Home Novel Cinta SHIA
Bab 17


Bagai kerbau dicucuk hidung, Shia ikuti langkah Nedim. Puas juga dia mententeramkan perasaannya. Berita itu bagaikan letupan larva yang memuntahkan seribu rasa yang terpendam sekian lama.


"Saya harap sangat awak boleh bertenang. Nenda kat dalam tu tak beberapa sihat. Sejak akhir-akhir ini selalu sahaja sakit dada. Kalau dia tengok keadaan awak macam ni... "

Nedim tak habiskan ayatnya. Rasa macam dia pula yang sakit dada. Cuak juga melihatkan wajah Shia yang semakin pucat. Jari jemari gadis itu sekejap terbuka sekejap mengepal di riba. Nedim biarkan beberapa minit berlalu begitu sahaja. Akhirnya Shia bersuara.

"Nenek... Maksud saya, nenda cari saya ke?"

"Hmm. Nenda dah lama cari Shia, dah lama nak jumpa Shia dan dah lama nak kenal Shia."

Semuanya dijelaskan dalam satu nafas. Nedim nak lihat reaksi Shia terhadap berita keduanya pula. Dia mula menduga...

"Nenda tahu tentang Shiapun lepas Pak Long dan Mak Long meninggal."

"Pak Long dan Mak Long tu... "

Bidikan dah mengena. Nedim cepat-cepat memotong cakap.

"Papa dan mama Shia."

"Oh!"

Kening gadis itu bertaut semula. Kali ini bersama mata yang berkaca-kaca, bibir yang mengetap serta rahang yang bergegaran. Tadi, Nedim merasakan masalahnya bagaikan batu besar yang menghempap dada. Mengenangkan Shia, terasa masalahnya tadi telah mengecil sebesar batu seremban yang boleh dilambung-lambung. Apa yang bakal gadis itu hadapi kelak ternyata lebih sukar. Itu adalah merana masalahnya turut melibatkan gadis itu. 

"Bila papa dan mama meninggal dunia?"

Hidung Shia dah berhingus. Lelehan yang sedikit itu disedut sahaja.

"Lama dah. Hurm... sepuluh tahun yang lalu." 

Saku seluar diseluk. Nedim menghulurkan sapu tangan. 

Shia biarkan hibanya terlepas. Air mata laju berderai. Dah hilang malunya pada pemuda itu. Malah habis dikesat air dari hidung dan mata dengan sapu tangan Nedim. 


"Saya nak minta pertolongan awak. Saya tahu, ada seribu soalan dalam kepala awak sekarang. Tentang nenda, papa dan mama awak, mungkin saya sekali. Saya mohon sangat-sangat untuk hari ini sahaja... awak tolong ketepikan dahulu soalan-soalan tu. Jangan bertanya apa-apapun pada nenda nanti. Saya berjanji, saya akan jawab semua soalan-soalan tu bagi pihak nenda."

Suara Nedim agak mendayu. Sinar kasih lelaki itu terhadap nenda jelas terpancar dari bening matanya. Shia dapat lihat perasaan lelaki itu dengan jelas.

"Tolong kasihani nenda. Kalau awak rasa nak marah ke, nak mengamuk ke, pendam dahulu perasaan tu. Awak boleh lepaskan pada saya nanti. Anggap sahaja saya ni nenda. Saya bagi keizinan kalau awak rasa nak tumbuk, sepak atau terajang saya. Lepaskan sahaja. Andai itu dapat membuang segala perasaan yang terbuku di dada awak."


Nedim bangun dan menghulurkan tangan.

"Mari Shia. Saya bawa awak jumpa nenda kita."

Shia teragak-agak nak sambut tangan Nedim. Mana ada lelaki pernah hulurkan tangan macam tu selain Adam. Lelaki itu nampak bersungguh. Tapak tangannya masih terbuka. Shia sedar hatinya amat goyang saat itu. Dia tak yakin dapat menghadapi perkara yang tiba-tiba mendatang seperti itu bersendirian. 


Huluran tangan bersambut. Nedim eratkan lagi genggaman. Dia mahu gadis itu tahu apa sahaja yang akan terjadi, dia akan bersama-sama berkongsi dan memikul perasaan itu.


Sebaik sahaja melangkah ke ruang tamu, Shia terus menjadi tumpuan. Nedim lirikan mata kepada semua yang sedang memandang mereka. Dia mengangguk perlahan dan memberi senyuman ringkas. Semoga bahasa tubuhnya ini difahami semua.

"Shia, kenalkan. Inilah nenda."

Nedim tahu intonasi bersahaja itu tidak dapat menghilangkan cemas dan gementar di hati kedua-dua perempuan di hadapannya.


Nenda bingkas berdiri. Cermin mata dibuka bagi mengelap air mata yang tak putus-putus meleleh. Setelah itu pandangannya jitu hanya ke wajah Shia. Perlahan-lahan kedua tangan didepa luas. Dalam esakan, nama Shia disebut.

"Shia... cucu nenda."


Memang Shia kaget. Di antara nyata dan ilusi, akalnya berbolak balik. Apabila terasa genggaman Nedim semakin kuat, Shia semakin tersedar. Kata-kata Nedim tadi mula bergema di minda. Shia tarik nafas panjang. Langahnya pendek-pendek. Hatinya gementar. Sinar mata nenda diperhati dengan teliti. Sebaik sahaja tubuh mereka rapat, dia terus dibawa ke dalam pelukan. 

"Shia, sayang nenda. Alhamdulillah, akhirnya dapat juga kita bertemu."


Sebaik sahaja kehangatan tubuh tua itu dapat dirasai, Shia terasa bagai didakap oleh Nenek Jah. Tubuh nenda dirangkul lebih kemas. Rindu Shia terlerai.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.