Home Novel Cinta Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Mastura Abdullah
14/3/2014 15:43:33
1,168,263
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 11

11

"SU, angah nak ke Labuan Sabtu ni! Ada meeting di sana."

Beritahu Riyad selepas dia menjawab salam. Iris Suhayla menjerit keriangan hingga memaksa dia menutup telinganya sekejap.

"Cikgu ke anak cikgu ni? Sakit telinga angah dibuatnya,"

"Sukalah! Menjerit tu kan ekspresi suka buat Su."

Jawabnya, mempertahankan diri. Kali terakhir mereka berbual adalah ketika minggu pertamanya di Labuan. Perbualan telefon antara mereka berakhir dengan nasihat Riyad buatnya. Susah hendak menerima pendapat orang katanya. Selepas sebulan, Riyad menghubunginya lagi. Kali ini bersama kejutan pula.

"Tunggu angah di airportlah! Angah sampai di Labuan dalam pukul 10.45 pagi."

"Habis angah meetingdi mana? Pukul berapa?"

"Sampai aje sana, meeting terus. Meeting dengan adik angah yang manja dan tak sedar diri tu dah tua."

Ujar Riyad, sambil mengusik adik bongsunya. Sebelum dia berangkat ke Brunei, emak sudah meitipkan pesan, kalau ada masa dan kelapangan, jenguklah Iris Suhayla di Labuan, dan itulah yang akan dilakukan hujung minggu ini. Menjenguk Iris Suhayla yang tua bangka serta berlakon muda.

"Angah ni, memanglah! Orang tak kacau dia, dia yang kacau kita."

"Nak jumpa angah, tak? Kalau banyak songeh,angah cancel tiket."

"Naklah! Dah lama tak tengok wayang dengan angah."

Jawabnya, sempat menyatakan hajat. Riyad ketawa. Memang adik perempuan yang seorang itu langsung tidak pandai menyembunyikan dirinya yang agak kuat 'menipiskan' dompet orang.

"Boleh tengok wayang tapi kali ni angah nak rasa duit cikgu pulak!"

"Angah! Su belum dapat gaji lagilah."

"Eh, dah penghujung bulan satu, kan? Takkan belum dapat gaji lagi?"

"Belum."

Jawab Iris Suhayla, bersahaja. Dia tidaklah sekedekut yang disangka. Jika sudah menerima gaji pertama, pasti dia akan menghabiskan satu bahagian buat Riyad yang tidak pernah lokek memberinya duit sejak dia di universiti lagi. Tapi, itu hanyalah angan semata.

"Kalau macam ni,angah yang rugi. Mesti kopak pulak duit angah bulan ni."

Usik Riyad lagi.

"Alah, angah dah janji nak datang sini, kan? Tak kiralah kopak ke tak kopak,"

"Amboi! Kalau pasal dia, orang susah pun tak apa, kan?"

"Alah, Su dapat gaji nanti Su belanja angah pulak,"

"Eleh, boleh percaya ke?"


SITI Hajar sibuk menyusun buku-buku yang baru tiba mengikut kategori. Fiksyen atau bukan fikyen. Pagi tadi dia berjaya menyudahkan kerja-kerja mengecop maklumat perolehan pada buku tersebut.

"Hai Siti! Sibuk nampak!"

Sapa Zakwan, berbasa-basi apabila melihat Siti Hajar khusyuk menyusun buku-buku. Barangkali buku yang baru tiba untuk tahun ini.

"Marilah tolong! Takkan tanya khabar aje kot?"

Usik Siti Hajar, menghilangkan penat yang mula dirasai apabila seharian menghadap warna dan abjad. Zakwan yang berdiri di muka pintu mula menanggalkan kasut. Sebenarnya, dia mencari kelibat Iris Suhayla, namun tidak pula kelihatan. Dia mencari pula di pusat sumber, barangkali Iris Suhayla menghabiskan masanya di situ, namun hampa juga.

"Kau cari aku ke cari Su?"

"Ha ha ha. Macam tau-tau aje."

"Aku dah masak dengan perangai kau. Dari hari pertama lagi aku dah boleh rasa kau memang syokkan Su, kan?"

Zakwan ketawa kuat. Barangkali perasaannya pada Iris Suhayla begitu ketara hingga beberapa orang teman bertanyakan soalan yang sama kepadanya.

"Kau kan duduk serumah dengan dia. Takkan tak risik-risik status dia, bujang ke berpunya ke?"

"Ee, malas aku! Kau yang nak, kau usahalah sendiri,"

"Iris tu, payah jugaklah nak dekat dengan dia."

Beritahu Zakwan, berterus terang tentang masalah yang dihadapinya. Siti Hajar ketawa lantas berhenti menyusun buku. Dia duduk di hadapan Zakwan.

"Dia tak biasa dengan kau lah tu. Kalau aku jadi dia, aku pun takut. Slow and steadylah beb. Jangan tergopoh-gapah sangat!"

"Hati dah suka. Mana boleh steady-steady. Kau tak tengok kawan baik kau si Nizam tu?"

Tanya Zakwan tentang Nizam. Siti Hajar ketawa lagi. Persoalan Nizam harus ditangani dengan baik, tambahan mereka semua saling mengenali dan bekerja dalam sebuah pasukan. Barangkali sifat miang keladi itu pun memang semulajadi miliknya. Tidak boleh dikawal dan dibuat-buat.

"Tiba-tiba pulak si Nizam jadi kawan baik aku. Payah orang kalau dah angau ni. Aku nak pesan satu aje, kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai. Kalau takut disambar orang, janganlah tunggu lama-lama!"

"Tapi nak ke dia?"

Soal Zakwan, kali ini menyatakan kebimbangannya lagi. Bukan isu Nizam tapi isu tuan punya diri pula yang diketengahkan.

"Tu kau sendiri yang kena tanya tuan punya badan. Kat rumah pun, dia tak pernah sebut pasal kau atau pasal sesiapa. Selalunya cerita kami pasal keluarga, pengalaman peribadi, kau dah berpunya, aku dah berpunya? Belum sampai tahap tu lagi!"

"Ehemmm,"

Satu deheman panjang menyapa mereka. Iris Suhayla yang sempat mengikuti perbualan mereka dari luar tidak dapat melarikan diri. Siti Hajar, seperti selalu akan melambai tangan ke arahnya. Zakwan pula melihat gelagat Iris Suhayla dengan penuh minat walaupun Iris Suhayla hanya membuka kasut. Entah mengapa, sukar mengalihkan perhatian dari Iris Suhayla jika gadis itu ada berhampiran dengannya.

"Jom balik, aku laparlah!"

Ajak Iris Suhayla. Sebenarnya dia hendak lari dari Zakwan. Dia tidak mahu menjadi perhatian lelaki itu buat kali yang seterusnya. Entah mengapa, setiap kali mata mereka bertembung, kebimbangannya berganda-ganda. Pelbagai persoalan akan muncul di benaknya mengenai gelagat lelaki itu.

"Nak balik dah ke? Belum pukul tiga lagi ni."

"Aku laparlah! Jomlah Siti Hajar!"

Rengek Iris Suhayla sambil menarik-narik lengan Siti Hajar. Bergoyang-goyang badan sahabatnya bila ditarik begitu.

"Iyalah, iyalah! Jom balik!"

"Su, saya pun lapar jugak ni. Ajaklah saya makan sekali."

"Kalau ajak awak, kena belanja pulak. Mana saya ada duit!"

Balasnya sebelum menunggu Siti Hajar di luar. Tak betah rasanya melihat wajah lelaki itu lama-lama. Lebih baik dia menanti Siti Hajar di luar sahaja.

"Eh, tak payah belanja! Kali ni, biar saya yang belanja. Lain kali, giliran Su pulak belanja saya."

"Kenapa ada lain kali pulak?"

"Tak baik kedekut. Sharing is caring, kan Siti?"

"Sharing is caring? Ee, geli –geleman aku!"

Balas Siti Hajar, menjungkit bahu, menenggelamkan kepala tanda geli dengan apa yang baru diucap Zakwan.

"Assalammualaikum. Cikgu Siti, ada nampak Cikgu Zack tak? Guru besar nak jumpa Cikgu Zack!"

Tanya Shila, anak Cikgu Fatimah ketika Siti Hajar sedang menyarung kasut. Siti Hajar memanjangkan leher ke arah Zakwan namun lelaki itu meggoyang-goyangkan tangannya ke kiri dan kanan, tanda tidak mahu dijumpai.

"Tu! Cikgu Zack ada di dalam."

Ujar Iris Suhayla selamba. Siti Hajar tidak dapat menahan gelak bila melihat Zakwan menggeleng-gelengkan kepala, keluar dari tempat persembunyian lantas memakai kasut juga.


"ZACK tanya pasal kau tadi!"

Ujar Siti Hajar, memulakan bicara ketika masing-masing sedang menonton televisyen. Iris Suhayla memaling mukanya sekejap ke arah Siti Hajar, kemudian dia mengalih semula tumpuan ke arah siaran televisyen. Dia tahu apa yang ingin disampaikan Siti Hajar kerana dia sendiri sudah mendengar apa yang Zakwan dan Siti Hajar bualkan ketika di pusat sumber siang tadi.

"Tahu, aku terdengar."

"Lah, patutlah ajak balik awal."

"Malas aku duduk situ lama-lama. Nanti apa pulak kata orang lain. Salah guna perpustakaan untuk bercinta, biar tak ada apa-apa pun."

Jelas Iris Suhayla, menyatakan pandangannya. Bukan sekali dua mereka bertemu di situ tetapi banyak kali. Walaupun tujuannya ke situ hanya untuk menemani Siti Hajar tetapi kehadiran Zakwan bakal mengubah tanggapan rakan sejawat yang lain. Itu yang paling dikhuatirinya.

"Lain kali aku malas dah melepak kat pusat sumber. Kalau nak balik, kau callajelah aku. Tak pun cari aje aku kat prasekolah,"

"Uiks, serius aje bunyinya. Tapi sebelum tu aku nak tahu jugaklah, sebagai kawan, kau minat Zakwan?"

Tanya Siti Hajar, bagai sudah dijangka oleh Iris Suhayla. Namun, dia tidak segera menjawab.

"Minat macam mana tu maksudnya?"

"Minat macam mana yang kau faham?"

"Kalau minat sebagai kawan, aku belum kenal lagi dia untuk dijadikan kawan, kalau minat sebagai kekasih, pun aku belum kenal siapa Zakwan."

"So, tak minat dua-dualah?"

"Ke kau dah ada orang lain?"

"Dah ada orang lain?"

Soal Iris Suhayla semula. Ingatannya terus melekat pada Izzul Haq. Adakah Izzul Haq orang yang dimaksudkan Siti Hajar? Atau barangkali Siti Hajar sekadar menduga. Bolehkah dia menganggap Izzul Haq sebagai 'orang lain' sedangkan hubungan mereka hanya bersandarkan pada majlis pertunangan tersebut. Kemudian, apabila semuanya kembali seperti biasa, masing-masing menguruskan hal sendiri tanpa perkhabaran.

"Senyap aje aku tanya. Dah ada orang lah tu, kan?"

"Dah ada orang? Entahlah. Aku pun tak tahu sejauh mana kuatnya frasa' 'ada orang' tu."

"Get me to the point, please! Aku ni orang kampung, tak faham sangat bahasa Sanskrit."

Pinta Siti Hajar. Iris Suhayla masih berkira sama ada hendak berterus terang atau menyimpan sahaja cerita itu. Muncul kembali bayang Izzul Haq menyapa minda sedarnya.

"Aku dah bertunang, Siti!"

Beritahunya kemudian.

"Hah? Biar betul? Tak pernah tengok pun cincin kat jari kau!"

Tanya Siti Hajar, langsung tidak menduga tentang status sahabatnya. Tambahan pula, Iris Suhayla tidak pernah menunjukkan tanda yang dirinya sudah berpunya.

"Aku simpan."

"Buat apa nak simpan? Cincin tu kan satu tanda. Sekurang-kurangnya tak perlulah Zack susah payah mengurat kau."

"Macam mana aku nak pakai kalau aku sendiri masih belum boleh terima hakikat yang aku ditunangkan atas pilihan mak ayah aku!"


IRIS Suhayla sengaja mengajak Siti Hajar menemaninya untuk menjemput Riyad di lapangan terbang. Walaupun Siti Hajar menolak, namun dia berkeras juga mahukan Siti Hajar menemani perjalanan mereka sepanjang hujung minggu itu.

"Aku sebenarnya suka masakan kau. Kalau dapat makan selalu, kan seronok?"

Ujar Iris Suhayla, penuh makna. Sebenarnya, terdetik di hati untuk mempertemukan Riyad dan Siti Hajar. Tambahan pula, Riyad masih menyendiri, begitu juga dengan Siti Hajar. Sebab itu, dia berkeras juga mahu Siti Hajar turut serta dalam pertemuan itu. Sekurang-kurangnya dia berusaha untuk menyatukan, selebihnya terpulang pada kehendak masing-masing. Namun, jika selepas itu, Riyad menolak sebarang pertemuan dengan Siti Hajar, Iris Suhayla akur.

"Apa kena-mengena dengan masakan aku pulak ni?"

"Kau kan pandai masak!"

"Habis, apa kaitan dengan perjalanan kita hari ni?"

Tanya Siti Hajar, tidak berpuas hati. Walaupun dia tahu tujuan perjalanan mereka pada hari itu namun kata-kata Iris Suhayla sungguh tidak menyenangkan. Rakan serumahnya itu seolah-olah memberi gambaran untuk memperkenalkannya dengan satu hubungan baru.

"Tak ada apa-apa."

Elak Iris Suhayla sambil memarkir kenderaannya di petak meletak kenderaan. Kemudian, mereka sama-sama menuju ke arah lapangan terbang sebelum Iris Suhayla membuat panggilan terhadap abangnya.


"ANGAH!"

Laung Iris Suhayla sambil melambaikan tangannya ke arah seorang lelaki yang sedang leka membaca akhbar. Riyad memaling muka lantas menghadiahkan senyuman penuh makna buat adik bongsunya. Walaupun lebih sebulan berlalu, namun Iris Suhayla tetap ceria seperti selalu. Pantas dia menyarung beg galas sebelum berjalan mendekati Iris Suhayla dan temannya barangkali. Semakin didekati, wajah itu semakin kerap menunduk ke bawah.

"Lama ke angah tunggu?"

"Lenguh jugaklah kepala ni, asyik menoleh kiri kanan. Janji pukul sepuluh setengah, dah lebih pukul sebelas baru sampai."

"Su kan VVIP. Angah lah yang kena tunggu Su."

"Eleh, VVIP konon!"

Balas Riyad sambil menjuihkan bibir, tidak menerima jawapan yang diberi iris Suhayla. Sesekali dia menjeling ke arah teman Iris Suhayla. Orangnya putih bersih, sesekali terserlah lesung pipit di pipi.

"Angah, perkenalkan, Siti Hajar, soulmateangah!"

"Soulmate?"

Hampir serentak teruna dan dara itu menjawab. Seperti selalu, Iris Suhayla menghamburkan tawanya. Dalam gurauan, dia mengharapkan itu yang bakal berlaku.

"Bukan ke? Emm, silap pulak vocab I hari ni. Perkenalkan housemateSu, Siti Hajar!"

"Siti. Ini abang aku, Riyad!"

Tambah Iris Suhayla lagi, saling memperkenalkan mereka berdua. Walaupun Siti Hajar kelihatan agak pemalu ketika itu namun diangkat juga mukanya sebagai tanda menghormati perkenalan itu.

"Siti ke Hajar? Ke Siti Hajar?"

"Hah?"

"Nak panggil Siti ke Hajar?"

"Oh, panggil Siti aje!"

Jawabnya, mengiringi jalan Riyad sementara Iris Suhayla sudah berjalan di hadapan, barangkali menuju ke perkarangan meletak kenderaan.

"Siti mengajar jugak?"

"Emm, satu sekolah dengan Su."

Jawabnya ringkas. Sebenarnya dia agak malu pada pertemuan baru, lebih-lebih lagi perkenalan itu melibatkan jantina yang berbeza. Namun, sikap pemalu itu tidaklah begitu ketara jika perkenalan melibatkan rakan sejawatan. Barangkali sikap itu belum diterokai dengan lebih lanjut memandangkan dia begitu malu berbual dengan abang kandung Iris Suhayla.

"Aik, dah beli kereta baru?"

Tanya Riyad ketika Iris Suhayla begitu selamba menyerahkan kunci kereta Honda City berwarna Sparkling Brown kepadanya.

"Mana ada duit!"

"Ni kereta siapa?"

"Izzul!"

Jawabnya laju. Tiada rahsia besar antaranya dan Riyad namun penjelasan Iris Suhayla membuatkan Siti Hajar juga menganga, bukan cuma Riyad. Iris Suhayla buat muka kerang busuk sebelum membuka pintu belakang. Siti Hajar membuka pintu di belakang pemandu namun ditegah oleh Iris Suhayla.

"Hari ni angah driver, Su is the boss! Seat belakang tak boleh kongsi dengan orang. Sila-silalah duduk di depan, ya Cik Siti Hajar?"

Beritahu Iris Suhayla, bersahaja. Namun, cadangannya tidak diendahkan Siti Hajar. Teman serumahnya mempamerkan mimik muka geram namun seperti selalu, dia cuma membalas dengan tawa riang.

"Angah tak tahu pulak Su dah jadi orang kaya. Sejak bila?"

"Sejak angah ada di sini."

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.