Home Novel Cinta Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Mastura Abdullah
14/3/2014 15:43:33
1,168,268
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 5

"AKU nak cari handbag kejap,"

"Tak habis cari barang lagi kau ni? Tiap-tiap minggu keluar cari barang. Berapa kontena kau nak bawak pergi ke Teluk Intan ni?"

Tanya Iris Suhayla, hairan melihat gelagat Afiqah yang cukup gemar menambah koleksi pakaian dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Kalau hari ini warna temanya kuning, kasut dan beg tangan pun boleh disuaikan dengan warna bajunya.

Dia pula? Jangankan beg tangan, beg duit pun tiada. Semua barang dilambak dalam beg galas. Kad pengenalan, duit, kad bank, resit-resit, tiket bas, tiket wayang. Sebulan sekali, kalau ingat baru dia akan mengemas dan membuang mana yang patut. Bila dirasa beg itu ringan, dia akan memenuhkan kembali harta pusaka yang boleh didapati di mana-mana. Senang dan cepat. Tiada istilah bergaya kerana dia memang seorang yang ringkas. Lipstik? Oh, tak sempat nak dicalit pada bibir pun! Semulajadi katanya!

"Aku suka beg yang boleh saut pada lenganlah Su, cantik kan?"

"Kalau aku jadi kau, aku beli je beg yang boleh kepit kat ketiak. Senang, nak ambil duit, depa je tangan luas-luas. Nak simpan, turun balik tangan,"

Cadang Iris Suhayla sambil membuat gaya. Sekejap didepa, sekejap dikuncupkan semula tangannya. Afiqah ketawa kecil.

"Isy, dengar pun geli dah,"

"ha ha ha!"

"Kau ni kan? Ada aje! Cantik ke tak beg ni? Cakaplah betul-betul!"

Tanya Afiqah sambil memuncungkan bibirnya, panjang. Iris Suhayla menyudahkan senyuman lalu mengambil beg yang ditunjukkan oleh Afiqah. Dia membelek beg tangan itu dari luar hingga ke dalam.

"Entahlah! Bukan tasteaku,"

"Aku tengok cantiklah!"

"Dah tahu cantik, belilah. Tapi aku tak fahamlah dengan taste kau ni, Fiqah. Minat beg besar-besar macam bertujuan nak letak diapers dengan botol susu anak je. Tastemakcik-makcik!"

Beritahu Iris Suhayla, cuba menarik muncung panjang Afiqah. Benar! Sekejap sahaja bibir itu meninggi.

"Hey, lasernya mulut! Cili giling karang!"

"Marahnya! Tu kan sekadar pendapat. Kau jugak yang mintak pendapat aku, kan?"

"Aku tanya cantik ke tidak?"

Jawab Afiqah menekankan soalannya yang mula-mula tadi.

"Takkan sekadar nak nampak cantik aje. Fungsinya tetap kena ada. Nak bergaya, tak kena gaya tak padan jugak,"

HAKIMI menghulurkan satu keratan akhbar kepadanya.

"Pemilik Empayar Kenderaan Mewah Sudah Berpunya,"

"Wow, cepatnya berita tersebar! Impressive!"

Ulas Izzul Haq sambil membaca isi cerita tentang dirinya. Dia mengebalikan keratan akhbar itu kepada Hakimi yang menanti reaksinya sejak tadi.

"Siapa sumber berita ni?"

"Mana aku tahu!Frustlah awek-awek kau kat luar tu bila baca cerita ni,"

Usik Hakimi. Izzul Haq senyum cuma. Ketika ini, fikirannya ligat berfikir tentang Iris Suhayla. Bimbang juga jika tunangnya itu menjadi mangsa media secara tiba-tiba. Pasti itu kejutan baru buat Iris Suhayla. Oh!

"Aku tak kisah pasal aku. Yang aku kisahkan pasal tunang aku. Pasal aku pun dia tak tahu, ini bertambah pulak pasal laporan akhbar,"

"Kenapa pulak dia tak tahu pasal aku? Eh, pasal aku pulak! Pasal kau? Tulah banyak sangat pasal aku, dah ter-aku dah aku,"

Ujar Hakimi, menumbuk perlahan dahinya. Izzul Haq ketawa kecil. Lama dia menyimpan rahsia mengenai Iris Suhayla, cinta pertamanya namun belum tiba waktunya untuk dia mendedahkan hal itu. Asalkan keluarga merestui, hal yang lain ditolak ke tepi.

"Dia tak tahu pasal aku? Biarlah rahsia, Kimi! Biar aku saja yang tahu ceritanya,"

"Hmm, tak nak cerita tak apa, cuma aku nak ingatkan kau aje, beringat bila buat apa-apa. Nanti jadi bualan seantero dunia. Yang aku bimbangkan, mesti ada sambungan lagi cerita kau ni di media. kau ni ibarat usahawan selebriti. Selalu jadi bahan berita media."

"Aku tak nak pun semua tu, aku nak berniaga aje. Hobi aku dari kecil lagi berniaga, sampai sekarang atau bila-bila, itulah kerja aku."

Terang Izzul Haq. Suaranya relaks sahaja. Apa yang disampaikan Hakimi bukan perkara baru buatnya. Lalu belum masanya untuk dia tergesa-gesa melakukan tindakan.

"Ya, aku tahu. Tapi kejayaan kau berniaga yang buatkan orang kejar kau selalu. Bagus apa masuk media, melariskan lagi produk kau."

"Masuk media pasal bisness aku setujulah,"

"Oh, aku lupalah! Majalah Media Selebriti nak satukan kau dengan pelakon filem yang tengah meletup tu dalam satu photoshoot minggu depan, siapa namanya...emmm...Putri Ariyana,"

Beritahu Hakimi tentang panggilan telefon yang diterimanya awal pagi tadi. Rasanya isu di media yang menyebabkan Izzul Haq menjadi pilihan.

"Nak 'satukan' aku dengan pelakon meletup? Oh, terima kasih! Hati tunang aku kena jaga,"

Tolak Izzul Haq tanpa berfikir panjang. Baginya, banyak lagi usaha yang boleh dilakukan untuk melebarkan sayap perniagaannya ke persada tanah air daripada memilih populariti singkat seperti itu.

"Pelakon hot tu. Rugilah kalau tak cuba. Media bersungguh-sungguh nakkan kau jadi covermajalah mereka untuk bulan depan,"

"Tidak maksudnya No! No maksudnya tidak!"

"Iyalah, iyalah. Nanti aku telefon balik dan maklumkan keputusan kau,"

PAKAIAN yang akan dibawa pergi sudah dilipat dan dimasukkan ke dalam beg travelnya. Sebuah beg lagi telah dipenuhkan dengan barang keperluan peribadi. Rasanya dua beg itu sudah cukup untuk diheret ke lapangan terbang hari Sabtu ini. Tempat yang bakal dituju pun tidak diketahui lagi, jadi wajar kiranya dua beg itu yang menemaninya nanti. Jika ada keperluan lain, barulah dia akan menguruskannya kemudian.

Beg sandang yang mengandungi buku-buku rujukan ketika di maktab telah disusun di tepi katil. Rasanya persiapan awal itu perlu memandangkan dia bakal menyeberangi Laut Cina Selatan nanti. Kalau tertinggal, payah pula hendak mengambilnya semula. Kalau tiket kapal terbang murah, barangkali mudah buatnya. Ini tidak, harganya mencecah ratusan ringgit. Tidak mampu rasanya hendak pulang selalu.

"Dah siap kemas semua barang Su?"

"Dah siap semua,"

"Baguslah bersiap awal. Emm, esok mak dan ayah berhajat nak buat kenduri tahlil sikit,"

"Untuk Su ke?"

Cepat dia menyahut. Emak mengangguk walaupun wajahnya tidak ceria. Barangkali emak terasa dirinya sedang ditinggalkan sedikit-sedikit lantas dipeluknya emak dengan penuh rasa kasih dan sayang. Tak mungkin terbalas jasa emak mengandung, melahir dan membesarkannya. Tanpa didikan emak dan ayah, tak mungkin dia mampu melangkah sejauh ini.

"Terima kasih mak untuk segala-galanya,"

"Su satu-satunya anak perempuan mak. Lepas ni, rumah kita akan kembali sepi. Along dan angah pun bakal berangkat, Su juga begitu. Pada siapalah mak nak bercerita selain ayah? Kalau dulu, tengok tv, ada jugak kelibat Su atas sofa tapi lepas ni?"

Tanya Puan Aini, menyelak sedikit rasa gundah di hati. Iris Suhayla memeluk emaknya lebih kejap. Entah sempat entahkan tidak dia memeluk emak lagi selepas ini. Kalau ditakdirkan umurnya panjang, barangkali boleh tapi jika itu pertemuan terakhir, bagaimana agaknya?

"Su sayang banyak sangat pada mak! Walau jauh manapun Su pergi, Su bawa kasih sayang mak bersama-sama Su. Mak doakanlah yang terbaik untu Su, ya?"

"Doa mak sentiasa bersama anak-anak. Tak pernah tidak, Su!"

"Terima kasih, mak!"

USAI Majlis Tahlil, Iris Suhayla membantu emaknya di dapur. Habis pinggan dan periuk belanga disental dan akhirnya dia kepenatan lalu berehat di sudut dinding.

"Su belum pernah berjumpa dengan Izzul ke?"

Tanya mak, tiba-tiba membuka cerita mengenai Izzul Haq. Iris Suhayla hanya memandang wajah mak. Mengiyakan tidak, menidakkan pun tidak. Teringat pertemuan yang sengaja dirancang oleh abang-abangnya. Akhirnya, dia mengangguk jua.

"Along dan angah yang perkenalkan Su dengan dia,"

"Macam mana orangnya?"

Soal mak lagi. Kali ini berkerut-kerut dahi Iris Suhayla. Tertanya-tanya di dalam hati, mengapa emak tiba-tiba mengutarakan persoalan itu. Istimewa sangatkah pilihan emak dan ayah itu?

"Entah. Baru sekali jumpa. Tak berbual pun dengan dia. Angah dengan along je yang sibuk tanya itu ini dengan dia,"

"Iya ke? Patutlah satu malam tu rancak sangat abang-abang tu mengusik Su. Agaknya lepas pertemuan tu lah ya?"

"Saja nak cari modal. Padahal dia orang yang aturkan perjumpaan tu. Sakit hati, Su!"

"Kenapa nak sakit hati pulak?"

Tanya emak lagi. Semakin berminat untuk mengetahui kesinambungan kisah anak bongsunya. Dia ingin tahu reaksi Iris Suhayla. Tambahan pula Hafiy ada bercerita tentang pertemuan itu kepadanya. Lantas, kepada Iris Suhayla dia bertanya sendiri. Barangkali Iris Suhayla mahu berkongsi perasaan dengannya.

"Sakit hatilah, mak! Dahlah kena paksa bertunang, nanti kena paksa berkahwin, nak jumpa pun dipaksa jugak. Tak sakit ke hati Su ni, mak?"

"Teruk sangat ke pilihan mak tu, Su?"

"Teruk bila Su tak sedia. Kan bagus kalau mak bagi peluang pada Su untuk tentukan sendiri calon suami Su,"

Jawab Iris Suhayla, meluahkan perasaan tanpa segan silu. Kalau ditanya ketika ini, jawapannya masih sama seperti dahulu. Dia tidak sukakan keputusan emak dan ayah!

"Su tak mahu beri peluang pada diri Su. Yang Su tahu, bantah, bantah, bantah! Cuba Su beri peluang pada diri sendiri, buka hati untuk terima pilihan mak dan ayah sebagai yang terbaik untuk kehidupan Su nanti. Mak rasa, tak seteruk ni perasaan tu nanti. Selagi Su tak redha, selagi tu lah Su akan terbeban dan terpaksa,"

Panjang lebar nasihat emak buatnya namun Iris Suhayla cuma mendiamkan diri. Benar, dia membantah apa yang ditentukan emak dan ayah untuk dirinya namun adakah bantahan itu dipedulikan? Menangis air mata darah sekalipun rayuannya belum tentu diterima. Lantas, salahkah jika dia terus membantah? Kalau membantah itu mewakili perasaannya, biarlah dia terus membantah kerana apabila sampai pada waktu dan ketikanya, dia tetap disuruh berkahwin dengan pilihan emak dan ayah itu.

"Entahlah, mak! Yang pasti dalam kepala Su, Su nak berkhidmat untuk anak bangsa.

kahwin bukan dalam perancangan Su,"

"Baguslah, Su tak mahu uruskan, biar mak aje yang uruskan majlis Su. Sampai masa dan ketika, kita langsungkan aje majlis tu,"

"Eeeee, mak ni!"

Iris Suhayla protes lalu bangun. Emak ditinggalkan dengan rasa sebal di hati. Cepatlah masa berlalu kerana dia begitu tidak sabar lagi hendak meninggalkan bumi Selangor. Tidak mahu lagi persoalan kahwin disua ke telinganya.

AFIQAH memeluk Iris Suhayla. Tidak dapat tidak, air matanya tumpah jua di pipi. Sekian lama bersama Iris Suhayla, ketika senang mahupun susah, kini mereka akan terpisah jauh. Bilakah lagi pertemuan seterusnya akan berlangsung? Pasti rentak hidup mereka jauh berbeza selepas ini, ditambah pula dengan jarak yang jauh. Oh, peritnya perpisahan ini.

"Jangan lupakan aku, ya?"

"Takkan aku boleh lupa kau, atas bawah kuning! Satu dalam sejuta,"

Usik Iris Suhayla, lantas memeluk kembali sahabatnya. Semakin menjadi pula sedu-sedan Afiqah bila dia mengusik begitu. Sebenarnya dia cuba menghiburkan hati, menggembirakan diri sendiri walaupun perit hendak meninggalkan sahabat dan keluarga yang dikasihi. Namun apakan daya, dia memilih untuk berkhidmat di dalam bidang pendidikan. Jauh atau dekat, ke mana sahaja dia ditempatkan, dia harus akur akan dugaan itu.

"Maafkan semua salah silap, usik mengusik, kata mengata kau, ya Fiqah?"

Afiqah mengangguk dan tersenyum

"Aku pun sama, ya Iris?"

Afiqah mengesat air mata dengan tisu. Kemudian, dia menyerahkan sampul surat putih kepada Iris Suhayla.

"Apa ni?"

"Memori,"

"Thanks, Fiqah!"

Ucapnya, menepuk lembut bahu Afiqah. Ramai yang menghantar pemergiannya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Bukan hanya Afiqah, seluruh adik beradik ada bersamanya.

"Angah, nanti datang jenguk Su tau!"

Pesannya, menyalami Riyad. Abangnya itu dipeluk sekali. Seperti selalu, Riyad akan memeluk bahunya pula. Adik itu akan meneruskan perjalanan hidupnya lagi. Dia harus akur itu.

"Su pun jangan lupa jenguk angah di Brunei,"

"Angah banyak duit, angahlah jenguk Su kat sana. Along pun sama! Asyik duduk kat pelantar tu. Sesekali baliklah kampung, bagi makan ayam itik,"

"Ewah-ewah, sedap aje dia memberi arahan. Dia tak tahu kita susah nak cuti. Bukan macam cikgu! Cuti aje memanjang,"

"Eh, siapa kata cikgu banyak cuti? Along dah pernah jadi cikgu ke?"

"Dah, dia dah mula dah. Sempat lagi bercakaran masa ni,"

Ayah yang menunggu dari tadi menyampuk. Iris Suhayla ketawa lantas memeluk ayah. Tangan tua itu dikucup sekali. Keras sekali tekstur tangan ayah. Barangkali itulah yang dinamakan kerja keras untuk menyara kehidupan anak dan isteri. Tangan tua itulah yang pernah menyuap nasi ke dalam mulutnya. Kalau tidak kerana gigihnya tangan tua itu memerah kudratnya, tak mungkin mereka semua mampu berjaya seperti itu.

"Terima kasih, ayah! Terima kasih, mak!"

IRIS Suhayla menyapu minyak angin ke sebelah tepi keningnya, di kiri dan kanan. Rasa pening masih belum hilang akibat pesawat yang baru berlepas, memecut bagai kereta lumba di litar perlumbaan sedangkan ia hanya mengambil lajak sebelum terbang di udara.

"Mintak sikit minyak angin tu, sedap pulak baunya,"

Pohon seorang lelaki di sebelahnya. Iris Suhayla memandang ke sebelah, dan alangkah terkejutnya dia mendapati Izzul Haq yang duduk di sebelahnya. Waktu bila dan bagaimana, tidak pula disedarinya.

"Kenapa? Terkejut?"

"Emm, awak buat apa kat sini?"

"Sama macam awak, nak ke Labuan,"

Selamba dia menjawab, namun semakin berkerut dahi Iris Suhayla. Sesungguhnya dia tidak menduga langsung pertemuan kedua kali itu.

"Mintak lah sikit minyak angin tu,"

Tidak menjawab, namun Iris Suhayla menghulur juga minyak angin itu seperti yang diminta Izzul Haq. Iris Suhayla membuang pandang ke luar namun tidak ada apa yang dapat dilihat. Hanya awan sahaja dan sesekali terasa gegarannya.

"Angah suruh awak ikut saya, ya?"

"Apa dia?"

"Angah yang suruh awak ikut saya, ya?"

Ulang Iris Suhayla ketika menyambut minyak yang dihulur Izzul Haq kepadanya. Ketawa kecil Izzul Haq dibuatnya.

"Tak ada siapa-siapa yang suruh. Saya yang suka dan rela. Lagipun sebelum ni kita belum ada peluang bertemu mata, kan?"

"Tak perlu menyusahkan diri,"

Sahut Iris Suhayla perlahan. Dia tidak selesa sebenarnya. Pertemuan yang tidak diduga sedang dia langsung tak bersedia dengannya.

"Tak ada yang susah pun dalam hidup ni. Mahu sesuatu, usahakan sahaja,"

"Ikut suka awaklah, saya nak tidur sekejap. Sakit kepala belum hilang lagi ni. Tambah sakit jumpa awak,"

"Amboi, teruk sangat ke jumpa saya?"

"Babai,"

Balasnya sambil menutup mata. Berdenyut-denyut dirasakan kepalanya hingga tiada perasaan untuk melayani Izzul Haq berbual. Tambahan pula, lelaki itu orang yang sangat baru dikenalinya. Wajarlah kiranya lelaki itu dibiarkan bersendirian apatah lagi pertemuan itu tanpa undangan.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.