Home Novel Cinta Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Mastura Abdullah
14/3/2014 15:43:33
1,168,112
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 19

19

DRAF perancangan kewangan tahunan sudah berada di tangannya. Izzul Haq menyelaknya sehelai demi sehelai. Tumpuannya berada pada helaian ketiga draf tersebut. hampir seratus lima puluh ribu ringgit bakal digunakan untuk tujuan penyenggaraan bagunan. Pada pandangannya, jumlah yang diperuntukkan untuk tujuan penyenggaraan bangunan yang baru digunakan selama empat tahun itu sangat banyak. Tidak padan rasanya jumlah yang besar dibazirkan begitu sahaja.

"Aina, panggilkan Hisham dari unit Kewangan dan Hadi dari Unit Senggaraan."

Arah Izzul Haq apabila panggilannya dijawab Aina. Sementara menunggu ketibaan Hadi dan Hisham, Izzul Haq melihat telefon bimbitnya. Satu pesanan ringkas diterima lantas dibacanya.

"Dah dapat tiket. Jangan pandai-pandai datang Labuan, ya!"

Mesej itu dibaca bersama senyuman yang berbunga mekar. Sepanjangan usia pertunangan mereka, tak pernah walau sekali Iris Suhayla mengukir senyuman buatnya. Barangkali marah apabila pertunangan mereka diikat tanpa kerelaan. Pernah juga Riyad bercerita tentang hal itu kepadanya namun dia mengambil dari sudut yang positif. Marah Iris Suhayla barangkali kerana tidak mengenali dirinya. Juga kerana sikap tidak ambil pedulinya selepas mereka ditaut dalam ikatan pertunangan.

"Assalammualaikum."

"Waalaikumussalam."

Jawab Izzul Haq lantas mengangkat muka. Terkejut melihat staf berada di depan mata, serta-merta dia mengunci skrin telefon bimbitnya. Hisham duduk apabila diminta.

"Hadi mana?"

"Belum sampai lagi."

Jawab Hisham sambil menoleh ke kiri kanannya. Memang hanya mereka berdua di situ. Sekali lagi bunyi pintu diketuk seseorang. Sejurus selepas diberi kebenaran, Hadi masuk lantas duduk di sebelah Hisham.

"Saya panggil dua-dua ni bukan apa, senang nak berbincang. Saya nak tahu, saya tanya terus pada orang yang bertanggungjawab."

"Tentang apa tu, bos?"

Hisham bertanya pantas.

"Hari tu saya dah arahkan setiap unit bentangkan bajet yang diperlukan masing-masing."

"Kami cuma compilekan bajet dalam bentuk draf setelah semua unit beri bajet masing-masing."

Balas Hisham, seakan dapat menghidu masalah yang timbul. Pasti ia berkait dengan kewangan tahun ini. Jika tidak, masakan Izzul Haq mencarinya.

"Ya. Terima kasih kerana mengingatkan. Tapi saya ada sedikit kemusykilan tentang bajet unit awak ni, Hadi."

"Kenapa tu, bos?"

"Terlalu banyak kos yang awak minta. Seratus lima puluh ribu ringgit untuk senggaraan. Terangkan kepada saya, kenapa jumlah sebanyak ini yang awak minta?"

Tanya Izzul Haq, terus pada persoalan yang bermain di benaknya sejak melihat angka-angka itu sebentar tadi. Bukan tidak dihuraikan dalam draf tersebut namun dia tidak faham jika tidak diterangkan dalam bahasa yang lebih mudah.

"Oh, ada beberapa bahagian yang saya dan staf lain dah buat penilaian! Pertama, saluran tandas. Tersumbat terutama di tandas perempuan. Saya tak tahulah siapa yang punya kerja tapi tisu dan tuala wanita bersepah dalam saluran tandas. Kedua, servis aircondsecara berkala. Kita dah lantik kontraktor yang bertanggungjawab untuk servis aircondsetiap tiga bulan. Saya tengok aircond di surau perempuan pun dah tak berfungsi. Mungkin itu kena ganti yang baharu. Kemudian, selepas dinilai, banyak peruntukan diperlukan untuk membaik pulih kawasan parking kereta. Kita nak luaskan sikit kawasan parking kereta, tar semula dan tambah garaj untuk tetamu VVIP. Lebihan peruntukan akan kita guna jika ada keperluan mendadak pada masa akan datang."

Terang Hadi dengan panjang lebar. Selaku ketua di bahagian penyenggaraan, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk menentukan apa yang perlu ditukar atau dibaiki tanpa merujuk Izzul Haq terlebih dahulu, namun sebagai bos, Izzul Haq juga perlu dimaklumkan tentang perancangan unit senggaraan. Mungkin silapnya juga yang tidak datang memberi penjelasan terlebih dahulu.

"Okay. Saya paling setuju dengan perluasan kawasan meletak kenderaan tapi saya rasa jumlah keseluruhan tak sebanyak seratus lima puluh ribu, kan?"

"Kita takut repair kecik-kecik tu yang banyak, bos."

"Kalau ikut pengalaman tahun sebelum ni, macam tulah bos. Kepala paip tercabut, pintu terkopak, kunci hilang, macam-macamlah, bos. Nak sampai hujung tahun, banyak lagi benda akan berlaku."

Tambah Hadi lagi. Izzul Haq mengangguk tanda faham akan perkara yang ingin disampaikan oleh Hadi. Sebagai ketua di unitnya, Hadi lebih tahu apa yang perlu dibuat dengan bangunan besar dua tingkat itu.

"Kalau begitu saya luluskan bajet unit awak tapi pandai-pandailah guna sampai hujung tahun. Dahulukan apa yang patut didahulukan, dan apa yang awak rasa masih boleh digunakan, hanya perlu servis sahaja, teruskan sahaja begitu. Tunggu bajet tahun depan pulak."

"Hisham, saya belum approvelagi draf perancangan kewangan ni sebab hampir semua unit belum bentang bajet pada saya. Saya harap, by the end of this week, semua dah selesai dan unit Kewangan kena sentiasa bersedia dengan keluar masuk duit syarikat."

Tambah Izzul Haq lagi. Hisham mengangguk sahaja. Apabila dirasakan tidak ada perkara lagi yang hendak disampaikan pada Izzul Haq, dia meminta diri. Begitu juga dengan Hadi.

"Aina, masuk sekejap!"

"Kejap bos! Tengah makan roti cicah kopi."


PUTRI Ariyana tersenyum apabila gambarnya yang sempat diambil bersama Izzul Haq di The Speeds berjaya dimuat naik ke akaun instagram dan mendapat reaksi dari ramai peminatnya. Rata-rata memuji kecantikannya di samping lelaki kacak lagi bergaya seperti Izzul Haq.

"Senyum aje. Apa yang buat you happysangat tu?"

Sapa Christine, teman serumah Putri Ariyana. Pelakon yang namanya melonjak naik sejak mendukung peranan watak pembantu dalam sebuah filem fantasi Hollywood itu hanya melurus kaki di atas sofa. Jemarinya semenjak tadi asyik menekan skrin pada telefon pintarnya.

"I baru upload gambar Idengan CEO The Speeds tu."

"Wow, really?! Nak tengokkkk!"

Christine menjerit teruja lantas duduk dengan pantas di sebelah Putri Ariyana. Telefon pintar itu diambil dari tangan Putri Ariyana.

"Eh, close betul you dengan dia. Stok apa pulak kali ni?"

"Stok? Tak berani I buat stok. Ini memang untuk ditunjuk pada satu dunia."

Cerita Putri Ariyana dengan senyuman penuh makna. Christine melihat kembali gambar itu. Putri Ariyana menyandar tubuhnya di sisi Izzul Haq. Tak disangka, selepas hari pelancaran tersebut, hubungan Putri Ariyana dan Izzul Haq menjadi bualan hangat peminatnya. Dia ingatkan itu hanya sekadar gosip namun gambar yang ditunjukkan oleh Putri Ariyana membuktikan yang sebaliknya pula.

"You memang dah hot, berpasangan pulak dengan bussinessman hot macam dia. Oh! Mesti anak you allnanti comel, kan?"

"I muda lagi, okay! Tak mahu anak, serabut."

Balasnya, bersahaja. Tumpuannya kini tentang rencana untuk mendapatkan lelaki kacak itu. Sebab itu, dia rela berbuat apa sahaja waima membeli kereta mewah sekalipun. Langkah pertama sudah disempurnakan, langkah kedua baru sahaja dilaksanakan. Kini, dia mahu melihat impak dari gambar yang dimuatnaik ke dalam laman sosial popular itu. Dan, dalam sesi wawancara berikutnya, dia akan mendedahkan bahawa dia bakal memiliki Porcsche 911 Targa 4s. Pasti cerita itu akan membawa gosip yang lebih liar tentang hubungan mereka berdua. Hendak atau tak hendak, Izzul Haq bakal berhubung dengannya lebih kerap tentang hal itu. Ah, tak sabarnya!

"Senyum sendiri lagi. You fikir apa? Anak comel?"

"Eh, tak kuasa!"

"Emm. Tak ada aktiviti ke hari ni?"

"Ada. Pukul 2 nak ke spa, pukul 5 ada photoshoot, malam ni ada dinnerdan...tengoklah, kalau rajin Inak clubbing,"

Jelasnya sambil mengira dengan jari setiap aktivitinya. Christine nampak teruja apabila dia menyebut mahu ke kelab. Sama sepertinya, mereka gemar menghabiskan masa dengan teman-teman di kelab malam. Berhibur, bergembira sambil menghilangkan penat bekerja.

"I nak ikut you ke club. Pukul berapa?"

"Seperti biasa di tempat biasa. I tunggu you di sana tau."

"Set!"


"NI, ada kiriman untuk bos."

KATA Aina lantas meletakkan sampul surat ekspress itu di atas meja Izzul Haq. Kemudian, dia meminta diri untuk menyambung kerjanya. Tidak mahu dibelenggu tanda tanya, Izzul Haq membuka sampul surat itu serta merta. Dia lantas membaca isi kandungan surat rasmi yang disertakan di dalam sampul itu.

"Tuan, Memohon Sumbangan untuk Program Tahunan Prasekolah...bla bla bla. Berikut disertakan kertas kerja bersama perincian program tahunan prasekolah untuk perhatian dan pertimbangan pihak tuan. Sekian, terima kasih."

Izzul Haq mengimbas isi kandungan surat itu dan membaca maklumat yang penting sahaja. Dia menyelak pula kandungan kertas kerja yang disertakan bersama. Pada halaman terakhir, berbunga senyumannya apabila mendapati nama Iris Suhayla tercatat sebagai pemohonnya.

"Main kasar, ya? Senyap-senyap aje dah sampai surat dia."

Omel Izzul Haq sendirian. Terbayang raut wajah Iris Suhayla yang tegang kerana marah namun tetap cantik dan manis.

"Dia tahu ke siapa aku selama ni? Ke dia main belasah aje?"

"Aina, tolong hubungi Cik Iris Suhayla. Kata padanya, saya boleh beri apa yang diminta tapi dia kena hadir ke pejabat saya untuk berbincang. Cepat dia datang, cepatlah dia dapat. Lambat dia datang, lambatlah dia dapat."

Pesan Izzul Haq sebaik sahaja panggilannya disambut Aina. Suasana sepi. Suara Aina pun tidak kedengaran seperti selalu.

"Jangan cicir satu perkataan pun."

Tambahnya lagi.

"Err...ulang semula Encik Izzul. Laju sangat macam peluru berpandu. Terkejut saya!"

Balas Aina tidak lama kemudian. Izzul Haq melepaskan nafas perlahan-lahan. Dahi yang tidak sakit dipicit beberapa kali tanda pening dengan karenah Aina.

"Aina, tolong hubungi Cik Iris Suhayla. Kata padanya, saya boleh beri apa yang diminta tapi dia kena hadir ke pejabat saya untuk berbincang. Cepat dia datang, cepatlah dia dapat. Lambat dia datang, lambatlah dia dapat."

Ulangnya, menyebut kembali setiap patah perkataan secara lambat-lambat.

"Tapi, macam mana saya nak hubungi Cik Iris Suhayla ni?"

"Salin nombor telefon ni. Telefon dia hari ni jugak."


"WAALAIKUMUSSALAM."

Jawabnya, mematikan perbualan telefon dengan perasaan geram. Wajah Izzul Haq serta merta menyapa ruang penglihatannya. Alangkah bagus jika dia boleh melepaskan perasaan geram itu terus secara langsung kepada Izzul Haq. Barangkali melalui tamparan wanita atau sekurangnya dengan menghentak kaki ke atas kaki lelaki itu.

"Stress ja muka tu, Iris."

Tegur Kak Nisa sambil mengemas sudut bacaan murid. Iris Suhayla tidak menjawab sebaliknya sedang mempertimbangkan sama ada perlu atau tidak berkongsi cerita dengan Kak Nisa.

"Kawan saya ni, Kak Nisa. Banyak sangat songehnya. Nak bagi benda, bersyarat-syarat pulak."

"Kalau nda beban, ikut ajelah Iris."

Pesan Kak Nisa, walaupun tidak tahu isu apa yang menekan Iris Suhayla sehingga mukanya kemerahan, barangkali menahan perasaan.

"Kalau dia di Labuan, hari ni jugak boleh selesai masalah."

"Kawan Iris tu ada di mana?"

Tanya Kak Nisa lagi, berminat akan cerita Iris Suhayla walau isinya masih menjadi rahsia.

"KL kak."

"Nda buleh settle dalam telefon ka?"

"Kalau lah boleh."

Ujarnya perlahan, kemudian termenung.

"Mungkin betul cakap akak. Ikut aje tapi saya terbebanlah dengan permintaan dia tu."

"Siapalah si dia yang Iris maksudkan tu?"

Soal Kak Nisa lagi. Nada suaranya yang mengusik membuatkan Iris Suhayla ketawa kecil. Barangkali Kak Nisa sedang menyimpulkan sesuatu di sebalik ceritanya. Dia dapat mengesannya melalui soalan itu.

"Biarlah rahsia."


USAI solat Isyak, Iris Suhayla bermalasan di atas katil. Semenjak petang tadi dia berkira mahu menghantar mesej kepada Izzul Haq. Dia mahu tahu mengapa lelaki itu mempermainkannya, namun setiap kali dia menaip, dia akan memadamkannya kembali. Hati keras melarangnya menghubungi lelaki itu. Sedang dia sibuk menaip mesej, satu pesanan ringkas diterimanya. Iris membaca pesanan tersebut hampir tidak berbunyi.

"Surat boleh kirim. Tuan punya surat tak nak kirim."

"Eeee...dah kenapa pulak dia ni? Tiap hari cari gaduh ni."

Perasaannya terus diketuk tatkala membaca mesej itu.

"Tak hingin!"

Dia membalas mesej itu serta merta namun tiada respons dari Izzul Haq. Lama dia menanti, seminit, lima minit, setengah jam. Rimas berbaring, dia duduk. Kemudian, dia mencapai lagi telefon bimbit itu, menanti pesanan seterusnya dari Izzul Haq namun skrin telefon bimbitnya tetap kosong. Akhirnya dia terlena tanpa disedari dan hanya terjaga apabila deringan di telefon bimbit menyanyi-nyanyi minta diangkat.

"Hello."

"Iris, kau dah tidur ke?"

Sapa seseorang. Iris Suhayla menjawab dengan mata yang masih terpejam. Kalaulah deringan di telefon bimbit itu tidak mengejutkan lenanya.

"Emmm. Siapa?"

"Akulah! Afiqah."

"Afiqah? Kau mimpi ngeri ke tadi. Tergamak kau telefon aku tengah malam ni."

Lambat-lambat dia bertanya. Afiqah tidak marah, hanya ketawa yang kedengaran di hujung talian.

"Pukul 9.30 pun kira lewat tengah malam ke? Kenapa awal sangat kau tidur, Su? Aku ada benda nak cerita kat kau."

"Iya ke 9.30? Kau tu bukan boleh percaya. Asal ada cerita sikit, pukul tiga pagi pun kau kejut aku dari tidur lagi, kan?"

"Ha ha ha. Dipendekkan cerita aku dah ada calon suami."

Beritahu Afiqah dengan senyuman yang melebar. Lewat tiga bulan ini, hidupnya dilimpahi kebahagiaan. Beberapa kali berurusan dengan Syafiq yang merupakan kontraktor dilantik PPD

menyebabkan hubungan mereka menjadi akrab. Dan semalam, Syafiq telah meluahkan perasaannya untuk menyunting Afiqah sebagai suri hidup. Berita baik itu mahu dikongsi bersama Iris Suhayla yang merupakan teman paling akrab semenjak mereka kecil lagi.

"Iya ke? Tahniah Fi. Habis tu bila aku boleh makan nasi minyak kau?"

"Makan nasi minyak kau dulu kot. Aku tak mahulah tergesa-gesa sangat."

"Kau ni. Aku tak readylagilah."

"Tak ready apanya? Cuti sekolah bulan enam ni aje, kan?"


IRIS Suhayla terkulat-kulat di dalam gelap. Semenjak memutuskan perbualan dengan Afiqah dua jam yang lepas, kelopak matanya terus berdegil tidak mahu dikatup. Dia bersandar di kepala katil, membiarkan kepekatan malam menyelubunginya namun kelopak matanya masih berkeras. Hanya perut yang memberi isyarat, meminta makanan sebagai isi.

"Laparnya tapi malaslah nak ke dapur."

Omelnya sambil berguling namun isyarat perut terus berbunyi. Dia berdecit sebelum berdiri lambat-lambat.

Iris Suhayla, memulas tombol pintu perlahan-lahan. Dia melintasi ruang tamu dengan berhati-hati supaya gerak-gerinya tidak mengejutkan Siti Hajar yang mungkin sudah lena diulit mimpi. Sebaik tiba di dapur, terdengar sayup-sayup deringan telefon bimbitnya di dalam bilik. Iris Suhayla menghela nafas panjang sebelum berlari anak ke dalam bilik.

"Hello."

Jawabnya, tercungap-cungap.

"Hello. Su, Zack ni"

Sapa suara garau di hujung talian. Iris Suhayla pantas menjauhkan telefon bimbit itu darinya.

"Hello, hello..."

Ucapnya dari jauh sebelum mematikan talian itu dengan sengaja. Seketika, telefon itu berbunyi lagi namun dia menolak panggilan itu dengan pesanan ringkas.


"BOS dah baca surat khabar hari ni?"

Tanya Aina sebaik duduk di hadapan Izzul Haq. Wajah lelaki kacak itu ditelitinya. Kehidupan lelaki itu pasti sukar apabila menjadi dambaan wanita. Dengan pakej lengkap yang dimilikinya, Izzul Haq sentiasa menjadi sebutan masyarakat. Hari ini saja, dua akhbar memaparkan kisah cintanya dengan Putri Ariyana.

"Belum. Kenapa?"

"Cerita pasal bos, bercinta dengan Putri Ariyana."

Beritahu Aina, lambat-lambat. Izzul Haq ketawa, meluahkan perasaannya secara jujur. Cerita yang disebut Aina itu bertebaran luas di media sosial sejak majlis pelancaran Porsche tempoh hari. Dia tidak perlu khuatir akan hal itu kerana cerita itu hanyalah rekaan semata-mata.

"Tak habis lagi cerita tu? Dah basi kot."

"Terbaru, gambar mesra bos dengan Putri Ariyana di Instagram dan Facebook."

"Hah?"

Izzul Haq terkejut. Serta merta ingatannya melayang pada pertemuan akhir mereka ketika Putri Ariyana mengunjungi The Speeds minggu lepas. Wanita itu duduk di sisinya, tanpa segan silu, sangat rapat sehingga terasa kehangatan tubuhnya. Seolah-olah ada hubungan terjalin di sebaliknya. Kemudian, sekeping gambar mereka sempat dirakam Putri Ariyana sebelum sempat dia melarikan diri. Mungkin gambar itu yang dimaksudkan Putri Ariyana?

"Bos ada skandal dengan dia, ya?"

"Mengarutlah."

"Gambar apa yang tersebar tu?"

Tanya Izzul Haq lagi, tidak berpuas hati dengan cerita yang baru disampaikan oleh Aina. Terbit kebimbangan di hatinya. Dia bimbang jika isu itu sampai ke pengetahuan lembaga pengarah. Saham syarikat juga boleh terjejas dek kerana sekeping gambar yang dimuat naik oleh Putri Ariyana itu. Dan dia pasti wanita itu yang memuat naik gambar tersebut memandangkan hanya dia satu-satunya yang mengambil dan menyimpan gambar tersebut.

"Gambar bos dengan dialah. Gambar tengah duduk tu."

Terang Aina, teringat kembali gambar itu. Izzul Haq melepas keluhan panjang, bagai tidak percaya dirinya dipalit gosip lagi dan lagi.

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.