Home Novel Cinta SHIA
Bab 1

BAB 1


“Jangan berhenti di tengah jalan. Bahaya. Ke tepi sikit.”


Lembut sahaja suara Pak Jaga menegur. Shia yang masih terkial-kial mengeluarkan bekas air bergegas  ke pinggir jalan. Matahari yang memancar terik hari ini membuatkan tekak Shia berasa lebih cepat kering daripada hari biasa. Sebaik sahaja baki air bekalan habis diteguk, barulah badannya terasa segar semula.


Bunyi hon kereta dan motosikal sebagai tanda amaran dan sapaan menambah hiruk-pikuk penamat sesi persekolahan pagi. Kebanyakan pelajar Sekolah Kebangsaan Kampung Husein telah bersedia menanti ibu bapa yang akan menjemput mereka di ruang menunggu berbumbung di luar pagar sekolah. Shia tidak menanti sesiapa. Tiada ada orang  yang akan menjemputnya pulang . Bersendirian, dia akan menyelusuri  jalan kampung yang tidak berturap setiap hari. Bukannya tak ada rakan sekolah yang sama-sama melalui jalan itu. Semuanya pasti akan meminggir jauh apabila Shia dekat dengan mereka. Biarpun begitu, Shia tak pernah berkecil hati.   


Shia berdiri di bahu jalan menanti arahan selamat untuk melintas dikeluarkan. Telinga bagai terdengar-dengar namanya diseru. Sebaik sahaja kepala menoleh ke kanan, figura yang amat dia kenali sedang menggamit dari jauh.


“Nenek!!”

Bibir remaja itu serta merta mengorak senyuman. Tak sedar, tubuhnya dah mula melompat-lompat kegirangan. Separuh berlari Shia mendapatkan Nenek Khadijah. Tubuh tua itu didakap begitu erat.

“Dah habis waktu sekolah, kan?”

“Dah Nek. Eh! Kenapa nenek datang ke sini?”  

Wajah berkeringat Nenek Jah diperhati lama. Senyuman di wajah Shia telah luput.

“Nenek nak jemput cucu nenek balik rumah la.”

Kepala anak kecil itu diusap penuh kasih. Bahang panas di rambut Shia memijar ke tangan Nenek Jah.

“Shia dah besar lah Nek. Shia boleh balik sendiri. Jauh nak berjalan kaki ni. Nanti nenek penat.”


Nenek Khadijah memimpin cucu kesayangannya melintas jalan. Tangan Shia tak lepas di genggaman Nenek Khadijah.

“Nenek pergi mengurut Makcik Senah tadi. Rumah dia kan di belakang sekolah ni. Selalunya suami dia hantar nenek balik. Tiba-tiba je tadi suami dia ada hal. Haa… teruslah nenek ke mari jemput Shia.”

Pinggul Nenek Jah dipeluk. Shia sembamkan pipi di situ. Suaranya separuh sebak.

“Terima kasih, Nek. Shia suka sangat nenek jemput Shia hari ini. Tapi Shia susah hati tengok Nenek penat nanti.”

“Tak apa Shia. Kita jalan sahaja pelan-pelan. Bukannya ada benda yang nak dikejar kat rumah tu.”


Shia mengangguk dan berikan senyuman. Matanya melilau melihat sekitar. Tak jauh daripada mereka, sekumpulan rakan sekelasnya juga melalui jalan yang sama. Oleh kerana langkah dia dan nenek agak perlahan, lama kelamaan hanya tinggal mereka sahaja di laluan sepi itu. Suara Nenek Jah tiba-tiba sahaja memecah hening.


“Kenapa Shia? Kejap pandang sana, sekejap pandang sini. Shia takut ke?”

Cucunya nampak cemas dan gelisah. Matanya asyik memerhati sekeliling.

“Eh! Mana ada.”

Gadis kecil itu menafi. Shia lepaskan pegangan Nenek Jah lalu menghalang jalan.

“Nek, kita berhenti sekejap nak? Hilangkan penat.”

“Nenek tak penat pun.”


Meskipun memahami maksud  kata-kata Nenek Jah, perlakuan Shia berlawanan dengan apa yang dia faham. Tangan Nenek Jah ditarik menuju ke batang kayu mati.

“Shia yang penat. Nenek duduk di sini. Kita berehat sekejap je.”


Kemahuan cucu kesayangannya itu dituruti. Shia menggunakan diri sendiri sebagai alasan. Anak itu amat sensitif dengan keadaan dan perasaan. Tak perlu meluah rasapun Shia sudah dapat meneka apa yang terlintas di hatinya. Nenek Jah menepuk ruang di sebelahnya.

“Mari duduk sama-sama nenek.”


Shia menolak dengan menggeleng. Sebaliknya Shia tegak berdiri di hadapan Nenek Khadijah. Hasratnya hanya satu. Moga tubuh kecilnya masih dapat melindungi apa yang dia telah saksikan. Sebatang ranting kayu dari tadi telah turut serta dalam perjalanan mereka. Ranting itu terawang-awangan di udara bagaikan sedang menunggang udara. Adakalanya berpusing-pusing, naik dan turun rendah mengekori dari belakang. Kini, ranting kayu itu bagaikan menari-nari betul-betul di belakang Shia.


“Nek! Itu buah apa ye? Boleh dimakan tak?” 

Shia menunding ke arah belakang Nenek Jah. 

Orang tua itu segera menoleh mengikut jari telunjuk Shia.

“Mana? Nenek tak nampak pun.”

“Ada la Nek. Tuuu.” 

Kini muncung mulut Shia pula menunjuk arah.


Di saat Nenek Jah ralit mencari-cari buah yang Shia maksudkan, Shia berpaling ke belakang. Ranting kayu yang berlegar-legar itu berjaya disambar. Sepantas kilat Shia campakkan ranting itu ke dalam semak.

“Mata nenek ni dah rabun. Jauh-jauh manalah nenek nampak.”

Wajah Shia kembali ditatap. Dagu anak itu dicubit lembut.

“Shia, dengar sini pesanan nenek. Tak semua buah-buahan dalam hutan itu selamat untuk dimakan. Ada yang nampak mengiurkan, tetapi beracun. Tanya nenek dahulu kalau Shia nak makan buah yang Shia jumpa, ye?”


Shia mengiyakan kata-kata nenek Jah. Ranting kayu yang telah dicampakkan tadi tidak muncul lagi.

“Penat nenek dah hilang? Jomlah, kita balik rumah.”

Mata memicing arah Shia. Kerut di kening Nenek Jah menambah kedutan di wajahnya.

“Eh! Bukan Shia ke yang penat tadi.”

Shia tayang sengih dan ketawa. Ingatan Nenek Jah memang kuat walaupun sudah berumur.

Previous: PROLOG
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.