Home Novel Cinta SHIA
Bab 23


Hidup Shia tak pernah tak setenteram hari itu. Semua pekerjaan yang dilakukan tak betul. Kira barang runcit salah. Semak stok barang salah. Soalan yang paling senangpun dia jawab tak betul hari ini.


 “Tak adalah kak Shia. Tak nampakpun kampit gula kat situ.”

Hah! Gula? Tempat apa aku tunjuk tadi? Tepung? Shia tepuk kepala berkali-kali. Cuba menyedarkan diri sendiri. 

“Akak tersilaplah Dik. Gula di atas rak sebelah sana tu. Maaf ye sayang.”

Anak dara cilik Makcik Kalsom anggukkan kepala sahaja. Selepas gadis kecil itu membayar harga barangan, wajah mencuka Walid kembali ke kotak kepala Shia. Ingatan terhadap wajah itu selalunya menceriakan hari Shia, tetapi tidak hari ini. Bila Walid betul-betul muncul depan Shia, kewujudan lelaki itu bak bayangan sahaja. Shia tak menegur. Hanya dahi berkerut-kerut sambil mata menjamah wajah yang selalu terpamer garang.


“Hoi! Apasal kau ni? Dah buang tabiat?”

Sergahan Walid membuatkan Shia terpinga-pinga. Lelaki itu benar-benar wujud  rupanya. Meskipun dah sedar, Shia kehilangan kata-kata mahupun ayat manisnya.

“Kita kena berbincang Shia. Pening dah aku dengan mama aku ni. Rimas aku. Asyik nama kau je keluar dari mulut dia dari semalam. Kalah nama aku.”


Sejurus Walid menghabiskan ayatnya, ada pelanggan masuk ke kedai. Bergegas Walid beredar ke ruang lain, berpura-pura memilih barang. Malangnya pelanggan datang silih berganti. Sejam berlalu, Walid masih memilih barang. 

“Shia! Susahlah aku nak cakap kalau macam ni. Tutuplah kedai sekejap!” bentak Walid. Lagaknya mengalahkan tuan kedai. Sesedap bibir mengeluarkan arahan. 

Shia tahu sekadar menahan telinga memang tak menjadi. Walid ni memang pakar bab mendesak orang. Kalau kemahuannya tak dituruti, adalah nanti buruk laku yang dia balas. Pernah beberapa kali di sekolah, Walid memekik memanggilnya hodoh di tengah-tengah dewan perhimpunan pelajar gara-gara dia tak endahkan tuntutan Walid untuk menggantikan lelaki itu masa bertugas di perpustakaan. 


“Iyalah, iyalah. Tunggu aku dekat tempat semalam. Aku minta Ummi tolong jaga kedai sekejap.”


Bersendirian seketika di tempat yang terpinggir sebegini berupaya melapangkan kesesakan jiwa. Walid mendongak ke langit cerah. Matahari sudah mula meremang. Haba panas sedikit sahaja melempias ke wajah ditapis daun-daun kayu yang menaungi mereka. Pohon-pohon besar dan rendang itu mengingatkan Walid kepada wanita yang telah melahirkannya. Wanita yang menatangnya bagai minyak yang memenuhi kedua tangan. 


Sejak akhir-akhir ini wajah itu payah melindungi suram. Senyumnya hanya seketika apabila mereka bersemuka. Selebihnya terkandung resah. Mama lebih banyak menghadap kertas-kertas dan fail serta skrin komputer daripada wajahnya. Dari awal pagi membawa ke malam, wanita itu terperuk di bilik bacaan. Dia tahu perniagaan papa turut menerima tempias kemelesetan ekonomi. Semua masalah kewangan keluarga diketahui ketika dia mencuri dengar perbualan suami kepada isteri melalui corong telefon.


Bunyi serekan kaki yang berlaga dengan daun halus yang melata mematikan ingatan sayu Walid. Lelaki itu cepat-cepat tegakkan tubuh. Wajah dihala ke tanah. Hanya setelah Shia betul-betul berada di hadapannya barulah Walid mengangkat muka.


Shia dah bersiap sedia menadah telinga mendengar bicara kasar Walid. Cuma dia tak sangka wajah itu berupaya membawa imaginasinya terbang tinggi. Pandangan Walid amat redup. Pasti selama ini  panahan tajam anak mata itulah yang berjaya membuat Shia berpijak di bumi yang nyata. Biarpun seketika, mata redup itu telah membawa Shia terawang-awang di udara. 

Walid biarkan pandangan mereka berlaga. Dia cuba mengawal emosi yang mula menguasai diri.

“Shia, walau apa juga permintaan mama aku nanti, kau jangan tolak.”

Pembuka bicara Walid kedengaran pelik. Permintaan  masih tiada, macam mana dia nak tolak.

“Aku ni satu-satunya anak dia. Sudah tentu aku paling kenal mama tu orangnya macamana. Aku akan cari jalan keluar yang terbaik untuk kita. Cara yang tidak melukakan Mama.”


Raut wajah Walid dan cara pertuturannya membuatkan Shia terpaku. Lambat sedikit butiran kata-kata itu masuk ke kepala. 

“Mama kau nak kahwinkan kita berdua ke Walid?”

Itu kesimpulan yang Shia dapat setelah puas dia memikir hal itu.

“Jangan nak berangan!”

Dah hilang redup mata tadi. Cahaya mata itu berubah tajam seperti sediakala. Sama tajam dengan nada suara yang menempelak. Shia cuba tersenyum, biarpun sumbing.

“Aku… sentiasa sedar… rupa diri. Kau tak perlu risau hal tu.”


Ada tamparan perasaan di wajah Shia. Gadis yang sekian lama dia kenali itu jarang sekali memberi reaksi sebegitu walau sekejam mana ayatnya. Halkum Walid bergerak-gerak. Begitu juga dengan bibirnya. Tetapi tiada suara yang mampu keluar. Hanya tertahan di hatinya sahaja. 


Kali ini Shia melangkah pergi dahulu. Membiarkan Walid meresah dengan perasaan sendiri di belakang. Kakinya lurus menuju ke pinggir hutan berdekatan rumah peninggalan Nenek Jah.

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.