Home Novel Cinta Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Dea Zoraya
10/2/2015 22:31:17
1,030,307
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
-Teaser Bab 39 - Ada Izzaz


            “Dah cantik jelita macam ni takkan kau nak berdiri kat sini aje?" IZZAZ


8.30 malam, 7 Jun 2014, Palm Hill Cafe Putrajaya

Izzaz membukakan pintu kereta untukku. Aku keluar bersama wajah yang masam mencuka. Aku masih marah, geram dan tidak boleh menerima tindakan Izzaz yang memaksaku untuk menjadi isterinya sejak sepuluh hari yang lalu. Malam ini dia membuat tindakan yang sama apabila lelaki itu telah berjumpa dengan Abang Bukhary dua hari lalu dan meminta abangku membawa Abah dan Mama untuk makan malam bersama sekaligus untuk membincangkan tentang persiapan perkahwinan kami.

Aku masih berdiri kaku dan tidak mahu bergerak ke mana-mana. Aku masih tidak bersedia untuk berjumpa Abah dan Mama sementelah sudah lama aku tidak pulang ke rumah. Alih-alih hari ini aku berjumpa orang tuaku hanya kerana aku mahu berkahwin. Apa kata Abah dan Mama nanti? Aku memandang Izzaz dengan penuh rasa geram kerana sepatutnya dia harus berbincang denganku terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Dah cantik jelita macam ni takkan kau nak berdiri kat sini aje? Jom lah masuk.” Selamba saja Izzaz menuturkannya bagaikan tidak rasa bersalah langsung.

“Saya tak nak masuk. Muktamad!” Bentakku.

“Kau melawan ya? Dah tak ada, tak ada aku tak kira. Kita dah sampai sini kau kena masuk jugak. Keluarga kau dah tunggu kat dalam tu.” Izzaz menarik lenganku untuk masuk ke dalam kafe itu.

Aku merentap tanganku darinya. “Awak yang plan dinner ni, bukan saya. Awak masuklah sendiri. Saya tak sukalah awak paksa-paksa saya Iz.”

“Kau jangan nak mengada-ngada Maya. Ramai orang tengah pandang kita ni. Kau nak malukan aku ke? Nak malukan keluarga kau juga?” Izzaz seakan berbisik kepadaku tetapi masih bernada tegas.

Aku diam sambil berfikir akan kebenaran pada kata-katanya itu. Aku tidak mahu untuk memalukan Abah dan keluargaku buat kali yang kedua. Kenapalah hidup aku ini sentiasa tersepit di dalam keadaan yang aku sendiri tidak aku rela?

“Dah fikir? Tak sampai hati kan? Sekarang boleh kita masuk Cik Maya?” Izzaz senyum tapi sinis. Aku menjelingnya sebelum melangkah untuk masuk ke dalam.

                            

                                 "Saya tak nak kahwin dengan awak!" MAYA

"Saya tak kahwin dengan awak lah. Tolonglah faham Izzaz. Saya carikan calon lain untuk awak." Ujarku.

Izzaz diam dan hanya matanya saja yang tidak lepas dari merenung wajahku. Aku terus menjalankan jarumku untuk memujuknya.

“Saya boleh carikan awak calon yang lebih cantik dan lebih bijak dari saya. Awak nak artis, nak model atau gadis yang paling cantik kat Malaysia ni awak cakap aje, saya akan tolong awak cari sampai dapat.” Aku beriya-iya menyakinkan lelaki itu yang aku bukanlah calon isteri yang tepat untuknya.

“Kalau betul cakap kau tadi banyak perempuan kat Malaysia ni nak dengan aku, tapi kenapa kau tak nak dengan aku ya? Aku ini tak sesuai ke dengan kau?” Izzaz mula memeluk tubuhnya.

Aku berfikir jawapan yang tepat untuk aku berikan kepadanya. Aku tidak boleh tersalah cakap kerana lelaki di hadapanku ini begitu bijak orangnya dan sekali saja aku buat silap pasti akan tertangkap.

“Sebab saya ni gadis biasa Iz. Saya tak ada apa-apa yang saya boleh berikan kepada awak. Saya tak ada harta, rupa dan cinta untuk diberikan kepada awak. Saya ni banyak kekurangannya Iz. Saya tak nak awak rasa tertipu dengan saya kelak.” Aku berterus-terang kepada Izzaz tentang siapa diri aku yang sebenarnya.

 

                    “Aku baru usik sikit kau dah menggelabah macam ni, macam 

                               manalah bila kita dah kahwin nanti ya?”IZZAZ

Izzaz menolak dahiku. “Ada saja alasan kau kan nak pujuk aku kan. Kau ingat kau bakal berjaya lah? Kalau aku nak pelakon, penyanyi atau model sekali pun aku boleh dapat lah, tapi masalahnya sekarang ni aku tak nak. Aku nak kau seorang aje.”

Aku memegang dahiku sambil memuncungkan bibirku. “Tapi kenapa saya?” Soalku.

“Sebab dalam hati aku ni hanya ada kau seorang saja. Tak ada orang lain selain kau Maya.” Izzaz merapatiku sambil matanya tajam memanah mataku. Aku sudah mula rasa lain dengan reaksinya.

“Aw...awak ni biar betul?” Aku berlagak berani menyoalnya.

“Apa kau rasa?” Soalnya pula yang sengaja mahu membuat wajahku bertambah merah menahan malu.

“Mana saya tahu.” Aku bergerak setapak ke belakang.

Tiba-tiba Izzaz ketawa yang membuatkan aku bertambah pelik. “Aku baru usik sikit kau dah menggelabah macam ni, macam manalah bila kita dah kahwin nanti ya?” Dia seakan berbisik kepadaku.

Terkebil-kebil aku memandangnya sambil menahan geram yang semakin memuncak naik. Aku rasa macam nak menjerit ketika itu dan melayangkan sebiji penumbuk ke wajahnya itu.

“Izzaz awak sengaja kan...” Aku menujuk jari telunjukku ke arah wajahnya.

Lelaki itu masih galak ketawakan aku. “Aku rasa seronok dapat usik kau macam ni. Muka kau merahnya bila kau tahan malu, tapi aku suka sebab bertambah cantik.”

Aku merengus mendengarnya. Pick up line yang hambar dan tak masuk langsung ke dalam jiwa aku. Bertambah meluat lagi adalah. Rasa nak tumbuk-tumbuk pipi dia tu. Biar gugur giginya yang tersusun rapi itu.

“Kau tak rasa beruntung ke bila aku pilih kau bukan orang lain? Dah lah aku ni hensem, kerja pilot yang duduk seat sebelah kiri, ada duit dan paling penting aku ada senyuman yang paling menawan. Kalau dapat anak dengan aku confirm comel habis. Kau tak sudi?” Izzaz memuji dirinya sendiri.

Aku menggeleng. “Saya tak berminat nak kenal siapa awak.” Ujarku lantas aku terus berpaling.


                   “Kau ni memang muka tak malu kan?" KAK LONG ATIRAH

Aku segera menghulurkan tanganku untuk bersalam dengan Mama dan Mama menyambutnya acuh tidak acuh saja. Kerana tidak dapat menahan rasa rindu tubuh Mama terus aku dakap namun hanya sebentar sebelum menolak tubuhku menjauhinya.

“Kau jangan nak dekat-dekat dengan aku ya. Dipeluknya kita pula ni Long. Ingat kita ingat dan rindu kat dia lah tu. Pandai kan kau berlakon.” Kata-kata Mama itu benar-benar mengguris hatiku.

Kak Long yang berdiri di sebelah Mama turut mencebik memandangku. “Orang nak kahwin dengan jutawan Mama mana nak pandang kita lagi. Berpura-pura berlakon baik depan kita ni biar bakal suami dia nampak aje.” Kak Long Atirah menjelingku.

Aku masih cuba untuk tersenyum walaupun hatiku terasa remuk ketika itu. “Mama sihat ma? Kak Long macam mana? Lama kita tak jumpa kan. Maya rindu pada keluarga kita.” Ujarku.

Kak Long menerpa ke arahku. “Kau ni memang muka tak malu kan? Boleh senyum dan siap kata rindu-rindu kat kita pulak Ma. Sejak dari kecik hidup tu kalau tak menyusahkan orang tak boleh. Tak sedar untung Abah kutip kau entah dari mana bawak balik rumah tapi tak reti nak balas budi.” Kak Long menengkingku.


                        “Arwah mak Maya salah apa sampai Mama ungkit 

                                      nama orang yang dah tak ada?"MAYA

“Apa salah Maya pernah buat, dari kecil sampailah sekarang Mama dan Kak Long begitu benci pada Maya? Cakap lah supaya Maya boleh ubah diri Maya untuk jadi seperti yang Mama dan Kak Long mahukan.

” Tuturku lembut. Sedikit pun aku tidak meninggi suara.

“Sebab kami tak pernah terima kau sejak dari hari pertama suami aku bawak kau masuk ke dalam rumah. Dasar anak perempuan tak guna, perangai sama saja macam mak yang hidup hanya menyusahkan orang!” Kata-kata Mama tetap pedih sama seperti dulu.

“Arwah mak Maya salah apa sampai Mama ungkit nama orang yang dah tak ada? Mak Maya tak salah apa-apa. Jangan ungkit lagi Mama.” Rayuku. Aku menangis teresak-esak. Rasanya tidak sanggup lagi untuk aku mendengar kata-kata cacian dan makian dari mulut orang yang aku kasihi walaupun kasih sayangku mungkin hanya diletakkan di bawah tapak kaki mereka saja.

Aku terasa tanganku dipegang seseorang di sebalik dinding. Aku segera menoleh dan aku lihat Izzaz sedang memandangku. Aku nampak matanya bergenang ketika itu. Izzaz telah mendengar segala-galanya. Tubuhku mula terasa menggigil-gigil. Aku tidak boleh terlalu tertekan atau panik, spontan badanku akan mula berpeluh-peluh dan kalau tidak boleh dikawal aku boleh jatuh pengsan. Aku cuba menggagahkan diri untuk berhadapan dengan Mama dan Kak Long.

                                

                                            “Saya orangnya yang sudi sayang Maya.

                                    Yang sudi cintakan dia setulus hati saya."IZZAZ

Aku terkejut apabila Izzaz mendekatiku dan mempamerkan dirinya di hadapan Mama dan Kak Long. Wajah Izzaz kelihatan begitu serius ketika itu. Aku risau kalau-kalau Izzaz akan bertindak di luar jangkaan saja kerana ini kali pertama aku lihat wajahnya nampak sebegitu marah.

“Saya orangnya yang sudi sayang Maya. Yang sudi cintakan dia setulus hati saya sampai bila-bila. Maya tak perlu tumpang kasih sayang sesiapa sebab dia berhak untuk dapat kasih sayang dari orang lain yang nampak kebaikan dan ketulusan hatinya. Cuma orang yang berhati busuk aje tak nampak semua itu.” Izzaz berani berhadapan dengan Mama dan Kak Long.

“Kau ni siapa pulak nak masuk campur?” Soal Kak Long kasar.

Izzaz memeluk bahuku dan menarikku merapatinya. “Saya Izzaz Rayqal, bakal suami Maya.” Izzaz tersenyum sinis pada Kak Long. Mata mencerlung Kak Long di balasnya berani.

“Iz kenalkan ini Mama dan Kak Long.” Aku cuba untuk meredakaan keadaan dengan memperkenalkan Izzaz kepada ahli keluargaku.

“Gembira berkenalan dengan Mak angkat dan Kak Long angkat Maya.” Nada sinis Izzaz itu membuatkan wajah Mama dan Kak Long terus berubah.

“Betul ke you nak kahwin dengan Maya? Dah tak ada orang lain ke?” Kak Long menjelingnya.

“Betul lah. Takkan I nak kahwin dengan you pulak, kan Kak Long?” Izzaz membalas sambil mata Kak Long ditenungnya.

“Mama untunglah dah ada orang membela dia sekarang ni.” Ujar Kak Long.

“Mestilah I akan bela orang yang tak bersalah.” Izzaz segera menjawab.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.