yang mungkin hendak bertemu dengannya kerana kebiasaannya hanya pelawat luar sahaja yang biasa menunggu pelajar di situ. Kalau mahasiswa di sini tentu menunggunya di Kafetaria sahaja.

“Jangan risau kak, wajahnya macam orang baik-baik saja. Baik akak pergi segera sebelum tengah malam ini. Rasanya macam ada perkara penting saja. Saya lihat tadi dia bawa fail.” Siti Nurbaya teringatkan lelaki yang menggamitnya tadi semasa dia mahu pulang dari perpustakaan dengan teman-teman. Dia cuba mengingati wajah lelaki itu yang seperti pernah dilihatnya tetapi memorinya memang tidak boleh diharapkan waktu itu. Mungkin sudah tepu dengan macam-macam maklumat hasil telaahnya dari pagi tadi.

“Kalau macam itu akak pergi dulu. Terima kasih ya.” Ainnur tersenyum sambil menepuk mesra bahu gadis manis itu. Sudah banyak maklumat yang disampaikan gadis itu kepadanya. Dia berlalu setelah Siti Nurbaya menonong masuk ke dalam biliknya.

Lelaki itu duduk di dalam kereta menantikan Ainnur turun. Dia memandang jam di tangannya. Lagi sepuluh minit tepat jam 12 malam. Di kepalanya memikirkan pelbagai kemungkinan Ainnur turun lambat. Sepatutnya dia menelefon atau menghantar SMS sahaja kepada Ainnur tetapi malam itu dia bercadang hendak membuat kejutan kepada gadis itu.

Hatinya yakin, gadis baik macam Ainnur pasti tidak akan merayau-rayau lewat malam begitu. Bukan sehari dua dia mengenali gadis itu. Sudah lama dia memerhatikan Ainnur. Dari risikannya, gadis itu memang tidak pernah punya teman istimewa. Pergaulannya dengan lelaki berlainan jenis sangat terbatas. Jika ke mana-mana, Rafiza yang menjadi peneman setia. Jadi tidak mungkin gadis itu keluar berfoya-foya pada malam itu. Begitulah telahannya kepada gadis yang telah berjaya membuatkan dia jatuh cinta buat kali yang kedua. Gadis itu begitu istimewa di hatinya. Cuma gadis itu yang belum diberitahu isi hatinya.

Dadanya berdebar-debar menantikan kehadiran si gadis. Dia mengetuk-ngetuk stereng keretanya sambil mendengar lagu-lagu yang berkumandang di radio untuk menutup rasa resah yang melanda hatinya. Dia tenggelam dalam melodi indah sambil melayan memori yang pernah terlakar antaranya dengan gadis itu.

Hari sudah larut dan langit gelap memberi petanda hujan akan turun. Kepalanya tertoleh-toleh ke kiri dan ke kanan, ke depan dan ke belakang. Ainnur tercari-cari kelibat lelaki yang ingin menemuinya malam itu namun tiada tanda-tanda kehadiran lelaki itu di mana-mana. Puas dia memerhatikan kawasan letak kereta yang lengang itu. Mujur saja kawasan letak kereta itu terang-benderang disuluhi lampu jalan.

Dia merenung jam di tangan. Sudah 5 minit dia mencari dan menunggu kelibat tetamu yang ingin menemuinya lewat malam itu. Dia sudah berkira-kira untuk pulang semula ke asrama bila tiba-tiba terdengar sayup-sayup namanya dipanggil.

“Azleen!”

Ainnur mencari arah suara dari sebalik deretan kereta yang dipakir yang berada kira-kira 5 meter dari tempatnya berdiri. Dia mengecilkan kelopak matanya melihat susuk tubuh seorang lelaki yang memakai baju T hitam yang baru keluar dari kereta kancil berwarna putih. Dia sedang memberi fokus pada lelaki itu bila sekali lagi lelaki itu memanggil namanya. Di kepalanya hanya ada seorang saja yang akan memanggilnya dengan nama itu tetapi dia tidak yakin dengan telinganya. Dia bimbang itu hanyalah ilusi di kepalanya.

“Leen! Sini! Sayalah!”

Lelaki itu melambaikan tangan kepadanya untuk menarik perhatiannya tetapi Ainnur masih tercegat di tempatnya berdiri sambil menggigil kesejukan. Angin bertiup agak kencang malam itu. Kilat sudah sabung-menyabung di langit. Tidak lama kemudian, dia mendongak ke atas bila tiba-tiba dia mula merasakan ada air yang sudah menitik setitis dua ke wajahnya. Hujan sudah mulai turun renyai-renyai.

Perhatian Ainnur kemudian teralih ke arah lelaki yang memanggil namanya tadi yang tiba-tiba berlari kembali ke arah keretanya. Lelaki itu kemudian mengeluarkan sekaki payung dari bonet keretanya. Dia berlari mendapatkan Ainnur semula yang sudahpun dibasahi air hujan. Sebaik lelaki itu memayunginya, Ainnur dilanda rasa terkejut yang bukan kepalang. Dia baru dapat mengecam lelaki yang memanggilnya tadi.

“Dr. Redza? Dr. buat apa kat sini malam-malam buta ni?” Ainnur bertanya dengan rasa hairan yang bukannya dibuat-buat. Dia tidak menyangka lelaki yang santai dengan T Shirt itu adalah pensyarahnya. Dia juga tidak menduga yang Dr. Ahmad Redza akan menaiki kereta kancil berwarna putih kerana setahunya lelaki itu memandu kereta Mercedez Benz semasa di kampus. Dia langsung tidak terfikir yang tetamunya malam itu adalah pensyarahnya Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Redza b. Muhammad!

“Mari ke kereta saya!” Dr. Ahmad Redza tidak menjawab tetapi dia mula menggerakkan tubuhnya ke arah keretanya. Disebabkan dia yang memegang payung, hendak tak hendak, Ainnur terpaksa mengikutnya langkahnya.

“Saya nak bagi fail ini pada awak. Nak pastikan yang awak datang ke Kem Ukur esok. Kalau tidak, saya memang tiada pembantu.” Dr. Ahmad Redza menjelaskan sambil menghulurkan fail berisi maklumat penting tentang Kem Ukur yang menjadi amanahnya oleh fakulti tahun ini. Cepat-cepat dia menutup kembali pintu kereta hadapan bagi mengelakkan tempias air hujan membasahi kusyen keretanya.

“Esok saja Dr. boleh bagi, tak perlulah susah-susah mencari saya sampai ke sini. Lagipun saya kan dah janji dengan Dr.” Ainnur memberitahu sambil tersenyum.

Hujan turun semakin lebat. Spontan Ainnur mendekatkan tubuhnya pada pusat payung untuk mengelakkan diri dari dibasahi air hujan. Bahunya tersentuh bahu Dr. Ahmad Redza. Wajahnya menjadi merah tiba-tiba. Menyedari dia telah tersalah tingkah, Ainnur kembali menjarakkan dirinya. Bahunya kembali lencun dibasahi air hujan. Payung yang kecil begitu memang tidak dapat memuatkan dua orang sekaligus.

“Saya baru balik kampung. Ini ada buah durian nak bagi awak.” Bagaikan mahu membetulkan suasana yang tiba-tiba jadi kekok itu, Dr. Ahmad Redza berkata. Sebiji buah durian dihulurkan kepada Ainnur. Semerta bau durian yang enak semarak di udara. Perut yang sudah kenyang menjadi lapar tiba-tiba.

Dr. Ahmad Redza menekan bonet kereta yang tadinya terbuka. Dia mengundur setapak ke belakang untuk menjarakkan dirinya dari Ainnur, memberi peluang kepada Ainnur supaya mendekat ke arah pusat lindungan payung. Dia tidak mahu pembantunya itu nanti demam di Kem Ukur itu. Sekejap sahaja bahunya turut lencun menahan air hujan yang menimpa tanpa rasa belas kasihan.

“Susah-susah saja Dr. datang hantar buah ni.” Ainnur menggeleng kepala. Hanya kerana buah durian, lelaki itu terpaksa meredah hujan.

Kilat tiba-tiba menyabung di udara. Ainnur terkejut lalu tubuhnya bergerak lagi mendekati Dr. Ahmad Redza. Mujur tadi lelaki itu sudah menjarakkan kedudukan antara mereka.

“Apa awak cakap?” Dr. Ahmad Redza bertanya kembali. Kata-kata Ainnur tadi ditelan bunyi kilat yang menandakan hujan tidak akan berhenti dalam tempoh terdekat ini.

“Susah-susah hantar durian untuk saya.” Ainnur mengulangi kata-katanya dengan agak kuat, cuba melawan deru air hujan yang semakin lebat.

“Saya dah susahkan awak dengan meminta awak jadi pembantu saya. Itu buah durian terbaik dari kampung mak saya. Makanlah. Saya nak balik dulu. Hujan semakin lebat ni. Awakpun dah lenjun. Risau saya kalau awak demam nanti.” Dr. Ahmad Redza sudah mahu masuk ke kereta. Ainnur mengepit fail di ketiaknya lalu mengambil payung yang dihulur Dr. Ahmad Redza kepadanya.

“Payung ni?” Ainnur bertanya tetapi di balas gelengan oleh lelaki yang sudah masuk ke dalam kereta itu.

“Bawaklah... nanti awak demam,” katanya sebelum menarik pintu kereta. Sebuah senyuman terukir di bibirnya. Misinya bertemu gadis itu sudah tercapai. Ianya bukanlah penting sangat untuk fail itu tiba di tangan Ainnur malam itu. Buah durian itu juga hanya alasan saja. Melihat wajah manis milik gadis bernama Ainnur Azleen itu hatinya yang diruntun rindu menjadi lega tiba-tiba.

Dia tidak sabar menanti hari esok supaya dia boleh mengulangi saat-saat indah seperti tadi. Berada berdekatan dengan gadis itu membuatkan dirinya bagai akan hidup seribu tahun lagi. Gelora asmara yang dipendamnya itu sudah tidak dapat dibendungnya lagi. Dia sengaja mengajak Ainnur ke Kem Ukur itu supaya dia berpeluang mendekati gadis itu. Dia berdebar-debar mengingatkan apa yang sedang direncananya istimewa untuk gadis itu. Jika rancangannya berjaya, dia akan memujuk Ainnur untuk mengahwininya. Tinggi sungguh angan-angannya. Dia bagai yakin dirinya tidak bertepuk sebelah tangan.

Ainnur melambai kepada Dr. Ahmad Redza semasa lelaki itu memandu meninggalkannya. Dia tidak menafikan yang hatinya memang sudah jatuh cinta pada pensyarah yang umurnya sebaya ibunya itu. Debar di hatinya semasa berdekatan dengan lelaki itu telah mengesahkannya. Dia tidak dapat berselindung lagi rahsia di hatinya walau seribu kali dia cuba menafikannya.

Ketika itu di hatinya hanya mengharapkan agar kenyataan yang sebenar adalah lelaki itu masih bujang atau sekurang-kurangnya duda yang masih dia berpeluang merebut hatinya. Hingga bayang kereta itu hilang ditelan pekat malam, Ainnur seolah-olah masih berharap yang angannya itu adalah satu kenyataan!

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.